
Ikan masak pindang atau ada sesetengah tempat panggil singgang tumis. Resipi ringkas tapi rasanya cukup membukakan selera makan. Resipi daripada perkongsian Facebook Sue M Shaunki.
IKAN MASAK PINDANG
BAHAN-BAHAN
- 4 – 5 ekor ikan kerisi ( bergantung dengan saiznya) – boleh juga guna ikan tenggiri,gelama,haruan, & ikan merah.
Kunyit garamkan,kemudian goreng separa garing - 1 kiub ikan bilis maggi
- 1/2 sudu teh lada hitam – boleh tambah
- 1/2 sudu teh serbuk kunyit ( untuk kuah)
- 1 tangkai cili besar – belah dua
- 1 biji tomato – belah 4
- 2 keping asam gelugor atau setengah cawan air asam jawa. ( agak-agak je)
- 3 cawan air atau lebih jika nak berkuah lebih.
- 3 sudu minyak untuk menumis
- Garam & gula secukup rasa

BAHAN TUMIS:
- 5 biji bawang merah – belah 4
- 2 inci halia – hiris boleh ketuk pon boleh
- 6 ulas bawang putih**
- 2 batang serai **
- 10 biji cili padi ** – boleh tambah kalau suka
(**) – ketuk – ketuk je.


CARA MEMASAK:
1. Goreng ikan kerisi separa garing ( jangan garing sangat,hilang manisnya nanti),angkat dan toskan.
TIP SUPAYA IKAN TIDAK MELEKAT
- Tabur garam dalam minyak sebelum masuk ikan.
- Pastikan minyak betul-betul panas sebelum masukkan ikan, kalih ikan selepas 2-3 minit.
- Tips ibu mertua saya, masukkan asam keping sebelum masuk ikan.
(Boleh cuba salah satu, saya dah cuba semua)

2. Pecah- pecahkan cili padi kampung yang pedas ini.

3. Tumiskan halia, bawang merah, bawang putih, cili padi dan serai dengan 3 sudu minyak.

4. Bila semua bahan tadi dah mula layu, masukkan air.
TIP ELAK BERKECAH:
- Kalau tidak mahu dapur berkecah sebab percikan air, Tuang air itu atas senduk seperti dalam gambar. InsyaAllah tidak ada percikan air berlaku

5. Masukkan serbuk kunyit,asam keping dan lada hitam . Biarkan kuah mendidih.
NOTA KAKI: asam keping tu basuh dulu ya

6. Mendidih kuah itu masukkan ikan kerisi goreng, bahan perasa (garam dan gula ) berserta kiub ikan bilis. Jangan lupa dengan masukkan cili besar dan tomato sekali
Sukatan garam gula ikut citarasa masing-masing. Biarkan mendidih semula dalam lima minit. Siap! Hidangkan dengan nasi panas.

INFO:
- Kalau tidak suka masam sangat kurangkan asam keping, keluarkan asam bila dah masak.
- Tujuan ikan digoreng dulu, supaya isi ikan tak hancur walau panas semula nanti. Boleh juga tidak mahu goreng.
- Untuk yang berpantang, bukan semua ikan boleh makan, lebihkan halia dan lada hitam. Bawang putih buat ulam.
- Kurangkan cili padi jika tidak boleh makan pedas.
KREDIT RESIPI & GAMBAR: Sue M Shauhki
Jika anda sedang mencari BARANGAN SEGAR, boleh klik DISINI.
Sup Ikan Merah, Cara Masak June. Takde Sup Bunjut Ikan Pun Tak Apa.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Nak Cuba Masakan Antarabangsa, Ramuan Segar Gerenti Sedap

Sekali sekala nak ‘feeling’ sajian antarabangsa ala hotel boleh aje kalau ‘gigih’ mencuba. Hiasan atau ‘garnishing’ sajian yang diberi ni ikut kreativiti sendiri. Tetapi yang penting ramuan utamanya kena betul. Rasanya kena sedap.
Menu antarabangsa tambah lengkap dengan ‘appetiser’ yang membuka selera diikuti dengan ‘dessert’ yang manis berkrim.

Ikuti resepi yang disumbangkan oleh Chef Thevanathan a/l Elumali dan Chef Mohd Ghouse Ishak dari One Word Hotel, Bandar Utama di sini. Boleh lah cuba nanti.
MOROCCAN LAMB SHANK WITH COUSCOUS

BAHAN-BAHAN :
- 1 ketul betis kambing | dibasuh dan dibersihkan
Bahan A:
- 1 sudu teh serbuk paprika
- 1 sudu teh serbuk ketumbar
- 1 sudu teh jintan putih
- 2 sudu makan rempah MoroccoBahan B :
- 40 gm bawang putih
- 50 gm bawang kecil
- 20 gm lobak merah
- 20 gm saderi
- 20 gm tomato
60 ml minyak zaitun
2 liter air stok kambing
2 sudu makan madu
1/2 biji jus lemon
Garam secukup rasa
Lada hitam secukup rasa
100 gm couscous | dimasak
CARA MEMASAK :
Cara memasak couscous :
1. Dimasak dengan nisbah secawan couscous bersamaan 1 1/2 cawan air.
2. Didihkan air dan tuangkan ke dalam bekas berisi couscous.
3. Tudungkan dan biarkan selama 5-10 minit sehingga couscous kembang dan meresap air.
4. Gemburkan dengan garfu dan ketepikan.
Cara memasak kambing:
5. Perapkan betis kambing dengan bahan-bahan A.
6. Pijarkan minyak zaitun dalam kuali dan masukkan betis kambing yang diperap tadi
7. Kemudian tumiskan bahan-bahan B dan masukkan air stok kambing.
8. Biarkan ia mendidih, tudungkan dan renehkan selama dua jam hingga daging empuk.
9. Masukkan madu dan jus lemon dan perisakan dengan garam dan lada hitam.
10. Hidangkan bersama couscous
Saiz hidangan : 1 orang
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis masakan : Sajian tradisional Morocco
Keistimewaan: Rasa berempah dan beraroma wangi
INFO CHEF : Setelah minyak zaitun pijar, pastikan betis kambing dimasak dengan haba yang tinggi kaedah ini dipanggil ‘sear’. Hingga melecurkan permukaan daging.
TUNA ONION CONFIT WITH VEGGIE NICOISE SALAD

BAHAN-BAHAN :
- 150 gm kepingan tuna
Bahan perapan tuna :
- 1/2 sudu teh parutan kulit lemon (lemon zest)
- 1 sudu teh lada hitam | ditumbuk
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Bahan A:
- 50 gm bawang merah | dihiris
- 10 gm daun rosemary | dicarik
- 15 gm daun thyme | dicarik
- 1/2 sudu teh parutan lemon
- 2 ulas bawang putih | diketuk
30 ml minyak zaitun
Bahan Veggie Nicoise Salad :
Bahan B :
- 30 ml minyak zaitun
- 1 sudu teh jus lemon
- 5 gm daun oregano | dicincang halus
- 5 gm daun thyme | dicincang halus
- 1/3 sudu teh dijon mustard
- 2 ulas bawang putih | dicincang halus
- 5 gm lada hitam | ditumbuk
- 5 gm garam
- 10 gm kacang merah | dibilas dan tos
- 10 gm bawang besar | dihiris
- 20 gm kentang
- 15 gm asparagus
- 20 gm kacang hijau segar
- 2 biji zaitun hitam
- 2 biji zaitun hijau
- 30 gm lada benggala ( campuran hijau, merah , kuning) | dihiris
CARA MEMASAK :
Cara masak tuna onion confit :
1. Potongan kepingan tuna menjadi potongan kecil yang seragam saiznya.
2. Perapkan tuna dengan bahan-bahan perapan di dalam bungkusan dan biarkan selama 6 jam.
3. Kemudian keluarkan tuna, dan letakkan dalam dulang pembakar yang sudah diisi dengan bahan A.
4. Renjiskan dengan minyak zaitun di atasnya.
5. Masukkan ke dalam ketuhar bersuhu 225 -250 darjah celcius
6. Bakar selama sejam, setelah masak ketepikan.
Cara masak Veggie Nicoise Salad :
1. Campurkan bahan B kacaukan sehingga bahan-bahan itu sebati (menjadi dressing salad)
2. Di dalam mangkuk yang lain, masukkan kacang merah dan bawang besar dengan 1 sudu makan campuran bahan B.
3. Rebus kentang selama selama 10-15 minit. Masukkan garam secukup rasa.
4. Didihkan asparagus dan kacang hijau selama 2-4 minit sehingga lembut dan alihkan lalu dimasukkan dalam air beras seketika, angkat dan toskan.
5. Semasa menghidang, hiaskan dengan asparagus dan kacang hijau, buah zaitun , lada benggala serta kentang rebus.
6. Hidangan enak dimakan bersama bersama tuna onion confit yang sudah dimasak tadi.
Saiz hidangan : 2 orang
Cara memasak : Bakar dan rebus, teknik ‘slow cooking’
Jenis masakan : Appetiser @ pembuka selera
Keistimewaan: Sajian tuna yang menyihatkan
INFO CHEF : Hidangan sihat tanpa lemak, dan pilihan pembuka selera dengan campuran salad yang rangup dan lazat.
DUCK CONFIT WITH ARUGULA LEAVES AND POACED PEAR

