
Tiada kaedah mencuci yang boleh menghapuskan mikroorganisma secara menyeluruh yang mungkin ada pada buah-buahan serta sayuran yang anda beli. Namun cara terbaik untuk mengurangkan jumlahnya adalah dengan mencuci di bawah laluan air bersih. Membasuh juga bukan sahaja membantu menghilangkan kotoran, bakteria, serangga malah ia juga membersihkan kesan-kesan racun yang melekat pada makanan anda.
Seperti yang disarankan oleh Universiti Colorado, cara terbaik untuk mencuci buah atau sayuran adalah dengan mengisi bekas dengan air dan masukkan sayur serta buah anda ke dalamnya. Elakkan menampung air di dalam sinki kerana lubang laluan air berkemungkinan mengadungi bakteria yang memudaratkan.
Selain itu, air basuhan mestilah sejuk. Caranya ialah celup buah ke dalam bekas berisi air berais dan ketika dicuci, gosok kulit buah atau sayur sehingga sisa kotoran hilang. Cara ini bertujuan untuk menghalang mikroorganisma dari melekat pada sayur-sayuran menerusi batang serta bunga.
Untuk sayuran hijau seperti brokoli, anda boleh merendamnya selama 2 minit di dalam air batu sebelum membilasnya sekali lagi dengan air yang mengalir.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Tumbuhan Herba Paling Penting Dalam Masakan & Wajib Tanam Di Kawasan Rumah.

Terdapat pelbagai jenis herba dan rempah ratus yang digunakan dalam masakan. Namun tujuh tumbuhan ini antara yang paling penting, banyak guna dan mudah ditanam. Kalau rumah anda tiada pokok-pokok ni, memang rugi. Jom lihat keistimewaan dan khasiat yang terkandung di dalamnya.
1. DAUN LIMAU PURUT
Daun limau purut antara daun yang cukup terkenal kerana digunakan dalam pembuatan tomyam. Ia juga turut digunakan dalam menyedapkan lagi masakan rendang, sambal sardin, paprik dan bermacam-macam lagi. Rasa dan bau daun limau purut yang kuat tetapi harum menjadikan rasa masakan bertambah enak. Tidak seperti jenis pokok limau yang lain, tumbesaran pokok limau purut agak perlahan dan anda tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanamnya. Tip untuk mengelakkan masakan yang menggunakan limau purut menjadi pahit adalah dengan membuang batang bahagian tengah daun sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
2. DAUN KESUM
Daun kesum atau nama santifiknya ‘Polygonum minus’ merupakan tumbuhan yang cukup penting bagi penggemar masakan asam pedas dan laksa. Tanpanya rasa laksa dan asam pedas akan menjadi kurang enak dan seakan tidak cukup bahan. Selain itu, daun kesum juga enak dijadikan campuran kerabu atau aneka masakan yang menggunakan ikan terutamanya ikan darat. Ini kerana ia mampu membuang rasa dan bau hanyir ikan dan menjadikan hidangan lebih sedap. Jika diamati, terdapat dua jenis kesum, iaitu menjalar dan yang tumbuh agak menegak. Daun kesum membekalkan khasiat pemakanan yang seimbang di mana ia kaya dengan beta karotena, kalsium, fosforus, vitamin A dan vitamin C.
3. DAUN PANDAN
Daun pandan atau nama botaninya ‘Pandanus odorus’ tergolong dalam keluarga ‘Pandanaceae. Murah dan nampak biasa-biasa je tapi ia sangat penting dalam penghasilan nasi, aneka kuih muih serta minuman. Haruman wangi dari rebusan daun pandan menjadikan nasi lemak serta bancuhan air sirap menjadi sedap.
Manakala dalam penyediaan kuih-muih pula, air kisaran daun pandan dijadikan pewarna semulajadi, pewangi serta perangsang selera. Antara aneka kuih-muih yang biasanya menggunakan daun pandan adalah seperti Kuih Seri Muka, Kuih Talam, Seri Ayu dan pelbagai jenis puding.
