
Hanya peminat tegar Nasi Daun Pisang mampu meluahkan kepuasan saat mereka dapat menikmati hidangan ini. Terdapat beberapa restoran di sekitar Kuala Lumpur yang menawarkan hidangan ini. Walaupun pada asasnya menu yang sama namun kelainan rasa pasti ada dengan ramuan yang berbeza oleh tukang masaknya.
Jika anda mengidam hidangan nasi daun pisang dalam suasana yang serba selesa, bawa keluarga menikmatinya di restoran Chennai@Pacific yang terletak di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Restoran ini menawarkan rasa masakan tradisional Selatan India yang lazat dan disediakan oleh Executive Chef Steven G bersama team. Terdapat beberapa hidangan unik yang turut ditawarkan di sini.
Chennai@Pacific menawarkan hidangan daun pisang bersama empat pilihan kuah iaitu ikan, ayam, dhalca dan kari sayur. Hidangan ini dilengkapi dengan kobis goreng, kacang panjang, timun dan lobak merah.
Set hidangan terdiri daripada nasi kukus bersama rasam, tairu, poppadum dan jeruk limau. Pengunjung boleh memilih hidangan sampingan mengikut kesukaan mereka seperti ayam lada atau ayam varuvel, kambing pratel atau kambing varuvel, kari kepala ikan atau ikan tenggiri goreng, udang masala atau sambal sotong dan seleksi tambahan seperti tauhu sambal.
Pengunjung juga boleh memesan hidangan pencuci mulut seperti ‘payasam’, puding nasi resipi khas dari India. Boleh juga mencuba ‘laddu’ makanan India yang manis yang sukar anda tolak. Ia campuran tepung, gula dan shortening dan berbentuk bulat seperti bola pingpong. ‘Julab jamun’ juga sangat unik kerana makanan pencuci mulut yang klasik di kalangan masyarakat India.
Andai mahu ke sini, Chennai@Pacific dibuka dari jam 11 pagi hingga 2.30 petang dan anda boleh membuat tempahan dengan menghubungi hotel ini.
Santan Buka Cawangan Kedua Di Malaysia

Berikutan kejayaan restoran pertamanya, Santan hari ini melancarkan cawangan keduanya di pusat membeli-belah Sunway Pyramid untuk memenuhi permintaan tinggi daripada penduduk di sekitarnya.
Santan adalah jenama makanan dan minuman dalam penerbangan AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama 11 tahun berturut-turut oleh Skytrax. Santan juga menetapkan visi untuk menjadi francais makanan segera pertama Asean.
Santan, yang dikenali sebagai jenama makanan dalam penerbangan pertama di dunia yang boleh didapati di restoran, melancarkan restoran pertamanya di Mid Valley Megamall di ibu kota pada bulan Disember 2019 atas sambutan luar biasa daripada komuniti pencinta makanan, baik tempatan dan antarabangsa.
Dilengkapi dengan teknologi digital di restoran fizikal, para pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera, bawa pulang atau penghantaran. Hampir satu pertiga pesanan dalam talian di cawangan Mid Valley adalah dari Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya seperti Puchong dan Subang, membuatkan Santan memilih Sunway Pyramid sebagai lokasi seterusnya.
Dalam ekonomi yang mencabar ini, Santan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk membantu mantan kakitangan industri penerbangan. Mereka yang mempunyai latar belakang profesional dan berbeza seperti kru kabin dan perkhidmatan pelanggan akan dilatih semula dengan kemahiran untuk berhubung dengan pelanggan luar dan dalam talian Santan.
Santan turut menawarkan peluang perniagaan francais kepada pengusaha industri makanan dan minuman dengan nilai yang hebat. Dengan pakej francais yang kompetitif, pengusaha tempatan boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang disokong oleh AirAsia dan rakan kongsinya. Santan akan memberikan sokongan dan latihan berterusan untuk semua pengusaha francais mulai suku keempat tahun ini.
Selain bekerjasama dengan rakan penghantar popular, Santan menawarkan perkhidmatan penghantaran sendiri dan disokong oleh platform penghantaran makanan AirAsia yang sedang berkembang iaitu OURFOOD, seterusnya memberi peluang kepada pengusaha francais untuk meningkatkan keuntungan.
Pengurus Besar Santan Catherine Goh berkata: “Kami berbangga kerana dapat mengembangkan perniagaan kami setelah melancarkan restoran pertama kira-kira setengah tahun lalu. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan daripada pelanggan setia kami dan permintaan berterusan terhadap hidangan kami yang diilhamkan oleh ASEAN dengan kualiti yang tiada tandingan dan harga yang berpatutan. Walaupun situasi kini mencabar, kehadiran kami dalam industri makanan dan minuman dan visi strategik kami untuk mengembangkan Santan melalui peluang francais dipercepatkan oleh permintaan ramai.
“Selain membantu pengusaha tempatan menerokai industri makanan dan minuman, kami juga akan terus bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk memasarkan produk mereka menerusi Santan dan mendapatkan hasil segar secara langsung daripada pengeluar pertanian tempatan melalui OURFARM. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan. Sama ada anda menjamu selera, membawa pulang atau memesan hidangan Santan, anda secara langsung membantu komuniti setempat. Kami berharap dapat mengalu-alukan kedatangan anda ke cawangan baharu kami di Sunway Pyramid.”
Selain daripada hidangan panas, Santan juga memperkenalkan rangkaian produk beku siap dimakan seperti Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Padang dengan Rendang Daging, serta menu baharu yang diilhamkan oleh Asean seperti Nasi Lemak Goreng dengan Ayam Goreng Berempah, Ayam Goreng dengan sos Keju Rempah dan Gado-Gado.
Untuk meraikan pembukaan cawangan baharu ini, Santan menawarkan promosi masa terhad untuk dua Hidangan Kombo yang terdiri daripada satu makanan dan minuman setiap kombo dengan hanya RM20. Promosi ini boleh didapati untuk menjamu selera, bawa pulang dan penghantaran di cawangan Sunway Pyramid dan boleh dipesan di santan.com.my dari 22 sehingga 31 Julai 2020 menggunakan kod promosi SUNWAY.
Untuk maklumat terkini mengenai Santan, ikuti mereka di Instagram (@santan.asean).
ANDA MAHU MENCARI AIR FRYER, JOM KLIK DI SINI.
Resipi Sandwic Telur Viral Yang Hanya Guna 3 Bahan. Ringkas Tapi Sangat Sedap.
Dekorasi Kek Menarik, Ilham Anak Muda Di Modernecks

Kedai kek dan pastri Modernecks Seksyen 24, Shah Alam, bagaikan magnet menarik pelanggan dengan kelazatan kek dan pastrinya yang dijual dengan harga berpatutan. Dekorasi gaya hipster, dekorasi kek warna warni nan cantik dan variasi pilihan menunya cukup memikat selera. Tapi yang paling kuat tarikan ke Modernecks ni adalah aroma kek dan pastry yang dibakar segar terus dari dapur dalam kedai.
.
Pemiliknya adalah anak muda berusia 30 tahun, Muhammad Firdaus Mohd Radzi yang menjadi ‘orang kuat’ memperkasakan perniagaan keluarganya. Mempunyai latarbelakang kulinari dan pembuatan kek dan pastri sebelum ini dia pernah meraih pengalaman sebagai Chef sepenuh masa di hotel terkemuka
.
“ Saya suka keluar dari zon selesa kerana saya percaya apa yang saya ada iaitu kemahiran dan ilmu boleh digunakan dan untuk beri manfaat masyarakat. Saya juga mengambil kakitangan dan ‘baker’ muda yang baru habis belajar bagi memberi peluang kepada mereka merasai bekerja dalam industri ini.
Kedai ini ibarat tempat staf saya berlatih dan menggilap bakat dan ilmu sambal menjalankan pekerjaan. Staff saya semuda 18 tahun dan semuanya berusia bawah 30 tahun,” kata Firdaus yang cukup bangga dengan kemajuan dan skil yang dicapai pasukan kerjanya.
.
Di antara kek yang popular di sini adalah Chocolate Fudge, Choc Caramel, Kek Pandan Gula Melaka, Kek Oreo, Salted Vanila Caramel, Rainbow Cakes, Kek Red Velvet dan Brownies. Manakala Rainbow Kek , Pavlova dan Krim Puff juga turut mendapat sambutan hangat pelanggan.
.
Lebih menarik kek juga dijual dalam bentuk mini (baby cake) bermula RM18 dengan berat 300gm bagi memberi harga yang lebih mampu buat pelanggan, Kek seberat ½ kg bermula dengan harga RM38 dan Satu kilogram pula dengan harga RM73,bergantung kepada jenis kek.
.
Modernecks juga turut menerima tempahan ‘custom made’, korporat dan majlis keraian. Lebih 60 peratus daripada tempahan yang diterima kini adalah melalui online melalui FB, Instagram dan juga Whatsapp.
.
INFO KEDAI :
Lokasi : No 9-G, Jalan Kangkung Puteri 24/7, Seksyen 24, Shah Alam, Selangor
Pemilik : Muhammad Firdaus Mohd Radzi dan keluarga
Waktu urus niaga : Setiap hari, Jam 10 pagi hingga 10 malam
Suka Makan Lok Lok Tetapi Risau Status Halalnya? Cuba Yang Ini, Confirm Halal & Sedap.

Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Cara menikmati Lok-Lok sangatlah mudah, iaitu dengan memilih jenis makanan yang ingin kita makan, kerana makanan yang disajikan masih belum masak sepenuhnya jadi kita berikan ke pelayan untuk di sajikan.
Cara penyajian makanan dengan 3 cara iaitu digoreng, direbus dan dipanggang. Terserah pada selera pengunjung. Makanan ini sangat murah, enak dan sihat kerana dari daging, sayur segar dan bahan makanan pilihan.
Anda suka makan Lok-Lok tetapi ragu dengan status halalnya? Usah bimbang lagi kerana kini sudah ada restoran menjual makanan ini yang sangat sedap, harga berpatutan dan confirm halal. Sesiapa yang berminat boleh datang terus ke Restoran Enak Rasa yang terletak di No.29, Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Melihatkan susunan isian Lok-Lok tersusun cantik dalam pinggan di kios bertingkat di luar restoran dalam keadaan segar, membuatkan penulis teruja tak sabar nak makan. Rambang mata, tak tahu nak pilih yang mana satu, semuanya nampak sedap.
Pilih punya pilih tak sedar entah berapa cucuk dah pilih termasuklah sayur. Tak sampai lima minit pilihan Lok-Lok yang telah dipilih diambil oleh pembantu restoran untuk di celup dalam sup panas menggelegak di sebelah kios. Baru duduk kat meja air, Lok-Lok menyusul di meja masih panas siap dengan lelehan sos Sambal Kacang dan Sos Kicap Tiram.
Perghhh… masuk mulut je terasa keenakannya, memang ni Lok-Lok versi Malaysia, rasa sos Sambal Kacang yang pedas manis dan dibland pulak dengan rasa masin kicap. Memang terangkat sedapnya . Cukup rasa, sesuai sangatlah dengan nama restorannya Enak Rasa.
Lok-Lok Enak Menggiurkan
Sesiapa yang suka Lok-Lok, makanan yang popular di kalangan Masyarakat Cina ini, wajib datang ke restoran ini dan cuba sendiri, ajak kawan-kawan dan keluarga. Bukan hanya sedap harga pun berbaloi. Satu cucuk hanya RM1.30 dan sayurnya RM1.00 secucuk. Pilihlah berapa banyak pun, ikut selera. Tak mau makan di kedai boleh tapau, sos asing. Ada lebih 24 pilihan isian Lok-Lok dan ditambah dengan variasi sayur-sayuran.
Kalau tak mau makan Lok-Lok, ada makanan lain boleh dicuba seperti nasi ayam memang boleh layan, Sup Gear Box sangat mengacam dan soto nasi impit campur bihun juga boleh layan.
Atau nak yang lebih ringan boleh makan lempeng. Ada tiga jenis lempeng yang disediakan, iaitu Lepeng Pisang, Lempeng Kelapa dan Lempeng Telur. Bayangkan makan panas-panas cicah dengan Sambal Merah dan Sambal Hijau…
Menurut pemilik restoran ini Aidil Yasin yang juga pemilik Katering Enak Rasa yang memang tidak asing lagi dalam industri F & B, restoran Enak Rasa memulakan operasi seawal pukul 7.00 pagi hingga 11.00 malam.
Waktu pagi, restoran ini juga ada menyediakan menu sarapan pagi dan tengah hari. Untuk hidangan tengahari pelbagai lauk nasi campur ada disediakan. Sementara Lok-Lok hanya dijual sebelah petang hingga ke malam.