Tak kena cara, ikan, daging atau ayam yang anda cuci masih berbau hanyir. Kadang-kadang sudah dimasak pun masih bau hanyir tidak hilang. Kali ini jangan bimbang lagi, RASA kongsikan dengan anda semua beberapa petua atau tip mudah untuk nyahkan bau hanyir degil hanya menggunakan bahan yang ada dalam dapur saja.
Halia
Halia adalah herba campuran bahan masakan yang mempunyai bau khas yang boleh menghilangkan bau hanyir pada ikan mahupun daging. Kandungan enzim proteolitik dalam halia dikatakan boleh memecahkan protein yang menyebabkan daging yang digaul dengan halia hilang hanyir dan lebih cepat empuk bila dimasak.
Campuran Cuka Dan Tomato
Rasa masam pada cuka dan tomato bukan hanya boleh menghilangkan bau hanyir tetaoi juga membuatkan daging yang telah dimasak tidak mudah basi.
Nanas
Buah nanas sangat berkesan untuk menghilangkan bau hanyir bukan hanya daging tetapi juga ikan dan ayam. Anda hanya perlu parut nanas kemudian gaulkan dengan daging atau ikan, biarkan selama satu jam kemudian cuci bersih dan sedia dimasak mengikut menu kesukaan anda.
Limau Nipis
Bau dan masam limau nipis sememangnya mampu menghilangkan bau hanyir secara semulajadi, malah ia juga dikatakan mampu menghilangkan bakteria yang menyebabkan daging cepat busuk. Anda hanya perlu perahkan jus limau pada daging, kemudian gaul rata dan cuci bersih sebelum sedia dimasak.
Daun Betik
Jika anda mempunyai pokok betik, manfaatkan daunnya. Selain fungsi utamanya untuk mengempukkan daging, masa yang sama membantu menghilangkan bau hanyirnya sekali.
Harap info ini dapat membantu anda dan selamat mencuba.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Semua orang suka ayam goreng salut tepung yang rangup seperti makanan di restoran makanan segera. Tapi sayang bila cuba sendiri di rumah hasilnya tidak seperti diharapkan, kalau tidak keras ianya berminyak. Memang potong selera kerana anda sudah membayangkan keenakan dan kerangupan salutan tepung digigitan pertama.
Jangan putus asa atau ulangi kesilapan yang sama, sebaliknya ikut enam tip yang RASA kongsikan ini supaya lepas ini apa sahaja makanan salut tepung yang anda goreng akan rangup seperti diinginkan.
Nak tahu apa tipnya, baca ye…
Gunakan Tepung Yang Betul
Untuk mendapatkan makanan goreng salut tepung yang rangup, anda perlu tahu tepung apa yang harus digunakan. Sebagai cadangan campurkan tepung gandum dengan tepung ubi. Kalau nak lebih rangup lagi boleh tambah sedikit soda bikarbonat atau serbuk penaik.
Sediakan Adunan Tepung Kering Dan Basah
Anda gunakan dua jenis adunan tepung, satu adunan basah dan satu lagi kering. Setelah minyak dipanaskan, celup ketulan ayam dalam adunan basah kemudian gaulkan dalam adunan tepung kering dan terus goreng. Dengan cara ini adunan kering akan melekat pada adunan basah yang menjadikan bahan gorengan lebih rangup atau krispi.
Pastikan Tangan Kering.
Semasa memasukkan atau mengaulkan bahan makanan pada kedua-dua adunan tepung pastikan tangan dalam keadaan kering. Paling mudah gunakan dua tangan berbeza, misalnya tangan kiri untuk memasukkan ayam dalam adunan kering dan kanan yang untuk memasukkan dalam adunan basah. Tujuannya untuk mengelakkan adunan kering menjadi berketul dan basah
Goreng Guna Minyak Banyak
Langkah ini wajib lakukan., pastikan anda menggoreng menggunakan minyak banyak atau goreng secara deep frying. Di mana semua bahagian makanan terendam dalam minyak panas dengan sempurna. Sebelum itu pastikan minyak betul-betul panas sebelum memasukkan bahan untuk digoreng.
Elakkan Goreng Terlalu Banyak
Menggoreng menggunakan minyak banyak tidak bermakna anda boleh memasukkan bahan gorengan dalam jumlah banyak. Sebaiknya, goreng secukupnya saja supaya cukup ruang untuk gorengan menjadi garing dan tepung yang membalut makanan tidak tertanggal. Akhirnya hasil gorengan lebih rangup dan garing.
Tapis Minyak
Ini juga penting anda lakukan, pastikan anda mengguna penapis semasa mengangkat makanan yang digoreng. Tujuannya supaya minyak yang melekat pada ayam goreng turun ke bawah. Dengan cara ini hasil gorengan anda lebih garing tanpa berminyak.
Ramai yang suka sup sayur dan ramai yang boleh memasaknya. Tapi tahukah korang ada beberapa rahisa yang boleh jadikan sup sayur lebih sedap, cukup rasa dan kaya dengan khasiat nutrisinya. Berikut empat tip boleh korang cuba, sangat mudah dan hanya perlu dipraktikkan sahaja.
Pastikan Bahan Asas Mencukupi
Bawang merah dan putih adalah bahan perencah asas yang digunakan dalam kebanyakan jenis sup, termasukkan sup sayur. Oleh itu tumis bawang merah dan putih hingga wangi atau lembut sebelum disebatikan dengan kuah sup Sebatian bawang inilah yang memberikan rasa dan aroma sup sayur.
Masa Masak Tidak lebih 15 Minit
Sup sayur yang sedap tidak memerlukan masa memasak yang lama, waktu paling idea adalah 15 minit, sudah mencukupi. Lagi kecil potongan sayur lebih cepat masak. Perlu diingat sup sayur perlu dimasak menggunakan api sederhana.
Rasa Masin Sup Pada Waktu Sesuai.
Elakkan merasa sup semasa panas mendidih, kerana pada waktu ini sup akan rasa kurang masin, ia mendorong korang menambah sedikit lagi garam. Tetapi bila dirasai semula selepas sup sedikit sejuk, ia menjadi sedikit masin. Sebaiknya rasa sup sayur sebelum menambahkan bahan perencah dan perasa diperlukan.
Menggunakan Perencah Ayam Atau Ikan Bilis
Sup yang sedap datangnya dari kuah yang sedap, oleh itu tambahkan sedikit perencah pati ayam atau ikan bilis. Ia membantu sup menjadi lebih sedap dan berasa.
Kalau ke pasaraya macam-macam jenis gula ada. Setiap jenis gula teksurnya berbeza dan cara guna kena tepat mengikut jenis sajian kuih muih, kek, minuman dan biskut. Jadi kita kenalah tahu kegunaan dan kesesuaian gula dengan menu yang kita nak buat.
Ni min kongsi jenis gula dan kesesuaiannya
1. Gula pasir (coarse sugar)
Ni gula yang paling kerap dan mudah didapati. Berwarna putih dan butir-butir gula agar kasar. Sangat sesuai untuk kegunaan seharian, untuk bancuh minuman atau membuat kuih muih gula ni memang pilihan tepat. Malah jika nak buat gula halus untuk puding atau kek pun sangat sesuai. Cairkan aja gula pasir ni atas api yang sederhana hingga gula cair dan keperangan, kemudian baru masukkkan sedikit air dan kacau hingga cair.
2.Gula halus (fine granulated sugar)
Gula halus jenis ini bewarna putih dan sesuai untuk membuat kek kerana butir-butir gulanya yang halus mudah cair apabila dipukul bersama mentega ataupun dipukul bersama telur.
3. Gula kastor (castor sugar)
Gula ini bewarna putih dan ianya pilihan yang paling ideal untuk membuat kek,biskut, pastri, roti dan lain-lain. Butir-butir gulanya lebih halus dari gula halus dan ia mudah cair apabila dipukul bersama mentega atau telur. Sekiranya gula ini tiada,boleh gunakan gula halus.
Gula castor juga boleh dibuat dengan mengisar halus gula halus (fine granulated sugar dikisar jadi superfine).
4. Gula aising (icing sugar/confectioners sugar)
Gula ini adalah yang paling halus dalam kategori gula putih. Ia bukan 100 peratus gula kerana telah dicampur dengan sedikit tepung jagung. Ia jarang digunakan dalam pembuatan kek tetapi ada digunakan dalam pembuatan biskut jenis piping untuk mendapatkan tekstur yang lembut supaya mudah dipicit keluar.Gula ini biasa digunakan untuk membuat aising mentega dan membuat fondant atau pes gula (sugarpaste).
5. Gula perang (brown sugar)
Terbahagi kepada dua jenis iaitu light/dark brown.Biasanya warna yang lebih gelap mempunyai rasa gula perang yang lebih kuat. Gula perang ini selalunya kasar dan disarankan untuk dikisar kisar supaya ia lebih halus dan mudah dipukul bersama mentega. Gula perang ini selalunya digunakan untuk membuat biskut seperti cip coklat,biskut halia, kek buah-buahan dan lain-lain yang memerlukan rasa gula yang lebih kuat.
6.Gula merah
Gula ini selalunya digunakan untuk membuat kuih-muih tempatan seperti kasui, kuih lompang,kuih buah melaka dan sebagainya. Gula merah biasanya berpasir. Kena larutkan dalam air dalam air panas, ia hendaklah ditapis bagi membuang kotorannya.
7. Gula Melaka @ gula kabung
Gula melaka dan gula kabung agak keras dan memerlukan pisau untuk membelahnya. Rasa kedua-dua gula ini lebih sedap dari gula merah biasa. Ianya dijadikan inti untuk kuih buah melaka dan kuih tradisional yang lain. Lazat juga dimasukkan dalam bubur kacang, bubur jagung, bubur cha cha dan sebagainya.
8. Sirap emas (golden syrup)
Ia bewarna keemasan dan rasanya seakan rasa gula hangus tetapi tidak sekuat rasa gula hangus yang asli. Ia adalah bahan sampingan (cecair) dari pemprosesan gula. Ia selalunya menjadi bahan penambah rasa untuk biskut, kek atau pencuci mulut.
9. Gula hitam (treacle @molasses)
Adalah bahan sampingan dari pemprosesan gula dan ia bewarna gelap seakan kehitaman. Digunakan sebagai bahan penambah rasa untuk kek dan pencuci mulut ala barat.
10.Sirap gula (corn syrup/glucose syrup)
Cecair jernih yang pekat antaranya dibuat dari kanji jagung. Dihasilkan secara komersil untuk memudahkan tugas membuat aising krim mentega atau fondant tanpa perlu membuat sendiri sirap gula. Dikenali sebagai sirap glukos.