Walik Cireng Rangup, Resipi Sedap & Viral Yang Pasti Buat Anda Ketagih

Share

Kalau anda seorang penggemar kudapan rangup, pedas dan padu, pasti akan jatuh cinta dengan Walik Cireng, snek popular dari Indonesia yang semakin viral dan digemari ramai di Malaysia. Nama “walik” sendiri membawa makna terbalikkan dan itulah rahsia kelainan hidangan ini. Tauhu lampung yang biasanya dimasak begitu sahaja, kali ini diterbalikkan, disalut adunan tepung kenyal, kemudian digoreng hingga garing keemasan. Bila digandingkan dengan sambal kicap pedas manis yang pekat beraroma, hasilnya memang susah nak berhenti makan.

Hidangan ini sangat sesuai untuk minum petang, dijadikan snek berkongsi ketika berkumpul, atau disajikan sebagai pembuka selera dalam majlis kecil. Resipinya mudah, bahan tak banyak, tetapi rasa dia luar biasa. Lebih menarik, tekstur cireng yang kenyal di bahagian dalam menjadikan setiap gigitan berbeza daripada gorengan biasa. Kombinasi rangup, kenyal dan pedas manis ini memang addictive.

Asal Usul & Keunikan Walik Cireng

Mari kita selami sedikit bagaimana Walik Cireng

boleh jadi kegemaran ramai. Di Indonesia, cireng (aci digoreng) memang makanan jalanan yang sangat terkenal, terutama di Bandung. Ia dibuat daripada tepung ubi yang menghasilkan rasa kenyal berkualiti. Bila digabungkan dengan tauhu dan sambal kicap, itu yang menjadikan hidangan ini lebih unik dan “mahal” rasanya. Walaupun ringkas, ia ada karakter tersendiri yang membuatkan sesiapa sahaja rasa nak ulang banyak kali.

Bagi anda yang suka bereksperimen di dapur, resipi ini memang sesuai kerana ia tidak rumit dan boleh disiapkan dalam waktu yang singkat. Apa yang penting, gunakan air sejuk semasa membuat adunan untuk dapatkan tekstur kenyal yang cantik. Jika nak lagi kenyal, anda boleh tambah sedikit tepung ubi seperti dalam resipi di bawah. Pastikan juga minyak betul-betul panas sebelum menggoreng supaya bahagian luar cepat garing dan tidak menyerap minyak berlebihan. Inilah salah satu sebab kenapa ramai suka membuat Walik Cireng di rumah, bahan simple tetapi hasil sangat memuaskan.

WALIK CIRENG

Bahan-bahan:

  • Tauhu lampung | dibelah dua (cukup 4-5 biji)
  • Isi tauhu
  • ½ biji bawang merah | dipotong dadu
  • Daun sup secukupnya
  • ½ sudu teh lada sulah
  • 1 sudu teh serbuk ayam
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu besar tepung ubi | nak lagi kenyal boleh buat 2 sudu
  • 1 sudu besar tepung beras
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 80ml air sejuk

Bahan Sambal Kicap:

  • 5 biji cili padi
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 sudu besar kicap manis
  • 1 ½ sudu besar cuka
  • 1 sudu besar gula
  • 1 kiub belacan
  • 200ml air
  • 3 sudu besar air tepung jagung

Cara Memasak Walik Cireng:

  1. Di dalam satu mangkuk, satukan bawang merah, lada sulah, serbuk ayam, garam, tepung ubi, tepung beras, tepung gandum, daun sup dan air sejuk. Gaul sehingga semua bahan sebati dan membentuk adunan pekat.
  2. Belahkan tahu lampung kepada dua. Masukkan isi tauhu ke dalam adunan tadi dan gaul lagi.
  3. Terbalikkan tahu, bahagian dalam diletakkan di luar. Sudukan adunan ke atas permukaan tauhu tersebut. Ulang sehingga adunan habis.
  4. Panaskan minyak dan goreng Walik Cireng hingga garing, rangup dan keperangan. Angkat dan toskan.

Cara Membuat Sambal Kicap Pekat Pedas Manis:

  1. Satukan cili padi, bawang putih, kicap manis, cuka, gula, belacan dan air ke dalam pengisar. Kisar hingga halus dan sebati.
  2. Tuangkan sambal kisar ini ke dalam kuali dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan air tepung jagung untuk memekatkan kuah. Kacau sehingga sambal menjadi pekat dan berkilat.
  4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan bersama Walik Cireng panas-panas.

Kenapa Anda Kena Cuba Walik Cireng?

Hidangan ini bukan saja sedap, tetapi sangat fleksibel. Boleh makan begitu saja, boleh cicah sambal kicap, atau boleh juga buat versi cheesy dengan menambah keju dalam adunan. Ia ringkas, mengenyangkan, dan paling penting, memang crowd pleaser. Anak-anak suka, orang dewasa pun tak berhenti makan.

Kalau anda belum pernah cuba, inilah masa yang terbaik. Snek budget, bahan mudah, tapi rasa dia memang padu tak terkata. Sekali cuba, mesti nak buat lagi. Hidangan seperti Walik Cireng ini juga sesuai untuk dijual sebagai kudapan kecil kerana kos rendah tetapi permintaan tinggi. Selamat mencuba dan selamat mengunyah!

 

TONTON VIDEO PENUH DI SINI:

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

 

Published by
Naqiyatul Uzma