Daging masak apa pun sememangnya sedap, namun keenakan lebih terasa bila ia disediakan dengan menu tradisional. Agak renyah melihatkan bahan-bahan tetapi hasilnya bila dimasak tidak pernah mengecewakan. Lambakan resipi barat serta fusion menjadikan resipi-resipi tradisional serta lama ini makin ditinggalkan. Jika tidak disimpan serta dipelihara, tidak mustahil sajian-sajian lama ini dilupakan oleh anak cucu kita nanti. Jom share dan cuba resipi-resipi yang RASA kongsikan ni. Memang sedap & memenuhi citarasa.

 

1. ACAR DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm daging batang pinang  | hiris nipis
  • 1/2 batang timun | buang biji dan hiris memanjang
  • 1/2 batang lobak merah | hiris memanjang
  • 5 ulas bawang putih | belah dua
  • 8 ulas bawang merah | belah dua
  • 2 tangkai cili hijau | belah dua
  • 6 tangkai cili padi | belah dua tapi tak putus
  • 1 sudu makan rempah kari
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan cuka
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit serbuk perasa | jika suka
  • 4 sudu makan minyak masak | untuk menumis

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 sudu makaan rempah kari
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh biji sawi | jika suka
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga

BAHAN HIRISAN PENUMIS:

  • 3 ulas bawang putih
  • 4 ulas bawang merah
  • 3cm halia muda

CARA MEMASAK:

  1. Cuci daging kemudian tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak, tumis rempah penumis hingga wangi.
  3. Masukkan hirisan halia,bawang putih dan merah. Kacau seketika.
  4. Diikuti pula dengan pes cili, kacau rata.
  5. Apabila pecah minyak masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air.
  6. Kacau seketika, kemudian masukkan pula daging.
  7. Setelah daging kecut, masukkan timun dan lobak merah.
  8. Seterusnya masukkan cuka, kacau lagi dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  9. Tutup api dan Acar Daging sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Untuk dapatkan timun dan lobak merah lebih ranggup, anda boleh rendam hirisan ini dengan air kapur seketika. Kemudian cuci dan toskan sebelum dimasak.

 

2. KERABU DAGING MENTAH

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm daging batang pinang
  • 6 biji limau nipis
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS:

  • 2 batang serai
  • 1cm lengkuas
  • 1cm halia
  • 3 biji cili merah
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 4 ulas bawang merah

BAHAN MAYANG HALUS:

  • 4 helai daun limau purut
  • 1 biji bawang besar
  • 2 biji cili merah
  • 2 batang serai

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkkan daging dari sebarang lemak dan urat.
  2. Hiris nipis kemudian cincang halus.
  3. Cuci hingga bersih dan toskan airnya.
  4. Kemudian masukkan daging dalam mangkuk besar bersama bahan kisar halus.
  5. Gaul rata, kemudian perahan jus limau nipis.
  6. Tambahkan garam dan gula secukup rasa dan gaul lagi.
  7. Perapkan lebih kurang lima minit supaya semua bahan sebati dengan daging.
  8. Akhir sekali masukkan bahan hirisan, gaul sekali lagi.
  9. Setelah siap dan cukup rasa boleh hidangkan kerabu ini.

INFO CHEF: Jika ada suka boleh tambahkan hirisan bunga kantan dan daun kesum untuk aroma dan rasa yang lebih enak.

IKLAN

 

3. DAGING BAKAR GULAI LEMAK CILI PADI BERSAMA TERUNG TELUNJUK

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging yang siap dibakar | hiris nipis
  • 6 biji terung telunjuk | belah dua
  • 500ml santan pekat
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 batang serai | titik
  • 2 hirisan lengkuas | titik
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS

  • 15 biji cili padi
  • 4cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan hirisan daging dalam periuk bersama  separuh dari santan pekat.
  2. Kemudian masukkan bahan yang dikisar halus, serai, lengkus dan asam gelugor.
  3. Renehkan di atas dapur dengan api sederhana sehingga mendidih.
  4. Masukkan terung dan lebihan santan tadi.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Setelah daging empuk, tutup api dan gulai daging sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Selain daging bakar anda boleh gunakan daging salai atau jeruk untuk resipi ini.

 

4. DAGING KANDAR

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 1kg daging batang pinang | hiris kecil dan nipis
  • 15 ulas bawang merah | hiris
  • 3/4 cawan puri tomato
  • 1 cawan kicap pekat
  • 2 sudu makan kerisik
  • 2 tangkai daun kari  | lurutkan dari  tangkai
  • 2 sudu makan air asam Jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 sudu makan minyak masak

BAHAN REMPAH RATUS:

  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 6 biji buah pelaga
  • 6 kuntum bunga cengkih
  • 1 sudu makan jintan putih
  • 1 sudu makan jintan manis

BAHAN KISAR:

  • 10 tangkai cili kering
  •  2 biji bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 3cm halia muda

CARA MEMASAK:

  1. Rendam bahan rempah ratus hingga kembang, kemudian kisar hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali,tumiskan bawang merah yang telah dihiris bersama daun kari hingga wangi.
  3. Kemudian masukkan bahan kisar dan rempah ratus yang dikisar tadi. Sentiasa kacau.
  4. Setelah pecah minyak dan agak garing masukkan daging, kacau hingga daging kecut dan airnya keluar.
  5. Renehkan hingga air daging kering.
  6. Masukkan kicap, sos tomato , air asam Jawa dan kerisik. Kacau lagi.
  7. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  8. Setelah daging kering dan cukup rasa, tutup api.
  9. Daging sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Anda boleh tambahkan hirisan cili padi atau cili besar jika ingin lebih pedas.

 

5. DAGING KICAP KERISIK

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg daging batang pinang  | hiris nipis, cuci dan tos
  • 3 sudu makan kerisik
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 3 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan serbuk jintan manis
  • 1 sudu makan serbuk jintan putih
  • 1 sudu makan  lada hitam | kisar kasar
  • 2 batang serai | titik
  • 2 sudu makan air asam Jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 sudu makan minyak masak | untuk menumis

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga

BAHAN KISAR:

  • 1 biji bawang besar
  • 8 ulas  bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 3cm  halia
  • 3cm lengkuas

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Masukkan daging dalam mangkuk besar, kemudian campurkan ke dalamnya, kicap pekat, jintam manis,jintan putih dan lada hitam.
  2. Kemudian ambil tiga sudu bahan kisar masukkan dalam bahan campuran daging.
  3. Gaul rata dan perapkan sekurang-kurangnya 30 minit.
  4. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bahan rempah penumis hingga wangai.
  5. Masukkan pula bahan-bahan kisar hingga naik bau, kemudian masukkan pes  cili kering dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan daging, bila air daging sudah kering dan daging masih liat tambah sedikit air. Masak hingga daging empuk.
  7. Kemudian tambahkan kerisik,  kicap pekat manis, garam dan gula secukup rasa.
  8. Daging sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Lebih sedap jika daging diperap semalaman, dan daging perap disimpan dalam peti sejuk dalam bekas yang bertutup.

 

6. RENDANG DAGING DAUN PEGAGA

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging | hiris nipis dan lebar, cuci dan tos
  • 1kg santan pekat
  • 5 sudu makan kerisik
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 3 batang serai | titik
  • 1 ikat daun pegaga | buang tangkai
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 sudu makan minyak masak | untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 10 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 3cm lengkuas
  • 3 batang serai
  • 4cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar, hingga wangi, kemudian masukkan pes cili kering.
  2. Setelah pecah minyak, masukkan daging, kacau hingga daging kecut dan air daging kering.
  3. Masukkan santan pekat, kacau rata, setelah mendidih masukkan daun pegaga dan asam gelugor.
  4. Biarkan mereneh, hingga kuah pekat baru masukkan kerisik.
  5. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Kecilkan api dan terus kacau hingga kuah kering dan timbul minyak.
  7. Tutup api dan sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Selain daun pegaga boleh tukar dengan pucuk ubi atau daun selom.