Biasanya char kuey teow amat sinonim dengan udang atau kerang. Bagaimana pula dengan bebola daging? Gerai Char Kuey Teow Teluk Kayu yang terletak di Medan Selera Adikku, Kajang membawakan kita sesuatu yang luar dari kebiasaan dengan char kuey teow bebola daging mereka.
Di Gerai Char Kuey Teow Teluk Kayu terdapat beberapa jenis char kuey teow termasuk char kuey teow udang RM6.00, kerang RM5.00, tofu cheese RM6.00, bebola salmon RM7.00 dan makanan kegilaan pelanggan, char kuey teow bebola daging mereka yang berharga RM8.00.
Menurut pemilik gerai Gerai Char Kuey Teow Teluk Kayu, Mohammad Fazley Maula Mohamed Zali, 30, beliau mendapat ilham memasak char kuey teow bebola daging kerana ada satu kali tu, tengah hit char kuey teow kambing. “Kambing ni lambat masak, bila tengok char kuey teow orang fikir memang cepat masak. Jadi, pelanggan buat pesanan, mereka harap pesanan mereka siap cepat. Untuk buat mereka tak tertunggu-tunggu, kita gunakan bebola daging. 5 minit dah siap,” kata Fazley.
Ads
Sos char kuey teow di Gerai Char Kuey Teow Teluk Kayu ini hasil dari pembelajaran Program Sijil Kemahiran Malaysia dalam Masakan dan Pramusaji Tahap 2 yang dianjurkan oleh Giatmara. Fazley belajar waktu siang dan buka gerai di tepi tapak cuci kereta di Seksyen 8, Bangi pada waktu malam dengan tujuan untuk menyara keluarga pada waktu itu.
Resipi sos dipelajari dan diolah untuk mendapatkan ketepatan rasa yang betul-betul sesuai dengan bebola daging. Fazley mengambil masa selama dua tahun untuk mendapatkan resipi sekarang. Setelah yakin dengan resipi ini, Fazley telah menyertai pertandingan antarabangsa Halal Chef yang disertai oleh tukang masak dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Singapura, India dan telah memenangi tempat ketiga.
Sos ini telah disalurkan ke lapan restoran kedai mamak di kawasan Lembah Klang. Sos ini juga dijual di United Kingdom dan Korea hasil titipan kepada rakan-rakan yang menjualnya di kalangan komuniti masyarakat Malaysia di sana dan permintaan tak putus-putus sehingga sekarang. Sos char kuey teow Teluk Kayu juga boleh didapati di Halal Mart Az-Zaid selain di gerai mereka.
Ads
Waktu operasi Gerai Char Kuey Teow Teluk Kayu ialah dari jam 1:00 tengahari hingga 10:00 malam setiap hari kecuali hari Jumaat. Ketahui lebih lanjut melalui akaun Instagram mereka, @cktteluk. Char kuey teow bebola daging mereka juga boleh didapati melalui Food Panda dan Grab Food.
Ads
Ingin dapatkan kuali non stick , boleh beli DI SINI
Ramadan Al Mubarak kini tiba lagi, bulan mulia yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Restoran Riverside di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tidak melepaskan peluang menawarkan lebih daripada 250 jenis juadah makanan sebagai sajian berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
Promosi bufet Ramadan ini akan bermula dari 8 Mei 2019 sehingga 3 Jun 2019 dan dibuka bermula pada jam 6 petang hingga 10 malam. Para tetamu boleh menikmati semua juadah hidangan dengan harga RM88.00 seorang untuk dewasa manakala untuk kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun pula berharga RM45.00 seorang. Turut ditawarkan ialah harga istimewa untuk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas iaitu RM75 seorang.
Pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) turut menyediakan pakej berbuka puasa persendirian dan korporat dengan harga bermula daripada RM98.00 seorang untuk tempahan minima 100 orang ke atas. Pakej ini turut menyediakan hidangan bufet, dewan khas untuk berbuka puasa, sistem audio, penyediaan ruang solat khas serta kadar parkir tetap bernilai RM5.00 bermula dari jam 6.00 petang.
Selain itu, para tetamu turut boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah bersama Imam di Surau Ar-Rahman yang terletak Aras 3 PWTC. Segala kelengkapan solat seperti telekung bagi kaum muslimah dan sejadah disediakan khas buat para tetamu.
Pasukan chef PWTC yang diketuai Eksekutif Chef Suzaini Mohamed Salih akan menghidangkan menu istimewa masakan ala kampung yang akan bertukar juadah setiap minggu. Antara menu yang bakal menawan selera tetamu pada tahun ini ialah Ayam Kampung Kerisik dan Betik Muda, Ayam Gulai Minang dan Daun Salam, Kambing Masak Kari Utara, Ikan Pari Asam Pedas Sayur Jeruk, Ikan Patin Tempoyak dengan Timun Tua, Ayam Brastagi, Ikan Tenggiri Masak Kari Hijau dengan Terung Telunjuk, Siput Sedut Masak Lemak Kuning, Pegaga dan Daun Kaduk serta Daging dan Paru Kari Kawah.
Antara hidangan lain yang turut bakal ditawarkan kepada para tetamu yang hadir adalah 13 jenis ulam ulaman, enam jenis keropok, lapan jenis jeruk, tujuh jenis ikan masin, 14 jenis sambal dan dressing, 13 jenis kerabu dan hidangan panas seperti kambing goreng berempah, fried crab salted egg and oats dan pelbagai lagi.
Kaunter bufet juga turut menyediakan hidangan manisan dan pencuci mulut seperti lapan jenis kuih-muih Melayu, lima jenis kek, empat jenis pai, aneka jeli, ‘mousse & pudding’, tiga jenis bubur manis, aneka biskut Melayu dan pelbagai lagi. Di samping itu, terdapat juga warung minuman sejuk dan panas yang menyediakan air tebu, air mata kucing, air sirap, air barli, air batu campur, tiga perisa ais krim, kopi tarik dan teh tarik.
Istimewanya pada setiap bufet Ramadan di PWTC, terdapat Carving Station yang akan menyediakan kambing panggang setiap hari. Kambing panggang dihidangkan dengan sos lada hitam dan sos cendawan pasti mampu membuka selera ramai.
Pihak PWTC juga turut menyediakan tawaran baucar Early Bird di mana pelanggan yang membeli baucar Ramadan sebelum 5 Mei 2019 hanya perlu membayar RM75 setiap satu dan baucar ini boleh digunakan sehingga akhir bufet Ramadan, iaitu sehingga 3 Jun 2019.
Untuk sebarang tempahan atau pembelian baucar bufet Citarasa Warisan @ PWTC, para pelanggan boleh datang terus ke kaunter tempahan di Aras 2, PWTC yang dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau boleh terus hubungi Restoran Riverside. Baucer dengan pelbagai tawaran harga menarik juga turut boleh didapati melalui Fave dan 11Street.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Jika anda ingin menikmati roti yang enak, bukan hanya boleh dapatkan di kedai roti sahaja. Kini roti enak boleh didapati di pasar malam. Beruntunglah orang Klang, Shah Alam dan sekitarnya kerana roti enak keluaran yummyliciousCake_house boleh diperoleh di pasar malam. Bukan sahaja enak tetapi paling penting harganya murah serendah RM1 setiap satu.
Bermula tujuh tahun lalu, pemilik yummyliciousCake_house, Nuramiza Amirrudin atau lebih mesra dipanggil Miza, 33 tahun sudah mula menghasilkan roti yang ditempah oleh rakan terdekat. Namun permintaan semakin banyak membuatkan dia terfikir untuk menghasilkannya secara komersial. Sedikit demi sedikit, Miza mengusahakan produk roti dan donutnya dan kini dia mempunyai ramai pelanggan tetap yang menempah atau mendapatkannya di pasar malam.
ROTI SEGAR
Ditanya apakah keistimewaan roti enak keluaran yummyliciousCake_house, menurut Miza semuanya adalah disebabkan oleh kesegaran. Roti dihasilkan setiap hari dan dijual terus kepada pelanggan. Tidak disimpan untuk dijual keesokan hari.
“Kami memulakan produksi membuat roti dan kek pada jam 7 pagi setiap hari. Selalunya semua produk akan siap dimasak pada jam 3.30 petang. Kami buat roti dan donut menggunakan 25 kilogram tepung setiap hari. Selepas siap semuanya dan dibungkus elok, kami terus pergi ke lokasi pasar malam yang telah ditetapkan untuk menjual. Sebab itulah roti kami sedap-sedap semuanya kerana dibuat setiap hari dan dijual terus pada pelanggan,” kata Miza.
Antara produk yang dihasilkan adalah roti golok, roti golok pandan, piza roti, donut, brownies dan coklat jar. Harga produk yang dijual adalah bermula daripada RM1 hingga RM10 sahaja.
CITA RASA UNIK
Menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi membuatkan produk yummyliciousCake_house mempunyai cita rasa unik. Malah Miza turut bijak mengolah resipi roti atau donut menjadi lebih sedap.
“Roti golok memang ramai yang jual dan roti itu pernah viral satu ketika dulu. Jadi saya cipta kelainan dengan menghasilkan roti golok pandan. Roti ini lembut dan apabila kita makan akan terasa pandan. Orang kita suka makan roti golok pandan kerana lebih dekat dengan cita rasa orang Melayu,” ujarnya.
Selain itu, coklat jar yang menampilkan bertih beras bersalut coklat turut mendapat perhatian. Ujar Miza, walaupun coklat jar itu baru viral, namun sebenarnya dia sudah lama menjualnya. Malah donut comel yang dijual pada harga RM1 setiap satu itu juga mendapat sambutan hangat daripada pelanggan pasar malam. Boleh dikatakan bahawa roti keluaran yummyliciousCake_house rasanya mahal walaupun hanya dijual di pasar malam.
“Anda yang ingin dapatkan produk donut dan roti, boleh datang ke pasar malam sekitar Bandar Sultan Sulaiman, Batu 4 Jalan Kapar dan Seri Andalas di Klang. Turut ada di Bandar Starcruise, Pulau Indah. Bagi penduduk Shah Alam boleh datang ke pasar malam Padang Jawa,” ujar Miza mengakhiri bicara.
Info Kedai:
PEMILIK: Nuramiza Amirrudin
ALAMAT: Lot 1304 Jalan Teluk Kapas, Rantau Panjang, Klang
WAKTU OPERASI: 5 petang hingga lewat malam
WAJIB CUBA: Donut seringgit, coklat jar dan roti golok pandan.
Dapatkan majalah RASA FEBRUARI 2019 untuk kisah kedai ini dengan lebih lanjut.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Cuti hujung minggu ni mungkin ada yang nak membawa keluarga mandi manda di Sunway Lagoon. Bila dah puas mandi, tentunya rasa lapar.Usah risau boleh saja kunjungi Satay Aroma yang menyediakan pelbagai jenis makanan untuk dinikmati.
Satay Aroma memberikan yang terbaik dan premium dalam setiap hidangan, di mana boleh dikatakan hampir semua menu yang terpilih adalah bersesuaian untuk semua peringkat umur, tidak mengira bangsa dan agama.
Pemiliknya, Puan Sharifah Nur Hafiza Syed Mohamed berasal dari Kelantan dan membesar di Shah Alam. Mula bekerja di taman tema Sunway Lagoon selama beberapa tahun sebelum memulakan perniagaannya sendiri.
Saya rasakan lebih selesa dengan persekitaran yang lebih terbuka dan menyeronokkan seperti taman tema, di sini kita dapat lihat kegembiraan pada setiap pengunjung dan secara tidak langsung ia memberikan impak yang positif kepada diri.
Menu di Satay Aroma
Menu utama kami semestinya Satay Ayam Premium yang dihasilkan dari bahagian peha ayam (thigh), anda tak akan jumpa cebisan kulit di antara sate atau lemak pada setiap cucuk hidangan. Kemudian kami ada Satay Daging Premium yang menggunakan bahagian daging batang pinang (tenderloin) yang sangat lembut dan juicy.
Sate Kambing Premium yang dihasilkan dari bahagian kaki (shank), dan ia semakin terpaut di hati pengunjung yang datang ke Satay Aroma. Setiap hidangan sate telah disertakan bersama kuah kacang, nasi impit, timun dan bawang.
Bagi yang inginkan sesuatu yang simple, boleh mencuba Satay Wrap. Kombinasinya pasti akan membuat anda tergamam. Selain itu, Satay Aroma bukan hanya menawarkan seleksi sate semata-mata. Di sini ada makanan berkuah, yang dinamakannya sebagai Aroma Noodles.
Kami menawarkan menu seperti lontong, mee jawa, soto dan Laksa Johor. Menu yang ditawarkan mungkin dilihat biasa sahaja, tapi yang menariknya di Satay Aroma kami berikan sentuhan sate pada setiap hidangan yang dihidangkan. Lontong di Satay Aroma disertakan dengan tiga cucuk sate ayam, manakala Mee Jawa pula disertakan dengan tiga cucuk sate daging. Apabila dimakan bersama, ia akan memberikan lebih rasa yang menyeluruh pada menu tersebut.
Satay Aroma juga mempunyai seleksi pasta yang dinamakan Aroma Pasta. Antara menunya ialah seperti carbonara, bolognese dan marinara yang juga disertakan bersama sate ayam atau sate daging dalam setiap hidangan. Pasti penggemar pasta teruja untuk mencubanya!
Setiap hidangan pembuka, pasti ada penutupnya. Sesuai dengan iklim kita, dessert seperti ais parut (shaved ice) memang amat digemari ketika panas terik. Salah satu best seller di Satay Aroma adalah Iced Snow Fruit Jelly. Nikmati rasa sirap pandan, agar-agar dan buah-buahan campuran beserta sedikit perahan limau kasturi yang sangat menyegarkan.
Sate adalah salah satu makanan yang paling popular di Asia Tenggara, namun rata-rata dilihat hanya diusahakan secara kecil-kecilan sahaja. Kami di Satay Aroma ingin membawa produk sate ini ke satu tahap yang lebih tinggi dengan memberi lebih perhatian kepada pemilihan bahan mentah premium yang digunakan, dengan itu dapat memberikan lebih kepuasan kepada semua pelanggan kami.
