Hujung-hujung bulan puasa menu berbuka tak semestinya yang berat. Cukup jika di hidangkan dengan aneka jenis masakan tempe yang sedap dan mudah disediakan, maklumlah mood raya dah tiba masak pun mana yang sempat banyak lagi kek dan biskut yang hendak dihabiskan. Untuk itu, RASA sediakan 5 resipi tempe yang ringkas untuk pilihan anda sekeluarga.

 

 

1. SAMBAL TEMPE GORENG JAWA

5 Resipi Tempe Yang Ringkas Di Hujung Ramadan, Buat Orang Terkenang Kesedapannya!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 keping tempe  | hiris
  • 2 biji kentang | hiris nipis
  • 1 keping tauhu | potong dadu
  • 1 keping fucuk | rendam dan potong kecil
  • Sedikit suhun | rendam
  • 1/2 keping dada ayam | hiris nipis
  • 4 batang kacang panjang | hiris serong
  • 1/2 batang lobak merah | hiris
  • Sedikit hirisan kubis bulat
  • 1 biji cili merah | hiris
  • 1 biji cili hijau | hiris
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 sudu the air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak secukupnya untuk menumis

BAHAN HIRISAN:

  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 3 ulas bawang putih | hiris

BAHAN KISAR:

  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia muda
  • 10 tangkai cili padi

 

CARA MEMBUAT:

  1. Panaskan minyak, goreng tempe, tauhu dan kentang  sederhana garing. Angkat dan tos.
  2. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis. Tumiskan bahan hirisan hingga wangi.
  3. Kemudian masukkan bahan kisar, kacau rata sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan hirisan isi dada ayam, diikuti fucuk, kacang, lobak merah, cili merah dan hijau.
  5. Seterusnya masukkan pula suhun dan bahan hirisan  yang digoreng tadi. Kacau rata.
  6. Akhir sekali masukkan santan pekat, air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah masak, tutup api, angkat dan hidangkan.

 

INFO CHEF:  Jika ingin lebih pedas boleh tambah lebih cili padi.

 

 

 

2. TEMPE GORENG KICAP

5 Resipi Tempe Yang Ringkas Di Hujung Ramadan, Buat Orang Terkenang Kesedapannya!

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 1 keping  tempe | hiris menyerong
  • 1 biji bawang besar  | belah dua dan hiris bulat
  • 2 ulas bawang putih | titik
  • 8 biji cili padi | hiris
  • Sedikit cili benggala merah dan hijau | dadu
  • 1 sudu teh sos tiram
  • 1 sudu teh  air asam jawa
  • 1 sudu makan kicap pekat panis
  • Garam, gula secukup rasa
  • Minyak masak | untuk menggoreng dan menumis.

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng tempe hingga  sederhana garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  3. Tumiskan bawang putih, bawang merah dan hirisan cili padi. Kacau rata hingga layu.
  4. Masukkan tempe, sos tiram, kicap dan air asam. Kacau rata
  5. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Sebelum angkat masukkan hirisan cili benggala. Kacau lagi seketika.
  7. Tutup api dan hidangkan tempe panas-panas bersama nasi putih:

 

INFO CHEF: Jika suka boleh ditambahkan dengan hirisan daging atau ayam.

 

 

3. TEMPE TUMIS BERSAMA UDANG

5 Resipi Tempe Yang Ringkas Di Hujung Ramadan, Buat Orang Terkenang Kesedapannya!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 paket tempe | hiris
  • 200gm udang | buang kulit
  • 1 biji bawang besar|  hiris
  • 2 ulas bawang putih | titik
  • 10 biji cili padi | hiris
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak secukupnya untuk menumis dan menggoreng

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak , goreng tempe  hingga sederhana masak, angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak tinggal sedikit, kemudian tumis bawang besar, bawang putih, cili hingga wangi.
  3. Kemudian masukkan udang, kacau seketika, masukkan tempe.
  4. Perasa dengan sos tiram, garam dan gula secukupnya.
  5. Setelah cukup rasa angkat dan hidangkan panas-panas.

 

IKLAN

INFO CHEF: Jika ingin dicampurkan dengan batang leek atau  batang seleri  juga boleh dan enak.

 

 

 

 

4. TEMPE MASAK LEMAK CILI PADI BERSAMA TELUR ITIK

5 Resipi Tempe Yang Ringkas Di Hujung Ramadan, Buat Orang Terkenang Kesedapannya!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 paket tempe  | hiris lebar
  • 3 biji telur itik
  • 2 mangkuk santan kelapa
  • 1 helai daun kunyit |simpul
  • 1 batang serai |titik
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 4 ulas bawang merah
  • 2cm halia
  • 10 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar, serai,daun kunyit dan asam gelugor.
  2. Masak di atas dapur menggunakan api sederhana.
  3. Setelah mendidih, kecilkan api dan  pecah telur di dalamnya, satu persatu.
  4. Selepas beberapa minit masukkan pula hirisan tempe dan biarkan mereneh seketika.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Tutup api dan sedia dihidangkan.

 

IKLAN

INFO CHEF: Boleh juga menggunakan telur masin, jika suka. Cara memasak tetap sama.

 

 

 

5. SAMBAL TEMPE BERSAMA KACANG TANAH DAN BILIS

5 Resipi Tempe Yang Ringkas Di Hujung Ramadan, Buat Orang Terkenang Kesedapannya!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 keping tempe | potong dadu kecil
  • 1/2 cawan kacang tanah | bersihkan dari kotoran
  • 1/2 cawan ikan bilis mata biru
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 1 sudu makan air asam Jawa
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 10 tangkai cili kering

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng tempe, kacang tanah dan ikan bilis secara berasingan hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  3. Tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak, kemudian masukkan air asam Jawa dan kacau lagi.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  5. Kecilkan api dan terus kacau hingga bahan tumisan pekat.
  6. Akhir sekali, masukkan bahan goreng garing tadi, kacau rata dan tutup api.
  7. Hidangkan dengan nasi panas.

 

INFO CHEF: Simpan sambal dalam bekas kedap udara jika tidak sedia dihidangkan terus.

 

 

 

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI