Menjenguk laman sosial bunga_lavenders di instagram seperti melihat hidangan lauk pauk di restoran kampung yang mewah dan sedap mata melihat. Cara persembahan hidangan yang tersusun rapi begitu menyelerakan, hanya menggunakan kamera telefon pintar sahaja. Puan Shafreen pemilik sebenar IG ini sangat merendah diri orangnya tidak mahu dipotretkan hanya sekadar memperlihatkan karya masakan agung yang dihasilkan. Sesiapa sahaja pasti seronok dan terliur melihat gambar masakan yang dikongsikan.

Belajar Resipi Ibu, Insta Bunga_lavenders Tidak Kekok Masak Pelbagai Masakan Kampung.

Berumur 33 tahun, ibu kepada seorang cahaya mata dan dalam masa yang sama bekerja ini memang minat memasak dari usianya 12 tahun lagi. Beliau sering turun ke dapur membantu ibunya dan dari situlah juga ibunya adalah sumber rujukan utama ketika di dapur.

“Pelbagai tips dan petua masakan diturunkan oleh ibu kepada saya. Hasil pembelajaran daripada ibu tercinta, kini saya mahir memasak pelbagai jenis masakan terutamanya masakan kampung. Menu pertama yang saya belajar dari ibu adalah sambal tumis”.

“Kepakaran saya memasak lebih kepada masakan kampung, ini kerana semenjak saya kecil ibu sering menghidangkan lauk pauk kampung yang menjadi kegemaran kami sekeluarga”.

Walaupun ‘working mom’ beliau tetap akan ada masa memasak untuk keluarga tercinta. Beliau  akan memastikan bahan-bahan untuk memasak telah disediakan awal bagi memudahkan kerja memasak pada keesokan harinya.

Bagi yang ingin mengenali Puan Shafreen pemilik sebenar IG dengan lebih dekat lagi bolehlah melayari instagramnya bunga_lavenders . Khas untuk pembaca, beliau juga turut berkongsi resipi juadah yang selalu dihidangkan untuk keluarganya. Selamat mencuba!

 

 

1. MASAK LEMAK IKAN SEPAT MASIN DENGAN BELIMBING BULUH

Belajar Resipi Ibu, Insta Bunga_lavenders Tidak Kekok Masak Pelbagai Masakan Kampung.

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • Ikan sepat masin |rendam semalaman
  • 1 cawan santan
  • 1 ulas bawang putih |dikisar
  • 1 ulas bawang merah |dikisar
  • 1 btg serai |dititik
  • 1 inci kunyit hidup |dikisar
  • 8 tangkai cili api |dikisar
  • 10 biji belimbing buluh
  • 2 helai daun kunyit |dicarik
  • air secukupnya
  • garam dan perasa

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan bahan kisar, serai dan air ke dlm periuk.
  2. Masak seketika hingga mendidih.
  3. Setelah mendidih masukkan santan, perlahankan api dan kacau.
  4. Apabila mendidih masukkan ikan, belimbing buluh, daun kunyit, garam dan perasa.
  5. Sebatikan rasa dan hidangkan.

 

2. ASAM REBUS KELADI DENGAN ISI IKAN

Belajar Resipi Ibu, Insta Bunga_lavenders Tidak Kekok Masak Pelbagai Masakan Kampung.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ikat batang keladi |buang kulit dan rebus
  • 3 ekor ikan kembung |direbus dan ambil isinya
  • 3 keping asam keping
  • 6 tangkai cili kering |dikisar
  • 1 inci kunyit hidup |dikisar
  • sedikit belacan |dikisar
  • 3 ulas bawang merah |dikisar
  • 2 ulas bawang putih |dikisar
  • 1 sudu besar serbuk kari ikan
  • daun kesum
  • garam dan perasa

CARA MEMASAK:

  1. Rebus batang keladi hingga lembut, tos dan ketepikan.
  2. Di dalam periuk, masukkan bahan kisar, asam keping dan air, rebus sehingga mendidih.
  3. Kemudian masukkan batang keladi, isi ikan, daun kesum, garam dan perasa.
  4. Masak sehingga mendidih.
  5. Setelah mendidih, sedia untuk dihidangkan.

 

IKLAN

3. DALCA DAGING DAN TETEL

Belajar Resipi Ibu, Insta Bunga_lavenders Tidak Kekok Masak Pelbagai Masakan Kampung.

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 kg daging dan tetel
  • 4 sudu besar rempah kari daging
  • 1 cawan santan
  • 5 ulas bawang putih |ditumbuk
  • 5 ulas bawang merah |ditumbuk
  • 1 inci halia |ditumbuk
  • 1 biji terung |potong ikut citarasa
  • 1 biji carrot |potong ikut citarasa
  • 1 biji kentang |potong ikut citarasa
  • 1/2 cawan dhal
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1 inci kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 3 tangkai daun kari
  • garam dan perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bunga lawang, buah pelaga, kayu manis dan daun kari.
  2. Masukkan bahan tumbuk, tumis hingga wangi.
  3. Masukkan rempah kari daging yg dibancuh dgn sedikit air, tumis hingga naik minyak.
  4. Masukkan tetel, daging dan air secukupnya, masak smpai empuk.
  5. Masukkan santan dan dhal, biarkan mendidih.
  6. Kemudian masukkan kentang, dan semua sayur-sayuran.
  7. Perasakan dengan garam.
  8. Siap untuk dihidangkan.

 

4. SUP TULANG

Belajar Resipi Ibu, Insta Bunga_lavenders Tidak Kekok Masak Pelbagai Masakan Kampung.

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 1/2 kg tulang
  • 5 ulas bawang merah |dikisar
  • 3 ulas bawang putih |dikisar
  • 2 inci halia |dititik
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 6 biji buah pelaga
  • 1 inci kulit kayu manis
  • 1 sup bunjut
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
  • air secukupnya
  • minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar, halia, bunga lawang, buah pelaga, kayu manis sehingga naik bau.
  2. Masukkan tulang, sup bunjut dan air secukupnya.
  3. Masak sehingga tulang empuk dgn api yg perlahan.
  4. Apabila tulang telah empuk, masukkan serbuk lada sulah, garam dan perasa.
  5. Hidangkan bersama hirisan daun sup dan bawang goreng.

 

5. KERABU PUCUK MENGKUDU

Belajar Resipi Ibu, Insta Bunga_lavenders Tidak Kekok Masak Pelbagai Masakan Kampung.

BAHAN-BAHAN:

  • Pucuk mengkudu |ikut citarasa
  • 4 ekor ikan kembung |rebus dan ambil isinya
  • 1 kuntum bunga kantan |dihiris
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 1 inci halia
  • segenggam kelapa parut
  • 1 biji cili merah |dihiris
  • 4 biji limau kasturi
  • 3 keping asam keping
  • garam dan perasa

CARA MEMASAK:

  1. Rebus pucuk mengkudu bersama asam keping bagi menghilangkan rasa pahit.
  2. Setelah lembut, toskan dan hiris.
  3. Tumbuk lada hitam, halia, bawang merah, kelapa parut dan isi ikan.
    Gaul hingga sebati.
  4. Masukkan garam, perasa, hirisan cili merah, hirisan bunga kantan dan perahan air limau kasturi.
  5. Sedia dihidangkan.

 

Kongsi Resipi & Foto: INSTAGRAM bunga_lavenders

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI