Sekarang tengah hangat viral di grup-grup masakan di media sosial tentang resipi kuih Apam yang menggunakan tiga bahan. Resipinya hanya menggunakan telur, tepung gandum dan gula sahaja. Nampak mudah dan senang nak buat kan?
Namun apa yang diimpikan tidak seindah realiti. Ramai yang mencuba tetapi tidak menjadi. Kuantiti bahan, cara-cara pembuatan serta aturan memasak dah sama, tetapi hasilnya, sedih nak cerita. Ada yang leper, ada yang berkedut kematu, ada yang liat. Macam-macam. Bila baca setiap ‘posting’ mengenai Apam 3 bahan yang tak menjadi tu, kesian pun ada malah nak gelak pun ya juga. Ada yang kata dah macam makan getah pemadam dah! Ha…kenapa ya jadi macam tu? Jom baca ulasanChef Imelda Harris(Masterchef).
1. ELAK GUNA BLENDER
Biasanya untuk menyediakan apa-apa sahaja kek atau kuih muih, pemukul sama ada elektrik mahupun manual digunakan untuk menjadikan adunan kembang dan sebati. Bentuk bilah mata pemukul yang bulat, lebar dan direka khas untuk mengadun adunan kek, membantu menjadikan telur dan gula kembang sempurna.
Berbeza dengan mata pengisar (blender) yang direka untuk mengisar dan menghaluskan rempah masakan dan bukannya untuk mengembangkan adunan kuih. Bentuk mata blender yang tajam serta halus tidak sesuai dan tidak membantu proses pengembangan telur. Oleh sebab itu bila anda memukul telur dan gula menggunakan blender, anda akan dapati sangat susah untuk bancuhan ini kembang. Malah, anda juga perlu memukul dengan lama sehingga telur kelihatan berbuih. Kalau nak tahu, bila telur dan gula dipukul lama, teksturnya juga sudah berubah kerana sudah terlebih pukul. Jadi, bila dicampur dan diadun bersama tepung, tiada udara yang terkandung di dalam adunan. Oleh sebab itu, bila dikukus, apam anda menjadi bantat dan tak naik-naik.
2. TELUR TAK SEGAR
Ads
Setelah diteliti resipi ini, hanya telur sahaja yang digunakan sebagai agen pengembang. Biasanya untuk membuat apam atau kek, telur disokong oleh agen-agen pengembang yang lain seperti yis, soda bikarbonat, serbuk penaik, eno dan sebagainya. Oleh itu, disebabkan telur ini perlu ‘bekerja keras’ sendirian bagi membina apam, maka ia perlulah betul-betul segar. Jika guna telur lama, memang tak ada ‘power’ lah nak mengembang. Malah, kuantiti telur pun kena cukup. Untuk adunan ini naik gebu, sekurang-kurangnya , 3 biji telur segar bersaiz A perlu digunakan.
3. TEPUNG KENA AYAK
Penting! Setiap kali membuat apa-apa kuih atau kek, tepung perlu diayak. Proses ini membantu mengisikan udara ke dalam tepung dan menjadikan adunan lebih ringan seterusnya menghasilkan apam yang gebu. Maklumlah, dah lah guna telur je sebagai agen pengembangan. Kalau tepung tu berat, memang keras la apam jadinya. So, lepas ni ayak dulu ya.
4. GUNA GULA KASTOR
Dalam penghasilan kek dan kuih, gula berfungsi untuk memberikan rasa manis, melembutkan adunan serta bertindak sebagai agen pelekat. Dalam proses membuat apam yang gebu dan lembut, Sebaiknya gunakan gula kastor ( halus). Jika anda menggunakan gula biasa, apabila dipukul bersama telur, ia akan jadi lambat sebati seterusnya menjadikan adunan apam tidak halus serta kurang menjadi apabila dikukus.
5. ALAS PENUTUP PERIUK KUKUSAN
Ia bertujuan bagi mengelakkan wap-wap air menitis semasa dikukus. Titisan air tersebut jika terkena pada adunan apam, akan menyebabkan permukaan kuih menjadi berkedut dan bantat. Oleh itu, sebelum mengukus, alas penutup periuk kukusan dengan kain seperti tuala atau tudung lama yang bersih dan menyerap air.
Jangan sedih-sedih tau kalau tak menjadi. Boleh cuba lagi resipi apam lain yang guna yis. Yang ni pasti menjadi. Jom lihat bahan-bahan yang anda perlukan.
APAM NASI
Ads
BAHAN-BAHAN A (TAPAI NASI):
1 cawan nasi sejuk
400ml air
200gm gula pasir
11gm yis
BAHAN B:
200gm tepung beras
200gm tepung gandum
BAHAN KELAPA PARUT:
Kelapa parut secukupnya
Garam secukupnya
BAHAN LAIN:
Air secukupnya
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Kisar halus kesemua bahan A. Ketepikan.
Ads
2. Kelapa parut dan garam digaul sebati. Ketepikan.
3. Kemudian masukkan bahan A ke dalam adunan bahan B (tepung). Gaul sekata dan perap selama 3 jam. Ketepikan.
4. Didihkan air di dalam kukusan. Sediakan acuan apam dan oleskan sedikit minyak masak di permukaan dalamnya. Tuang adunan yang telah diperap tadi dan kukus selama 15 minit.
5. Setelah masak, keluarkan apam dan masukkan ke dalam pinggan. Tabur kelapa parut di atasnya.
6. Sedia dinikmati.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Marjerin dan mentega adalah dua bahan penting yang selalu digunakan dalam masakan. Tidak kira sama ada untuk menyediakan kek, biskut mahupun lauk pauk, kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam menyedapkan sesuatu masakan.
Jika dilihat secara sekali imbas, mentega dan marjerin kelihatan tiada beza. Namun kedua-duanya sebenarnya mempunyai perbezaan. Oleh yang demikian, jika dalam sesuatu resipi menggunakan mentega, anda tidak digalakkan menggantikannya dengan marjerin dan begitulah sebaliknya kerana ia akan menghasilkan hasil yang tidak seperti dijangka.
Antara perbezaannya adalah:
MENTEGA
foto: cnbc.com
Diperbuat daripada lemak haiwan iaitu lemak susu.
Berwarna lebih pucat berbanding marjerin.
Dari segi tekstur, mentega lebih mudah lembut dan cair pada suhu bilik.
Mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi seperti Vitamin A, E, K yang tidak larut dalam air.
Cara penyimpanannya adalah perlu disimpan di dalam peti sejuk.
Sesuai digunakan untuk memasak makanan barat, menumis sup pekat, membuat kek, pastri dan sebagainya.
MARJERIN
foto: paramdairy.com
Diperbuat daripada kombinasi lemak haiwan dan lemak sayuran.
Marjerin mempunyai warna yang lebih kuning berbanding mentega.
Boleh dibiarkan agak lama pada suhu bilik tanpa merubah teksturnya.
Mengandungi kurang vitamin berbanding mentega.
Marjerin boleh disimpan diluar tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Sesuai digabungkan bersama mentega untuk menghasilkan nasi tumis yang enak, membuat biskut, kek-kek tradisional, kuih muih dan lain-lain.
Pasti ramai yang gemarkan buah tembikai. Jusnya manis dan lazat. Selain itu, buah ini juga boleh dijadikan salad atau dimakan begitu sahaja. Jika musim panas, memang enak menikmati tembikai kerana kandungan airnya yang banyak mampu menghilangkan dahaga.
foto: jessicainthekitchen.com
Tahukah anda tembikai ni sebenarnya banyak khasiat. Antara manfaatnya ialah:
KHASIAT & MANFAAT BUAH TEMBIKAI
1. KAYA VITAMIN & ZAT
Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain turut mempunyai manfaat yang tinggi dalam perubatan.
2. MAMPU MENYEMBUHKAN MASALAH KESIHATAN
Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris dikatakan amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit.
3. MENURUNKAN TEKANAN DARAH & KAWAL KALORI
Selain itu, antara kebaikan memakan tembikai ialah dapat membantu menurunkan tekanan darah. Ini kerana tembikai kaya dengan kalium. Pengambil setengah biji buah tembikai membolehkan badan manusia memperoleh kira-kira 825 mg kalium, iaitu zat logam penting yang berperanan merendahkan tekanan darah. Kalium juga berfungsi menghalang kolesterol jahat daripada melekat dan menyempitkan pembuluh darah arteri.
4. BANTU CEGAH ASMA
Selain itu, ia juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit asma. Kandungan vitamin C dalam buah tembikai adalah salah satu nutrien yang dapat mencegah penyakit ini dari menyerang.
5. JAGA SISTEM PENGHADAMAN
Tembikai juga dapat membantu penghadaman. Kandungan air dan gentian dalam tembikai dapat membantu mencegah sembelit dan menggalakkan kekerapan untuk saluran penghadaman yang sihat.
Pendek kata, ada pelbagai sebab yang boleh dijadikan alasan mengapa anda perlu memasukkan tembikai ke dalam makanan harian anda. Banyak kebaikannya! Untuk kanak-kanak, biasanya mereka kurang gemar makan buah tembikai dalam bentuk yang biasa. Jadi, anda boleh hasilkan Aiskrim Tembikai di bawah ini untuk memikat selera si kecil.
AISKRIM TEMBIKAI MERAH
BAHAN-BAHAN:
500gm isi tembikai
1 sudu makan jus lemon
115gm gula putih
100gm rasberi segar
Acuan ais krim
Batang ais krim secukupnya
CARA MEMASAK:
Masukkan isi tembikai, jus lemon, gula dan rasberi ke dalam pengisar dan kisar hingga gula hancur dan bertukar lembut.
Masukkan adunan itu ke dalam acuan ais krim dan masukkan batang ais krim.
Setelah itu, sejuk dan bekukan di dalam peti sejuk selama beberapa jam atau semalaman.
Buah epal merupakan antara buah-buahan import yang paling digemari ramai dan sangat mudah didapati di negara kita. Di mana sahaja ada menjualkan sama ada gerai buah kecil mahu pun pasar raya besar dan ternama. Terdapat pelbagai jenama dan jenis epal untuk anda pilih.
foto: thebalance.com
Namun, hakikatnya, masih ramai yang belum mengetahui khasiat sebiji epal. Buah yang mempunyai tekstur kulit yang licin, warna hijau dan merah itu antara buah-buahan yang mempunyai kelebihan dalam diet pemakanan dan sistem tubuh. Selain sedap untuk dimakan begitu sahaja dan dibuat sebagai masakan seperti pai atau pencuci mulut, buah epal mempunyai khasiatnya tersendiri untuk kesihatan,
KHASIAT BUAH EPAL
Mengandungi serat yang tinggi dan antioksidan seperti flavonoid, beta karotenadan fitokimia. Selain itu, ia juga mengandungi vitamin C, vitamin A dan vitamin Bkompleks.
Dalam pada itu, fitokimia yang dijumpai di dalam buah epal bukan sahaja membantu menghalang salur darah daripada tersumbat (penting untuk menghalang sakit jantung) malah ia juga menghalang sel kanser daripada merebak ke seluruh badan untuk keadaan tertentu.
Kandungan agen antioksidanyang terdapat dalam epal mampu menentang radikal bebasserta dapat melambatkan proses penuaan yang menyebabkan kulit wajah cepat berkedut. Ia juga memperbaiki tekstur kulit wajah dengan memperbaharui sel-sel kulit dengan segera. Purata air lebih kurang 115.82 gram yang terkandung dalam sebiji epal juga dapat melembapkan kulit yang kering.
Epal yang mengandungi kandungan serat dan kalori yang tinggi penting dalam membantu proses mengawal berat badan. Serat dapat melambatkan kita dari berasa lapar manakala kalori pula dapat memberikan kita tenaga.
Epal juga tidak mengandungi kolesterol serta lemak. Jadi bagi sesiapa yang hendak berdiet, epal sesuai menjadi snek terbaik untuk mengalas perut dan juga membantu menguruskan badan.
foto; mottsfresh.com
Kurang selera makan epal secara segar macam tu? Ini ada empat resipi berasaskan epal yang bukan sahaja kaya khasiat bahkan sedap dimakan. Selamat mencuba ya!
