
Terung bakar bersantan memang lauk simple tapi rasanya luar biasa sedap. Kalau sebelum ini biasa makan terung goreng atau masak berlada, kali ini jom cuba cara lain pula.
Cara penyediaannya pun sangat mudah. Bakar terung, sediakan kuah santan dengan tumbukan cili dan belacan, lepas tu siram terus atas terung. Siap hidang, memang tak cukup sepinggan nasi!
Resipi Terung Bakar Bersantan

Bahan utama
2 biji terung (bakar hingga masak, buang kulit hangus dan belah dua)
Bahan Tumbuk
2 biji cili api merah
3 biji cili api hijau
3 ulas bawang putih
2 biji bawang merah kecil
½ sudu kecil belacan

Bahan Kuah
100ml santan (½ kotak kecil)
¼ cawan air masak
½ sudu kecil serbuk cukup rasa
½ sudu kecil gula
½ sudu kecil air limau nipis
Cara Penyediaan Terung Bakar Bersantan
1. Bakar terung sehingga masak, buang kulit hangit dan belah dua.
2. Tumbuk bahan tumbuk hingga lumat.
3. Campurkan bahan tumbuk dengan santan, air, serbuk cukup rasa, gula dan air limau nipis.

4. Masak sekejap di atas api hingga kuah sedikit pekat.
5. Siram kuah atas terung bakar tadi.
6. Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas dengan ikan goreng.
Tip Ekstra
- Kalau suka rasa lebih wangi, boleh masukkan sedikit hirisan daun kunyit ke dalam kuah.
- Pastikan terung dibakar hingga betul-betul lembut supaya kuah lebih meresap.
- Kalau suka pedas, boleh tambah lebih banyak cili api.
Kredit resipi & foto: El Ellaura Tijani
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

Dapatkan Santan Sedia Guna sekarang
Tak perlu risau santan basi, gunalah Santan Sedia Guna ini. Pekat, wangi, dan tahan lama!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

