4. DAUN KUNYIT
Kunyit merupakan tanaman yang berasal dari India. Tanaman ini kemudiannya diperkenalkan ke negara Asia Tenggara dan Selatan Asia. Daun kunyit yang datangnya daripada rizom kunyit hidup ini sangat memerlukan cahaya matahari untuk kekal subur. Daunnya licin, besar dan bujur serta berwarna hijau.
Sebagai tumbuhan pemberi aroma yang hebat, daun kunyit sangat digilai tukang masak dan sangat penting dalam penyediaan masakan seperti gulai, rendang dan sambal. Malah, daun kunyit tua juga digunakan sebagai pembalut ikan atau daging bakar. Baunya memang cukup wangi dan mempengaruhi keenakan rasa masakan. Maka tidak hairanlah jika di musim perayaan, daun ini memang menjadi rebutan ramai.
5. DAUN KARI
Masakan kari pasti tidak lengkap tanpa adanya daun ini. Sangat mudah ditanam dan membiak, daun kari mempunyai bau yang kuat dan rasanya agak pahit . Daun ini mempunyai banyak kegunaan bagi masyarakat India kerana ia tidak hanya digunakan dalam masakan kari sahaja tetapi turut digunakan dalam masakan lain seperti Rasam, Chutney, Muruku dan sebagainya lagi.
Dari segi khasiat pula, daun kari bukanlah sekadar daun yang mengeluarkan bau, tetapi ia mengandungi 6.1% protein, 16% karbohidrat dan 6.4% serat. Malah ia turut mengandungi mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus,zat besi,asid nikotinik dan vitamin C.
6. BUNGA KANTAN
Bunga kantan atau nama saintifiknya ‘Pheaomeria imperialis’ membiak melalui dua cara iaitu pecahan rizom dan juga biji benih. Setiap helaian bunganya memainkan peranan dan meninggalkan bau yang enak. Manakala batangnya pula turut mengeluarkan bau yang harum. Oleh sebab itulah dalam penyediaan laksa, batang bunga kantan tetap digunakan untuk meninggalkan aroma yang lebih hebat. Buahnya pula digunakan untuk menghasilkan rasa masam dalam masakan seperti gulai ikan bagi menggantikan asam keping atau asam jawa.
7. SERAI
Serai amat popular dalam masakan Thailand namun ia juga merupakan herba yang penting dan merupakan salah satu bahan asas utama dalam masakan Melayu. Ini kerana herba ini memberikan aroma dan rasa kepada hidangan. Namun hanya bahagian bebuli putih sahaja yang digunakan untuk memasak. Antara masakan yang menggunakan serai adalah seperti rendang, sajian nasi ulam, aneka kerabu, penyedap dalam sup dan banyak lagi. Dari segi kesihatan, serai dikatakan mampu menyingkirkna kolesterol berlebihan, melancarkan sistem pencernaan, anti kulat serta mampu mengubati demam.
Tip Bawang Kisar Simpan Dalam Peti Ais Tak Berubah Warna & Tahan Hingga Dua Bulan

Kalau nak cepat masak, stok bawang kisar antara yang kena ada dalam peti sejuk. Tapi satu masalah bila buat bawang kisar ini terutama dalam kuantiti banyak, ialah bila dah lebih seminggu disimpan ia akan bertukar warna seakan warna ungu.
Supaya ini tak berlaku, bawang kisar ini tahan lama dan tak berubah warna boleh praktikkan tip yang dikongsi oleh Zahiruddin Al Amin Zainuddin.
Tip bawang kisar tahan lama, tak bertukar warna
Saya nak share ilmu sikit sebab sebelum ini saya lihat satu post seorang akak ni bertanya, kenapa bawang blend naik warna ungu.
Tip buat bawang kisar supaya tahan lebih lama, boleh tahan sampai 1-2 bulan. Jika letak dalam freezer lagi lama. Jangan risau, warna dia tetap bersinar-sinar, tak berubah.
Caranya
1. Kisar bawang holland bersama minyak masak sahaja.
2. Selepas kisar masukkan dalam bekas dan tambah lagi minyak masak secukupnya.
INFO: Jangan campur air, sebab ia akan menyebabkan bawang bertukar warna dan tak tahan lama.
Selamat mencuba.
Sumber: Zahiruddin Al Amin Zainuddin.
6 Cara Bangkitkan Aroma Dalam Masakan, Huhhh… Tak Sabar Makan.

Bila aroma masakan mula menggoda selera, di tekak bagaikan terasa keenakan sehingga tidak sabar untuk makan. Di sebalik semua ini, rempah ratus dan bahan tumisan mempunai aroma yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Bagi mengeluarkan aroma ini, ada cara tertentu yang anda lakukan bagi memastikan masakan lebih sedap menyelerakan.
Titik – Serai, Halia Dan Lengkuas
Bahan penumis segar seperti serai, halia dan lengkuas lebih sesuai dititik sebelum sedia dimasukkan dalam masakan, terutama masakan yang berkuah seperti tomyam, gulai lemak dan kari. Dengan cara ini aromanya lebih bangkit. Atau masukkan semasa menumis jika masakan itu perlu ditumis terlebih dahulu.
Sangai (goreng tanpa minyak)
Rempah ratus berberbiji seperti ketumbar, jintan, buah pelaga dan jintan lebih sedap dan wangi bila disangai terlebih dahulu sebelum dikisar dan digunakan dalam masakan. Dengan berbuat demikian aroma rempah ratus akan menjadikan masakan lebih sedap. Rempah ratus yang telah disangai juga tahan lebih lama disimpan.
Dibakar –Belacan
Belacan sangat kuat baunya. Tetapi untuk mendapatkan rasa dan aroma lebih sedap sebaiknya bakar belacan sebelum digunakan dalam masakan. Mudah caranya, cucuk pada garpu atau lidi kemudian bakar menggunakan api dapur hingga ia berubah warna. Selain belacan, kunyit hidup juga lebih sedap jika dibakar, selain membantu menghilangkan bau maung ia akan memberikan warna kuning kunyit yang lebih menyerlah.
KoyakAtau Carik– Daun kunyit, pandan, limau purut dan salam.
Masakan yang ada campuran daun kunyit, pandan, limau purut atau daun salam, untuk membangkitkan aromanya, daun-daun tersebut perlu dikoyak atau dicarik dahulu sebelum dimasukan dalam masakan. Tujuannya untuk mengeluarkan baunya agar sebati dalam masakan. Masakan tomyam misalnya, ia rasa lebih sedap jika bangkit aroma daun limau purut dan serainya yang segar dan wangi.
Hiris Atau Simpul – Daun Bawang, Ketumbar & Saderi
Untuk mendapatkan aroma daun bawang, ketumbar dan saderi perlu dihiris. Biasanya semua daun ini dimasukkan di akhir masakan atau semasa masakan dihidangkan. Tetapi jika anda tidak suka akan rasanya, aroma masih boleh dimasukkan dalam masakan dengan cara menyimpul dan masukkan dalam masakan agar rasa dan aromanya lebih sedap dan wangi.
Dilarutkan – Asam Jawa
Asam Jawa sebaiknya dilarutkan dahulu dengan air suam sebelum sedia dimasukkan dalam masakan. Tujuannya bancuhan air asam akan lebih mesra dengan masakan dan memberi rasa dan aroma yang lebih sedap. Bagaimana pun sekarang sudah ada asam jawa yang dijual dalam bentuk pes, Pun begitu sebaikknya anda bancuh juga terlebih dahulu.
Diharapkan dengan sedikit makluman ini, anda boleh amalan semasa memasak, agar rasa dan aroma masakan lebih sedap dan mantap.
Selamat mencuba!.