1. AYAM SOS EPAL
BAHAN-BAHAN:
2 ketul ayam bahagian dada |potong kecil
1 biji telur
5 sudu makan tepung jagung
Lada hitam dan garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya
BAHAN UNTUK SOS EPAL:
1 kiub pati ayam
1 ½ cawan air
¼ cawan jus lemon
2 sudu makan gula
1 sudu makan madu
1 biji epal |potong kiub kecil
1/2 biji lemon | parut kulit
CARA MEMASAK:
Mula-mula, gaul sebati ayam, garam, lada hitam dan telur.
Masukkan tepung jagung dan gaul sebati.
Panaskan minyak di dalam kuali, goreng ayam di dalam minyak panas hingga perang keemasan dan garing.
Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
Untuk menyediakan sos epal; Satukan air, pati ayam, jus lemon, gula dan madu. Masak sehingga mendidih.
Kemudian masukkan epal dan parutan kulit lemon dan masak hingga sos likat.
Tuang ke atas ayam yang digoreng tadi. Taburkan bijan dan gaul sekata.
Sedia untuk dihidangkan.
Info chef: untuk memekatkan lagi kuah, tambahkan bancuhan satu sudu makan tepung jagung dicampurkan dengan sedikit air ke dalam sos semasa proses memasak.
2. APPLE ALMOND MUFFIN
BAHAN-BAHAN:
250gm tepung naik sendiri
100gm gula kastor
60gm mentega
225ml susu segar
1 biji epal dipotong dadu kecil (lebihkan epal jika suka)
Kepingan badam untuk hiasan
CARA MEMASAK:
Pukul mentega dan gula kastor hingga kembang. Kemudian masukkan tepung diselang-selikan dengan susu segar.
Gaul sebati dan masukkan potongan epal ke dalam adunan.
Tuangkan adunan ke dalam acuan muffin.
Taburkan kepingan badam di atasnya.
Bakar dengan suhu 200˚C hingga perang keemasan.
Keluarkan dan sedia untuk dihidangkan.
Info chef: Panaskan oven sekurang-kurangnya 10 minit dahulu sebelum dibakar untuk memastikan suhu oven sekata dan muffin naik kembang dengan baik. Campurkan coklat chip atau kacang walnut ke dalam adunan untuk rasa lebih menarik.
3. APPLE SLICE FRITTER
4 biji epal |potong dan buang tengahnya
100gm tepung gandum
1 biji telur
150ml susu segar
Secubit garam
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Satukan telur, susu segar, garam dan serbuk kulit kayu manis. Pukul sebati.
Masukkan tepung dan gaul sebati hingga rata.
Celupkan kepingan epal ke dalam adunan secara rata.
Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng kepingan epal yang telah disalut tadi hingga berwarna perang keemasan dan garing.
Angkat toskan minyak. Ulangi langkah hingga selesai.
Sedia untuk dihidangkan panas-panas.
Info chef: Untuk lebih enak, selepas goreng, toskan minyak dan salut dengan gula perang. Hidang bersama aiskrim.
4. BROWNIES EPAL
BAHAN-BAHAN:
2 biji epal dipotong kiub
250gm mentega
200gm gula perang
250gm gula kastor
250gm tepung Red Rose
5 biji telur
2 sudu teh serbuk penaik
CARA MEMASAK:
Pukul mentega dan gula perang hingga kembang.
Masukkan satu persatu telur sambil memukul adunan.
Satukan tepung dan serbuk penaik, masukkan ke dalam adunan gaul sebati.
Masukkan potongan epal ke dalam adunan dan tuang ke dalam loyang bersaiz 8cm x 8cm. Jika ingin mendapatkan lapisan yang sedikit nipis gunakan loyang 12cm x 12cm.
Bakar dengan suhu 180˚C selama 35-40 minit.
Angkat dan sejukkan di atas redai sebelum dipotong dan dihidangkan.
Info chef: Picitkan sos karamel di atas kek untuk menambah keenakannya.