
Beli banyak halia tapi sayang jadi kecut dan busuk begitu sahaja? Ikut cara simpan halia ini supaya tahan lama berbulan. Malah nak masak pun senang.
Halia antara bahan masakan yang sering digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis hidangan. Nak masak lauk berkuah, sup, lauk tumis mahupun masakan kukus, memang selalu menggunakan bahan ini.Tapi kadang-kadang bila beli banyak, tak sempat nak habiskan semuanya. Bila dibiarkan terlalu lama, halia mula kecut, lembik dan akhirnya rosak. Sayang pula nak dibuang begitu sahaja.
Sebenarnya ada cara simpan halia yang cukup mudah dan praktikal untuk dicuba di rumah. Tak perlu nak kupas dan potong halia setiap kali nak memasak. Boleh sediakan siap-siap dan simpan dalam peti sejuk beku.
2 Cara Simpan Halia Supaya Tahan Lama Berbulan
Ada dua kaedah penyimpanan yang boleh dipraktikkan iaitu dalam bentuk hirisan atau pes halia. Pilih mana-mana kaedah yang bersesuaian dengan jenis masakan yang selalu disediakan di rumah.
1. Simpan Halia Dalam Bentuk Hirisan
Cara pertama, mula-mula basuh bersih halia dan buang kulitnya. Kemudian hiris nipis atau saiz memanjang ikut cita rasa bergantung pada jenis masakan.
Kemudian, ambil tisu dapur dan letak atas dulang atau pinggan. Susun halia tadi dan pastikan tidak bertindih atau melekat antara satu sama lain. Lap kering sebelum dimasukkan sekejap dalam peti sejuk beku.
Lepas tu, bila halia tadi dah keras, boleh masukkan dalam plastik Ziploc dan simpan semula dalam peti sejuk beku. Tujuan membekukan hirisan halia terlebih dahulu adalah supaya setiap hirisan tidak mudah melekat antara satu sama lain ketika disimpan dalam plastik. Jadi lebih mudah nak ambil dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.
Hirisan halia ini sesuai digunakan untuk masakan seperti sup ayam, ikan kukus, ayam masak halia dan pelbagai jenis lauk tumis. Tak perlu keluarkan semua halia yang disimpan. Ambil beberapa hiris mengikut keperluan dan simpan semula bakinya dalam peti sejuk beku.

2. Simpan Halia Dalam Bentuk Kiub Pes
Cara kedua pula, kisar halia sehingga halus (boleh tambah sedikit air atau minyak). Masukkan pes halia ke dalam bekas ‘ice cube’ dan bekukan.
Kemudian, keluarkan dari bekas dan simpan kiub pes halia beku tersebut di dalam plastik Ziploc dan simpan semula di bahagian peti sejuk beku (freezer).
Cara simpan halia dalam bentuk kiub ini sangat memudahkan kerja memasak terutama bagi yang sering menggunakan bahan kisar dalam penyediaan lauk harian.
Bila nak masak, ambil satu atau dua kiub pes halia mengikut kuantiti masakan. Boleh terus masukkan ke dalam masakan tanpa perlu menunggu kiub tersebut cair sepenuhnya. Kalau nak gunakan untuk menumis, berhati-hati ketika memasukkan pes halia beku ke dalam minyak panas kerana kandungan air boleh menyebabkan minyak terpercik.

Tip Simpan Halia Supaya Tak Mudah Rosak
Selain mengetahui cara simpan halia yang betul, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya kualiti halia yang disimpan lebih terjaga.
- Pilih halia yang masih segar, keras dan tidak berkulat sebelum disimpan.
- Pastikan hirisan halia dilap kering sebelum dibekukan.
- Gunakan plastik atau bekas kedap udara yang sesuai untuk peti sejuk beku.
- Keluarkan lebihan udara daripada plastik sebelum ditutup rapat.
- Labelkan tarikh penyimpanan supaya mudah nak semak tempoh halia disimpan.
- Ambil halia mengikut kuantiti yang diperlukan sahaja.
- Elakkan membiarkan baki halia beku cair pada suhu bilik.
Berapa Lama Halia Boleh Disimpan Dalam Freezer?
Halia yang disimpan dengan betul dalam peti sejuk beku pada suhu sekitar -18 darjah Celsius boleh mengekalkan kualitinya selama beberapa bulan. Bagaimanapun, tempoh tersebut bergantung juga pada keadaan asal halia, kaedah penyimpanan dan kestabilan suhu peti sejuk beku.
Tekstur halia mungkin menjadi sedikit lembut selepas dicairkan, namun masih sesuai digunakan dalam kebanyakan masakan. Sekiranya halia menunjukkan tanda kerosakan seperti berkulat, berlendir atau mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, sebaiknya jangan digunakan lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Dengan dua cara ini halia boleh bertahan selama beberapa bulan dan boleh terus digunakan ketika memasak.
Mudah kan? Lepas ni kalau terbeli banyak halia, bolehlah cuba cara simpan halia ini. Bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran bahan dapur, malah dapat menjimatkan masa ketika menyediakan masakan harian.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA.

sekarang!