BAHAN-BAHAN :
- 180 gm peha itik | dibersihkan
Bahan A :
- 10 gm lada hitam | yang hancur
- 10 gm daun thyme
- 10 gm bawang putih | dihiris halus
- 20 gm bawang merah | dihiris halus
- 1 helai daun bay
- 1 sudu kecil garam bukit
Bahan B:
- 4 cawan lemak itik | dicairkan
Bahan C :
- 1 biji buah pir | direbus
- 100 gm daun arugula
- 10 gm beri juniper
CARA MEMASAK :
1. Di dalam mangkuk campurkan A hingga sebati.
2. Perapkan peha itik bersama bahan A, dinginkan dalam peti sejuk selama 48 jam
3. Panaskan oven dengan suhu 225 darjah celcius.
4. Masukkan itik yang sudah diperapkan tadi, didalam dulang pembakar dan tuangkan lemak itik di atasnya.
5. Bakar selama dua jam dengan suhu 100 darjah celcius.
6. Hidangkan dengan bahan C.
Saiz hidangan : 1 orang
Cara memasak : Bakar
Jenis masakan : Lauk utama
Keistimewaan: Itik bakar yang berjus dan lazat
INFO CHEF : Confit adalah masakan yang menggunakan lemak dari daging dan dimasak suhu perlahan. Daun arugula adalah herba masakan terkenal di Eropah.
SALMON WELLINGTON

BAHAN-BAHAN :
- 1 kg ‘fillet’ salmon |dihancurkan
- 30 gm bawang kecil | dihiris
- 20 gm bawang putih |dihiris
- 20 gm krim keju
- Garam secukup rasa
- Lada hitam secukup rasa | ditumbuk
- Stok ikan secukup rasa
- 60 gm bayam (baby spinach)
- 40 gm serbuk roti
- 40 gm keju parmesan | diparut
- 1 lapis pastri paf
- 1 biji kuning telur | dipukul
CARA MEMASAK :
1. Pijarkan mentega di dalam kuali dan tumiskan bawang merah dan bawang putih.
2. Masukkan krim keju dan perisakan dengan garam, lada hitam dan air stok ikan.
3. Biarkan didih dan masukkan bayam, serbuk roti dan keju parmesan.
4. Masakkan sebentar di atas api yang kuat fillet salmon (sear) di atas kuali, tebarkan pastri paf dan letakkan salmon tadi di atas dan bungkuskan salmon.
5. Sapukan pastri puff dengan kuning telur dan bakar dalam oven yang dipanaskan dalam suhu 390 darjah celcius selama 30 minit.
6. Sedia untuk dihidangkan.
Saiz hidangan : 1 orang
Cara memasak : Bakar
Jenis masakan : Lauk utama
Keistimewaan: Salmon yang dibalut pastri , sajian rangup dan berkrim
Info Chef : Bagi menjimatkan masa memasak boleh menggunakan pastri paf yang ada dijual di kedai bakeri.
CHOCOLATE BROWNIE AND RASPBERRY CUSTARD WITH WHITE CHOCOLATE MOUSSE

BAHAN-BAHAN :
Bahan brownie coklat :
Bahan A :
- 250 gm mentega
- 310 gm gula perang
Bahan B:
- 90 gm telur ayam
Bahan C :
- 280 gm coklat gelap
Bahan D :
- 90 gm tepung kek | diayak
- 10 gm serbuk koko | diayak
Bahan kastad raspberi:
Bahan E :
- 120 gm gula pasir
- 250 gm telur ayam
Bahan F :
- 150 gm puri raspberi
Bahan G:
- 100 gm mentega
- 6 gm serbuk gelatin
Bahan mousse coklat putih :
- 90 gm telur kuning
- 220 gm gula pasir
- 15 gm serbuk gelatin
- 280 gm coklat putih
- 550 gm krim putar
CARA MEMASAK :
Cara memasak brownie coklat
1. Pukul bahan A hingga sebati.
2. Masukkan bahan B sedikit demi sedikit.
3. Cairkan coklat dengan suhu 45 darjah celcius dan campurkan ke dalam campuran A dan B tadi.
4. Ayakkan bahan D dan gaulkan sekali dalam campuran A, B dan C.
5. Tuang campuran ke dalam dulang pembakar dan bakar dengan suhu 160 darjah celcius.
6. Dihidangkan bersama kastad raspberi.
Cara memasak kastad raspberi :
7. Campurkan bahan E sehingga sebati.
8. Didihkan bahan F dan masukkan dalam campuran E.
9. Biarkan sejuk seketika dan letakkan dalam acuan yang telah diisi dengan mousse coklat .
Cara memasak mousse coklat putih:
10. Pukul telur kuning sampai pekat.
11. Didihkan gula dengan sedikit air sampai ke suhu 120 darjah celcius
12. Tuangkan ke dalam telur dan masukkan serbuk gelatin yang telah dicairkan dan pukul hingga sejuk.
13. Gaulkan campuran tadi ke dalam coklat putih yang telah dicairkan terlebih dahulu.
14. Akhir sekali gaulkan krim putar ke dalam campuran coklat dan masukkan ke dalam separuh aras acuan.
15. Simpan di dalam peti sejuk
16. Bila hendak dihidangkan susunkan bersama brownie coklat dan hiaskan bersama jeli oren .
Cara memasak : Bakar, didih dan dinginkan
Jenis masakan : Pencuci mulut
Keistimewaan: Gabungan brownie coklat dan kastad yang manis dan berkrim yang serasi rasanya.
Info Chef : Untuk rasa lebih enak , hidangkan bersama buahan beri segar dan jeli segera perisa buah-buahan
RESIPI : CHEF THEVANATHAN A/L ELUMALI & MOHD GHOUSE ISHAK
Terima kasih : ONE WORLD HOTEL, First Avenue, Bandar Utama City Centre, Selangor
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
4 Masakan Air Tangan Mak Yang Simple & Paling Sedap Makan Bila Balik Ke Kampung.

Disaat ada di kampung halaman, inilah masanya untuk makan masakan kampung asli. kalau masak lemak tu, memang tak kedeku santan orang kata. Berikut antara menu yang boleh anda masak. nanti boleh cari bahan dan masak menu di bawah ni.
1. GULAI LEMAK NANAS IKAN MASIN

BAHAN-BAHAN:
- 3 biji nanas sederhana besar | kupas, belah empat, buang empulur dan hiris sederhana tebal
- 1kg ikan masin talang | cuci dan rendam 30 minit dan toskan
- 5 batang serai | diketuk
- 5 helai daun kunyit | disiat
- 2 keping asam gelugur
- 1 liter santan cair
- 2 kg santan pekat
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:
- 10 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 3 biji cili merah
- 20 biji cili api | lebihkan jika mahu pedas
- 1 inci kunyit hidup
CARA MEMASAK:
1. Masukkan bahan-bahan kisar halus dan serai yang telah diketuk ke dalam periuk.
2. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah ikan masin dan nanas. Kacau rata dan masak hingga nanas 1/2 empuk. Tuang sedikit air jika perlu.
3. Masukkan asam gelugur dan tuang pati santan. Kacau perlahan.
4. Masukkan daun kunyit dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika perlu, baru tambahkan garam secukup rasa. Biar mendidih sekejap dengan api kecil dan kacau selalu. Boleh matikan api.
5. Sedia untuk dihidangkan
2. IKAN KEMBUNG GORENG CILI

BAHAN-BAHAN:
- 6 ekor ikan kembung | dilumur garam dan digoreng
- 4 sudu makan kicap manis
- 2 sudu makan kicap pekat
- 4 sudu makan sos cili
- 5 biji cili padi | dikisar
- 4 biji bawang merah | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dihiris
- 1 biji bawang besar Holland | dihiris
- 1cm halia | dihiris halus
- Sedikit serbuk lada hitam
- 8 biji cili padi | dibuang tangkai
- Sedikit air
- Minyak masak secukupnya
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar hingga garing.
2. Kemudian masukkan hirisan bawang putih, bawang besar, halia dan cili padi. Kacau sehingga naik bau.
3. Seterusnya masukkan kicap manis, kicap pekat, serbuk lada hitam dan sos cili. Kacau rata. Tambahkan sedikit air. Biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan. Perasakan dengan garam jika perlu. Gaul rata dan biarkan mendidih seketika.
5. Sedia untuk dinikmati.
3. SAMBAL IKAN TONGKOL

BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ikan tongkol saiz sederhana | dipotong kecil
- 6 biji bawang merah | dikisar
- 20 tangkai cili kering | direndam air panas dan dikisar
- 1cm belacan | dikisar
- 2 biji bawang besar | dihiris
- 4 keping asam gelugur
- Sedikit garam kasar
- Sedikit garam halus
- Gula secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Bersihkan ikan dan susun di dalam periuk. Tabur garam kasar dan tiga keping asam gelugur.Rebus menggunakan api kecil sehingga ikan masak.
2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan seketika.
3. Dalam kuali yang sama, tumis bahan yang dikisar sehingga wangi. Masukkan satu keping asam gelugur, garam dan gula. Gaul rata.
4. Masukkan ikan yang digoreng tadi bersama hirisan bawang besar. Gaul sehingga semua bahan sekata dan bawang sedikit layu.
5. Sedia untuk dinikmati.
4. LAWA MANGGA MUDA

BAHAN-BAHAN:
- 5kg mangga muda | disagat halus
- 1kg santan kelapa | anggaran mengikut kesesuaian dan jenis manga
- 300gm cili kisar | guna cili kering china
- Sedikit cili padi | mengikut tahap kepedasan yang diingini
- 60gm lada hitam kasar
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Panaskan sekejap santan menggunakan api sederhana namun jangan sampai pecah minyak.
2. Masukkan cili kisar dan biarkan masak lebih kurang 2-3 minit sahaja dengan api sangat perlahan. Ia bertujuan untuk memastikan lawa mangga tahan lama.
3. Satukan mangga dan bahan-bahan lain. Perasakan dengan garam dan gula dengan secukupnya.
4. Siap untuk dihidangkan.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Koleksi Lauk Kampung Yang Enak & Jadi Kegemaran Ramai

Memasak menu-menu ‘rare’ dan dulu-dulu memerlukan ketelitian dari segi bahan dan cara-cara menyediakannya. Kebanyakan resipi ini adalah turun-temurun sejak dahulu lagi. Untuk mendapatkan resipi asli dengan bahan-bahan yang tepat, saya telah menghubungi beberapa orang yang pakar dalam masakan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Menurut kakak ipar Chef Sue yang berasal dari Kedah, generasi lama masih lagi mengekalkan menu masakan tradisonal dalam kehidupan seharian mahupun ketika mengadakan kenduri-kendara.
Gulai batang pisang misalnya, sangat sinonim dengan masyarakat kampung di Kedah. Sering dihidangkan ketika kenduri dan menjadi hidangan yang sangat-sangat dinantikan orang ramai. Biasanya batang pisang yang digunakan ialah dari pokok pisang awak namun pada zaman dahulu, ada juga mereka menggunakan batang pokok pisang hutan. Empulur bahagian dalam batang pokok yang bewarna putih dan lembut itulah yang digunakan dalam membuat gulai ini. Selepas dibersihkan empulur pisang tersebut hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.
Satu lagi contoh ialah kerabu selom beras goreng. Kaedah pembuatannya lebih kurang sama seperti membuat kerabu lain. Bezanya di sini, masyarakat sebelah utara menambah beras goreng tumbuk ke dalam kerabu tersebut. Beras digoreng/sangai tanpa minyak hingga perang. Kemudian ditumbuk atau kisar halus lalu digaul sekali dengan bahan-bahan lain hingga sebati. Bau harum beras sangai itu sungguh menambahkan selera.

GULAI SEPAT MASIN DAN NANGKA MUDA TUMIS DARAT
Bahan-bahan:
- 4-5 ekor ikan masin sepat – potong, rendam dan toskan
- 400ml santan
- 300gram nangka muda – potong kecil & rebus empuk
- 2 biji cili hijau – belah dua
- 3 sudu makan air asam jawa
- 3 sudu makan rempah kari ikan
- 1 labu bawang besar – kisar halus
- 4 ulas bawang putih – kisar halus
- Minyak dan air secukupnya
- Garam dan gula
- Bahan-bahan tumis:
- 5 ulas bawang merah – mayang halus
- 3 ulas bawang putih – mayang halus
- ½ sudu teh halba campur
- 2 tangkai daun kari
Cara memasak:
- Satukan santan cair, air asam jawa, rempah kari ikan dan bahan-bahan kisar halus lalu didihkan hingga hilang bau rempah.
- Masukkan ikan masin dan didihkan lagi dengan api kecil hingga ikan masak. Tambah sedikit lagi air jika kuah terlalu pekat. Kuah gulai haruslah sedikit cair.
- Masukkan nangka muda rebus dan cili hijau.
- Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan gula. Tutup api.
- Sementara itu, di dalam kuali lain, panaskan 2 sudu makan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan-bahan tumis hingga wangi dan naik bau.
- Tuangkan bahan-bahan tumis berserta minyaknya ke dalam periuk berisi kuah gulai ikan masin tadi dan tutup untuk 10-15 minit.
- Sedia dihidangkan.
Waktu memasak: 40 minit
Cara memasak: Reneh & tumis
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Hidangan lengkap ada sayur dan ikan masin
Anggaran kos: RM15 untuk 4 orang makan
Info chef: nangka muda dipotong kecil, bersihkan dan hilangkan getah yang ada. Rebus dulu sehingga empuk lebih kurang setengah jam.

GULAI DAGING BATANG PISANG
Bahan-bahan :
- 600gram daging lembu – potong kecil
- 1 mangkuk batang pisang (empulur/bahagian dalam batang pisang) – potong kecil dan rebus
- 2 cawan santan cair
- 2 cawan santan pekat
- 2 biji tomato – cincang kasar
- 3 labu bawang besar – mayang halus
- 10 ulas bawang merah – kisar halus
- 5 ulas bawang putih – kisar halus
- 3sm halia – kisar halus
- 5 sudu makan serbuk kari daging
- 2 sudu makan kerisek
- 3 kuntum bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 tangkai daun kari
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan tiga sudu makan minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar dan tomato hingga layu dan keperang-perangan.
- Masukkan buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis dan daun kari hingga wangi.
- Satukan rempah kari daging dengan campuran bawang kisar. Campur sedikit air dan kacau hingga menjadi pes yang pekat. Tuang ke dalam periuk. Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan daging dan santan cair. Didihkan hingga daging benar-benar empuk.
- Masukkan batang pisang yang telah direbus beserta santan pekat dan kerisek. Didihkan hingga semua bahan masak sebati.
- Apabila semua bahan telah masak, tambah garam dan gula secukup rasa.
Waktu memasak :45 minit
Cara memasak: Tumis & reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Batang pisang yang lembut sangat sesuai dimasak dengan daging
Anggaran kos:RM15 untuk 4 org
Info chef: empulur pisang hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.

MASAK TEMPOYAK TAUGEH KASAR
Bahan-bahan:
- 2-3 cawan air
- 200gram taugeh kasar – bersihkan
- 4 ekor ikan selar sederhana besar
- 4 sudu makan tempoyak
- Segenggam daun kesum
- 1 kuntum bunga kantan – belah dua
- 1 batang serai – ketuk
- Garam & gula secukup rasa
Bahan-bahan B (tumbuk):
- 10 biji cilipadi
- 4 ulas bawang merah
- 1 inci kunyit hidup
- 1 inci belacan
Cara memasak:
- Tumbuk bahan-bahan B hingga lumat.
- Di dalam periuk; satukan bahan tumbuk bersama air, tempoyak, serai, bunga kantan, daun kesum dan serai. Didihkan hingga semua bahan masak sebati.
- Masukkan ikan dan taugeh kasar. Didihkan beberapa minit.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
- Jika suka boleh tambahkan cili padi beberapa biji (tanpa dipotong).
Waktu memasak:25 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Taugeh kasar yang jadi ‘star’ selain tempoyak
Anggaran kos:RM10 utk 4 org
Info chef: Tempoyak dibancuh dengan sedikit air supaya tidak terlalu pekat

DAGING MASAK ASAM UTARA
Bahan-bahan:
- 500gram daging – hiris kecil
- 3 biji ubi kentang
- 1 cawan air asam jawa
- 1 batang serai – titik
- 1 genggam daun kesum
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
Bahan-bahan B (kisar):
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar merah
- ½ inci kunyit hidup
- ½ inci halia
Cara memasak:
- Tumbuk halus semua bahan B.
- Panaskan sedikit minyak di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B (kisar) hingga wangi.
- Masukkan daging dan tumis beberapa minit hingga daging kecut. Tuang air secukupnya (lebih kurang 2 cawan lebih) lalu didihkan hingga daging empuk.
- Masukkan ubi kentang, air asam jawa dan daun kesum. Didihkan lagi hingga semua bahan masak dan kuah agak pekat.
- Tambah garam dan gula secukup rasa dan sesuaikan rasa masam dan masinnya.
Waktu memasak:45 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Rasa masam masin yang menggamit selera
Anggaran kos:RM10-12 utk 4 org
Info chef: air asam jawa menjadikan rasa enak pada menu ini

SAMBAL SERAI
Bahan-bahan:
- 20 batang serai (tak terlalu tua) – hiris nipis (senipis yang boleh)
- 10 ulas bawang merah – mayang halus
- 4 ulas bawang putih – mayang halus
- 2 labu bawang besar merah – mayang halus
- 4 labu bawang besar merah – kisar halus
- 10 biji cilipadi
- 4 biji cili merah – hiris
- 4 biji cili hijau – hiris
- 1 cawan santan
- 1 cawan udang kering (atau udang geragau)– cuci dan tumbuk kasar
- Garam & gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan mayang hingga wangi.
- Masukkan bawang yang dikisar halus bersama udang kering. Tumis lagi hingga pecah minyak.
- Masukkan santan dan serai. Didihkan hingga semua bahan masak dan agak kering sambil dikacau berterusan.
- Masukkan hirisan cili merah, cili hijau dan cilipadi. Kaup-balikkan sebati.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
Waktu memasak: 45 minit
Cara memasak: Tumis dan reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Harum serai dalam sambal sangat menarik perhatian
Anggaran kos: RM8-10 utk 4 org
Info chef: cari serai yang tidak terlalu tua

KARI AYAM DAN BETIK MUDA
Bahan-bahan:
- ½ ekor ayam – potong kecil
- 1 biji betik muda/mengkal (saiz sederhana) – bersihkan, potong kecil & celur
- 4 cawan santan
- 4 sudu makan rempah kari daging
- 1 sudu makan kerisek
- 1 tangkai daun kari
- 1 keping asam keping/gelugur
- 1 tangkai daun kari
- Garam dan gula perang secukup rasa
Bahan-bahan B (kisar):
- 5 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 3sm halia
Bahan-bahan C (tumis):
- 1 labu bawang besar merah – mayang halus
- 2 ulas bawang putih – mayang halus
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
- Kisar bahan-bahan B hingga menjadi pes yang lumat.
- Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi.
- Masukkan daun kari dan bahan-bahan C lalu tumis lagi beberapa minit.
- Masukkan rempah kari . Tambah sedikit air dan didihkan hingga rempah pecah minyak.
- Masukkan ayam, santan, asam keping dan didihkan hingga semua bahan empuk.
- Masukkan kerisek dan betik muda. Didihkan beberapa minit.
- Tambah garam dan gula perang secukup rasa.
Waktu memasak: 40-45 minit
Cara memasak: Tumis & reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Rasa manis betik mengkal memberi kelainan dalam masakan
Anggaran kos:RM15 utk 4 org
Info chef: buah betik sangat praktikal sebagai bahan pelembut daging ayam kampung yang liat.

KERABU DAUN SELOM BERAS TUMBUK
Bahan-bahan:
- 1 mangkuk besar daun selom – hiris halus
- 1 biji kelapa parut – sangai & tumbuk kasar
- ½ cawan beras – sangai perang & tumbuk halus
- 3 biji cili merah
- 5 bij cilipadi
- 3 ulas bawang merah – bakar
- 2 ulas bawang putih – bakar
- 1 inci belacan – bakar
- Perahan limau secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Cili padi, cili merah, bawang merah bakar, bawang putih bakar dan belacan ditumbuk lumat.
- Di dalam mangkuk besar, satukan kelapa parut dengan bahan-bahan tumbuk dan kacau rata.
- Masukkan hirisan daun selom. Kacau lagi hingga sebati.
- Tambah garam dan gula secukup rasa. Perahkan limau ke dalam kerabu dan sesuaikan rasanya.
Waktu memasak: 15-20 minit
Cara memasak: Mentah & sangai
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Bau wangi beras goreng/sangai memberi kelainan
Anggaran kos:RM8 utk 4 org
Info chef: Beras digoreng/sangai tanpa minyak hingga perang. Kemudian ditumbuk atau kisar halus lalu digaul sekali dengan bahan-bahan lain hingga sebati.

NASI ULAM UTARA
Bahan- bahan A;
- 4 cawan nasi – sejukkan sedikit dan biar berderai
- 1 cawan kelapa yang telah disangai dan ditumbuk kasar
- 1 sudu makan kerisek
- Garam secukup rasa
Bahan-bahan B:
- 2 batang serai muda
- 1 inci lengkuas muda
- 1 inci halia
- 10 biji lada hitam
- 5 biji cili padi
- Seketul kecil ikan kurau/talang masin (yang telah digoreng)
Bahan-bahan C (Ulam):
- Daun kaduk
- Daun cekur
- Pucuk tenggek burung
- Daun limau purut
- Daun sekentut
- Pucuk gajus
- Ulam raja
- Pegaga
- Daun selom
- Pucuk mengkudu
- Pucuk putat
- Pucuk daun kari
- Pucuk samak
- 1 batang bunga kantan
- 1 biji timun
- 1 labu bawang besar
Cara memasak:
- Tumbuk bahan-bahan B hingga lumat.
- Hiris semua jenis ulam-ulaman halus. Kuantiti ulam/pucuk-pucuk memadai segenggam setiap jenis.
- Di dalam mangkuk besar; satukan bahan tumbuk beserta hirisan ulam-ulaman.
- Masukkan nasi sejuk, kelapa sangai dan kerisek. Gaul semua bahan hingga sebati.
- Tambah garam secukupnya dan sesuaikan rasanya. Sedia dihidangkan.
*Nota; pucuk-pucuk dan ulam-ulaman boleh ditambah lagi dan dipelbagaikan.
Waktu memasak: 30 minit
Cara memasak: Mentah & tanak
Jenis masakan: Hidangan utama
Keistimewaan: Hidangan lengkap ada sayur, ikan masin & nasi
Anggaran kos: RM15 untuk 4 orang makan
Info chef: ulam kalau terlalu banyak , jangan letak semuanya. Letak agak-agak je, dikhuatiri jika terlalu banyak nasi akan pahit.

NASI LEMUNI
Bahan-bahan:
- 3 cawan beras – basuh dan tos
- 3 cawan santan pekat
- 1 cawan air segenggam daun lemuni – kisar & tapis airnya
- 3 biji buah pelaga
- 2 kuntum bunga lawang
- 3sm halia – mayang halus
- 1 sudu teh garam
- ½ sudu teh halba
- Sehelai daun pandan – siat & simpul
Cara memasak:
- Masukkan beras ke dalam periuk bersama santan dan air lemuni.
- Tambahkan hirisan halia, halba daun pandan, bunga lawang dan buah pelaga.
- Tanak beras hingga masak.
- Hidangkan bersama sambal tumis atau kari ayam/daging.
Waktu memasak: 20-30 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Hidangan utama
Keistimewaan: Bau harum dari daun Lemuni dan rasa lemak dari santan.
Anggaran kos: RM8 untuk 4 orang makan
Info chef: Bila masak nasi kacau dengan senduk batang lemuni khasiat dari batang tersebut akan masuk ke dalam nasi.

NASI KACANG DHAL PENANG
Bahan-bahan:
- 2 cawan beras basmathi
- 3 cawan air
- 40 gram kacang dhal
- 1 labu bawang besar – mayang halus
- 3 ulas bawang putih – kisar
- 3sm halia – kisar
- 2-3 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan tomato puri
- 1 sudu teh serbuk jintan manis
- 2 helai daun salam kering
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
- Bawang goreng & daun pudina – untuk hiasan
- Bahan-bahan B (tumis):
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 4 kuntum bunga cengkih
- ½ sudu teh halba
Cara memasak:
- Beras direndam bersama kacang dhal selama sejam atau lebih kemudian toskan.
- Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B hingga wangi.
- Masukkan bahan-bahan kisar, daun salam, serbuk jintan manis, serbuk kunyit dan bawang hiris lalu tumis lagi hingga naik bau.
- Masukkan tomato puri, air, campuran beras dan kacang dhal serta garam dan gula secukup rasa.
- Masak hingga nasi hingga tanak.
- Taburkan bawang goreng dan daun pudina diatas nasi untuk hiasan.
- Jika suka boleh tambah pewarna kuning.
Masa memasak: 30-40 minit
Cara memasak: tumis & rebus
Jenis masakan: hidangan utama
Keistimewaan: rasa kacang dhal dalam setiap gigitan dan harum bau mentega/minyak sapi
Anggaran kos: RM10 untuk 4 orang makan
Info chef: nasi kacang dhal enak dimakan dengan apa saja terutama sambal tumis
RESIPI: CHEF SUE M.ARUKIN
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Gulai Pede Cara Mak, Resipi Lauk Kampung Istimewa Orang Pahang
Resipi Kuih Gunting Mudah & Dijamin Menjadi. Sedap Buat Macam Ni!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

