
Balik kerja penat, perut lapar tapi tenaga nak masuk dapur memang dah tak ada. Situasi macam ni memang biasa, terutama bila jadual harian padat.Sebab itu konsep freezer meal semakin praktikal untuk diamalkan.
Mudah sahaja konsepnya,masak lebih sekali, bahagi kepada beberapa portion, simpan dan panaskan semula bila perlu.Tak perlu masak dari kosong setiap hari dan tak semestinya kena makan benda yang sama berturut-turut.
Kalau dirancang dengan betul, cara ini boleh bantu jimat masa, kurangkan pembaziran makanan dan buat rutin makan di rumah jadi lebih mudah.
Apa Sebenarnya Freezer Meal?
Freezer meal ialah makanan yang disediakan lebih awal dan disimpan dalam freezer untuk dimakan kemudian.Ada yang dimasak sepenuhnya sebelum dibekukan, ada juga yang hanya diperap atau disediakan separuh sebelum dimasak pada hari lain.
Contohnya, sambal boleh dimasak lebih dan dibahagikan kepada beberapa bekas kecil. Ayam pula boleh diperap awal dan dibekukan mengikut satu hidangan.Bila nak makan, cuma keluarkan satu portion sahaja.Lebih mudah dan kurang membazir.
Menu Apa Yang Sesuai Dibekukan?
Tak semua makanan memberikan hasil yang sama selepas dibekukan, tetapi banyak menu harian sebenarnya sesuai.Antara yang paling mudah ialah makanan berkuah atau bersambal.
Contohnya:
- Rendang
- Kari
- Sambal tumis
- Sup
- Stew
- Ayam masak merah
- Daging masak kicap
- Kuah pasta
- Pes masakan
Makanan seperti ini biasanya masih sedap selepas dipanaskan semula kerana kuah membantu mengekalkan rasa dan tekstur.
Masak Kuah Asas Sekali
Salah satu cara paling mudah untuk mula ialah menyediakan kuah asas.Contohnya, masak satu periuk besar sambal tumis.Kemudian bahagi kepada beberapa bekas.Hari pertama boleh masukkan ikan bilis.Hari lain jadikan sambal udang.
Kemudian boleh pula digunakan untuk telur sambal.Satu kuah asas boleh menghasilkan beberapa menu berbeza.Cara ini lebih fleksibel berbanding membekukan satu jenis lauk dalam kuantiti yang terlalu banyak.
Perap Protein Siap-Siap
Ayam, daging atau ikan juga boleh disediakan lebih awal.Bahagikan mengikut portion sekali masak, kemudian masukkan perapan.Contohnya:Ayam kunyit untuk satu hidangan,Ayam black pepper untuk hidangan lain,Ayam berempah pula untuk hujung minggu.
Simpan setiap satu secara berasingan.Bila mahu memasak, anda tak perlu lagi mengeluarkan semua bahan perapan dan mula dari awal.
Pastikan bahan mentah disimpan dalam bekas atau beg bertutup rapat supaya air perapan tidak terkena makanan lain. Untuk mencairkannya, pindahkan ke bahagian chiller peti sejuk lebih awal dan bukannya membiarkannya terlalu lama pada suhu bilik.
Jangan Simpan Dalam Bekas Terlalu Besar
Ini antara kesilapan yang selalu berlaku.Masak satu periuk besar, kemudian simpan semuanya dalam satu bekas.Bila nak makan sedikit, seluruh bekas perlu dicairkan.
Lebih praktikal kalau makanan dibahagikan terus mengikut saiz satu atau dua hidangan sebelum dibekukan.Selain mudah dikeluarkan, ia juga mengurangkan risiko makanan berulang kali dicairkan dan disejukkan semula.
Kalau menggunakan beg penyimpanan khas freezer, makanan tertentu juga boleh diratakan supaya tidak mengambil terlalu banyak ruang. Cara ini memudahkan penyusunan, terutama kalau ruang freezer di rumah agak terhad.
Label Bekas, Jangan Percaya Ingatan
Masa baru simpan memang rasa macam boleh ingat.“Yang ni kari ayam,Yang ni sambal”.Dua minggu kemudian, semua bekas nampak lebih kurang sama.Jadi, tulis nama makanan dan tarikh pada bekas atau beg penyimpanan.
Perkara kecil macam ini boleh menjimatkan banyak masa bila mencari makanan kemudian. Kalau mahu lebih teratur, susun makanan yang lebih awal dibekukan di bahagian depan supaya boleh digunakan dahulu. Dengan cara ini, stok lama tidak mudah terlupa apabila makanan baru dimasukkan.
Sejukkan Sebelum Masuk Freezer
Selepas memasak, jangan terus masukkan makanan yang masih terlalu panas dalam kuantiti besar ke dalam freezer.
Bahagikan makanan kepada bekas kecil atau cetek supaya lebih cepat sejuk, kemudian simpan dalam peti sejuk atau freezer tanpa berlengah.
Jangan biarkan makanan yang mudah rosak berada pada suhu bilik melebihi dua jam, atau satu jam jika suhu persekitaran melebihi 32°C.
Gunakan bekas yang sesuai untuk freezer dan tutup dengan kemas supaya makanan tidak mudah terkena freezer burn atau menyerap bau makanan lain.
Ada Makanan Yang Kurang Sesuai
Walaupun freezer meal sangat praktikal, ada makanan yang teksturnya boleh berubah selepas dibekukan.Sayur yang tinggi kandungan air seperti timun dan salad biasanya akan menjadi lembik.
Makanan bergoreng rangup pula mungkin kehilangan tekstur selepas dipanaskan semula.Kentang juga boleh berubah tekstur bergantung pada cara ia dimasak.
Sebab itu, untuk sesetengah hidangan, lebih baik bekukan kuah atau lauk utama sahaja dan sediakan sayur segar ketika mahu makan.
Jangan Bekukan Semua Nasi Sekali
Kalau mahu simpan nasi, bahagi terus mengikut portion kecil.Bila mahu makan, panaskan hanya jumlah yang diperlukan.Cara ini lebih praktikal berbanding menyimpan nasi dalam satu bekas besar. Bagi yang selalu makan seorang atau dua orang, portion individu memang sangat membantu.
Untuk nasi yang sudah dimasak, pastikan ia disejukkan dengan cepat dan disimpan dengan betul. Nasi tidak sesuai dibiarkan lama pada suhu bilik kerana bakteria tertentu boleh membiak walaupun nasi masih kelihatan elok.
Apabila mahu makan, panaskan nasi sehingga benar-benar panas dan elakkan memanaskannya berulang kali.
Jadikan Freezer Sebagai “Menu Backup”
Tak perlu penuhkan freezer dengan 20 bekas makanan.Mulakan dengan tiga atau empat jenis sahaja.
Contohnya:Satu bekas sambal,Satu kari,Satu ayam perap,Satu sup.
Anda mungkin berminat dengan
Bila hari sibuk, anda masih ada pilihan makanan tanpa perlu bergantung pada makanan segera atau delivery.
Berapa Lama Freezer Meal Boleh Disimpan?
Tempoh penyimpanan bergantung pada jenis makanan, cara penyediaan dan suhu freezer.
Untuk kebanyakan lauk yang sudah dimasak, tempoh sekitar dua hingga tiga bulan boleh dijadikan sasaran praktikal bagi mengekalkan kualiti rasa dan tekstur, walaupun sesetengah makanan mempunyai tempoh penyimpanan berkualiti yang berbeza.
Pastikan suhu freezer berada sekitar -18°C atau lebih rendah. Makanan yang sentiasa kekal beku pada suhu ini boleh bertahan lebih lama dari sudut keselamatan, tetapi kualitinya mungkin semakin berkurang.
Apabila mahu makan, cairkan makanan dengan kaedah yang selamat dan panaskan sehingga betul-betul panas. Bagi makanan lebihan yang dimasak, suhu dalaman sekitar 74°C boleh dijadikan panduan ketika memanaskan semula.
Masak Sekali, Mudahkan Hari Lain
Konsep freezer meal bukan bermaksud makan makanan lama setiap hari.Ia lebih kepada memasak secara bijak.Bila ada masa, masak sedikit lebih.
Bahagikan, simpan dan gunakan semula pada hari yang lebih sibuk.Dengan sedikit perancangan, satu sesi memasak pada hujung minggu boleh membantu meringankan beberapa waktu makan sepanjang minggu.
Kadang-kadang, rahsia untuk masak lebih mudah bukanlah mencari resipi paling cepat.Tetapi memastikan ada sesuatu yang sudah siap menunggu dalam freezer.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Kek Batik Horlicks Sedap Berlemak, Ini Sukatan Betul Supaya Tak Terlalu Manis Atau Cepat Keras
Bubur Pulut Hitam Kacang Merah, Resipi Istimewa Lemak Manis Memang Sedap
https://www.rasa.my/bubur-rolled-oat-daging/

sekarang!