Satay Aroma ini dimiliki oleh Kreatif Aroma Marketing Sdn Bhd semakin mendapat perhatian orang ramai setelah lebih satu tahun memulakan perniagaan di Bandar Sunway.
Walaupun terpaksa mengharungi satu tempoh kritikal yang panjang oleh pandemik Covid-19, kini Satay Aroma kembali menerima pelanggan yang datang ke outlet untuk menikmati sendiri keenakkan dan kelembutan setiap sate yang dihidangkan. Secara tidak langsung dapat mencipta semula memori yang indah bersama keluarga dan yang tersayang setelah sekian lama berada dalam tempoh kawalan pergerakan.
Resipi homemade
Kesemua menu yang diketengahkan oleh Satay Aroma adalah resipi homemade, mempunyai rasa yang tersendiri dan memastikan rasa dan kualiti pada setiap hidangan sentiasa terjaga. Satay Aroma sentiasa memastikan setiap jenis sate seperti ayam, daging dan kambing diperap dengan sempurna dan hanya menggunakan bahan-bahan yang berkualiti, sudah semestinya resipi perapan sate dari Satay Aroma adalah resipi sendiri.
Berat bagi setiap cucuk sate Satay Aroma juga berbeza dari luar, kerana sate ini mempunyai keberatan antara 21-23grm bagi setiap cucuk. Anda akan lihat sate kami lebih besar dari biasa. Cara pembakaran juga berbeza dari kebiasaan membuatkan sate yang anda nikmati lebih lembut dan juicy.
Kuah kacang juga adalah resipi sendiri, hanya menggunakan kacang tanah yang dipanggang serratus peratus, tiada campuran bahan-bahan pemekat yang lain. Jika dilihat pada tekstur kuah kacang ini, ia tidak terlalu berketul dan warnanya lebih gelap, rasanya juga sesuai untuk semua peringkat umur dan sebagai pelengkap rasa sate.
Mee Jawa menggunakan ubi keledek sebagai pemekat kuah dan air rebusan tulang sebagai pemanis kuah. Bahan-bahan taburannya pula seperti taugeh, telur rebus, sayur sawi, cili merah, tauhu goreng dan limau kasturi dipotong segar untuk setiap hidangan. Apabila ia dihidangkan bersama sate daging dan kuah kacang, ia bagaikan pelengkap rasa. Jangan lepaskan untuk mencuba dessert crème caramel di Satay Aroma, ia adalah resipi yang diolah oleh pemilik.
Asal perkataan Crème adalah dari France bermaksud custard dan caramel adalah dari gula yang dicairkan hingga keemasan. Rasa lemak berkrim custard yang dihasilkan dari gabungan susu cair, telur, gula dan esen vanilla, beserta kemanisan gula hangusnya amat menyelerakan. Biarpun bahan-bahan bagi crème caramel ni nampak mudah, tapi ia memerlukan skill bagi mendapatkan crème caramel yang lembut dan halus teksturnya, tiada lubang-lubang angin pada permukaan crème caramel tersebut. Practice makes perfect!
Saya sendiri memang suka membuat kuih apabila ada masa terluang di rumah, ketika hujung minggu bersama keluarga. Tak lupa pada setiap bulan Ramadan dan musim perayaan, kerana saya berasal dari negeri Pantai Timur, tak lengkap berbuka tanpa hidangan kuih muih pemanis mulut. Berada di Kuala Lumpur, agak susah untuk dapatkan kuih muih yang mempunyai rasa yang sama seperti di kampung saya, jadi kenalah buat sendiri.
Satay Aroma semakin diterima oleh segenap lapisan masyarakat tidak mengira peringkat umur, dan bangsa. Ia berjaya memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan yang datang. Saya ingin Satay Aroma berkembang dengan jayanya dan semakin ramai yang dapat menikmati keunikan dan rasa asli sate yang diketengahkan oleh kami.
Insyaallah kami dalam perancangan untuk membuka beberapa cawangan lagi di sekitar Kuala Lumpur dalam masa satu tahun akan datang dan kami juga membuka peluang licensing kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari keluarga Satay Aroma.
Lokasi: di dalam taman tema Sunway Lagoon, terletak di lokasi berhampiran Nickelodeon Lost Lagoon. Mempunyai ruang tersendiri, tempat duduk bertutup dan boleh menerima antara 50 – 60 pelanggan pada satu-satu masa.
Waktu perniagaan: Rabu – Isnin dari jam 10 pagi – 6 petang. Tutup pada hari Selasa kecuali Cuti Umum dan cuti sekolah.