
Sotong goreng tepung memang sedap dimakan panas-panas, tapi nak buat sendiri kadang-kadang boleh jadi mencabar. Ada masanya minyak memercik, tepung tertanggal ketika digoreng atau salutan yang sepatutnya rangup bertukar lembik dan berminyak.
Antara masalah yang selalu berlaku ialah:
- Minyak memercik atau ‘meletup’ ketika menggoreng.
- Tepung sadur mudah tertanggal.
- Salutan jadi lembik dan berminyak.
- Sotong jadi keras atau liat.
- Lebihan tepung dalam minyak cepat hangus.
Sebenarnya, beberapa langkah mudah boleh membantu mendapatkan sotong goreng tepung yang lebih rangup, kemas dan menyelerakan. Paling penting, kena beri perhatian kepada keadaan sotong sebelum disadur, suhu minyak dan tempoh menggoreng.
1. Kenapa Minyak Mudah ‘Meletup’?
Sotong mempunyai kandungan air yang tinggi. Selepas dicuci, masih ada lebihan air yang melekat pada permukaannya.
Bila sotong basah terkena minyak panas, air akan menghasilkan wap dengan cepat dan menyebabkan minyak memercik.
Apa perlu buat:
- Tos sotong sebaik mungkin selepas dibersihkan.
- Lap dengan tisu dapur jika masih terlalu basah.
- Jangan terus masukkan sotong yang masih berair ke dalam minyak panas.
2. Perap Sotong Dengan Cuka Epal
Untuk resipi sotong goreng tepung ini, sotong diperap seketika bersama cuka epal sebelum disadur.
Bahan:
- 1 kg sotong
- 2 sudu besar cuka epal

Cara:
- Bersihkan sotong dan buang kulit hitam di bahagian luar.
- Potong sotong berbentuk gelang.
- Gaulkan bersama cuka epal.
- Perap seketika.
- Tos sehingga kering sebelum disadur tepung.
Cuka juga boleh membantu mengurangkan bau hanyir pada sotong. Selepas diperap, pastikan sotong ditos dengan baik supaya tidak terlalu berair ketika proses menyadur dan menggoreng.
3. Guna Campuran Dua Jenis Tepung
Gabungan tepung gandum dan tepung jagung membantu menghasilkan salutan yang lebih cantik dan rangup.
Bahan Saduran:
- 10 sudu besar tepung gandum
- 6 sudu besar tepung jagung
- 2 sudu kecil serbuk lada hitam
- 2 sudu kecil serbuk lada sulah
- 2 sudu kecil serbuk cili, jika suka
- Garam secukup rasa
- Serbuk kunyit secukupnya

Campurkan semua bahan dan gaul sehingga sebati.
Kenapa campur dua tepung?
- Tepung gandum membantu salutan melekat.
- Tepung jagung membantu menghasilkan tekstur lebih ringan dan rangup.
Gabungan ini sesuai digunakan untuk mendapatkan salutan sotong goreng tepung yang tidak terlalu tebal tetapi masih mempunyai tekstur rangup apabila digigit.
4. Gunakan Telur Supaya Tepung Melekat
Bahan:
- 2 biji telur
Pukul telur di dalam mangkuk berasingan.
Celupan telur membantu campuran tepung melekat dengan lebih baik pada permukaan sotong. Pastikan sotong sudah ditos terlebih dahulu sebelum dicelup ke dalam telur.
5. Perasakan Sotong Terlebih Dahulu
Sebelum menyadur tepung, gaulkan sotong bersama:
- Sedikit garam
- Serbuk kunyit
- Serbuk lada hitam
- Serbuk lada sulah
Tak perlu terlalu banyak kerana campuran tepung juga sudah mempunyai perasa. Cara ini membantu memastikan rasa bukan hanya berada pada bahagian salutan sahaja.
6. Cara Sadur Sotong Goreng Tepung Yang Betul
Untuk mendapatkan salutan yang kemas:
- Celup sotong ke dalam telur.
- Masukkan ke dalam campuran tepung.
- Salut hingga seluruh permukaan tertutup rata.
- Tekan tepung perlahan-lahan supaya melekat.
- Goncangkan lebihan tepung sebelum digoreng.
Jangan biarkan terlalu banyak tepung longgar kerana ia akan jatuh ke dalam minyak dan mudah hangus. Tepung yang terlalu tebal juga boleh menyebabkan bahagian salutan terasa berat.
7. Pastikan Minyak Sudah Cukup Panas
Ini antara langkah penting untuk mendapatkan hasil yang rangup.
Jika minyak belum cukup panas:
- Tepung mudah tertanggal.
- Salutan menyerap banyak minyak.
- Sotong menjadi lembik.
Gunakan api sederhana dan pastikan minyak sudah panas sebelum sotong dimasukkan. Minyak yang mencukupi juga membolehkan sotong digoreng dengan lebih sekata.
8. Jangan Goreng Terlalu Banyak Sekali Gus
Masukkan sotong sedikit demi sedikit.
Jika terlalu banyak dimasukkan serentak, suhu minyak akan turun dan menyebabkan salutan tidak rangup. Berikan ruang supaya sotong dapat masak secara sekata dan salutan tidak mudah melekat antara satu sama lain.
9. Jangan Goreng Sotong Terlalu Lama
Sotong cepat masak.
Jika digoreng terlalu lama, teksturnya boleh bertukar keras dan liat. Goreng sehingga salutan berwarna keemasan dan rangup, kemudian terus angkat.
Langkah ini penting supaya sotong goreng tepung kekal sedap dengan bahagian dalam yang tidak terlalu liat.
Anda mungkin berminat dengan
10. Kaut Lebihan Tepung Dalam Minyak
Selepas satu kumpulan sotong siap digoreng, biasanya ada cebisan tepung yang tertinggal dalam minyak.
Sebelum memasukkan kumpulan seterusnya:
- Kaut lebihan tepung.
- Buang kerak yang sudah mula keperangan.
- Pastikan minyak kekal bersih.
Jika dibiarkan, tepung lama boleh hangus dan melekat pada sotong berikutnya. Ia juga boleh menyebabkan minyak menjadi semakin gelap.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Sambal Sotong Telur Pecah Paling Sedap & Beraroma, Memang Bikin Ketagih!
Sotong Goreng Telur Masin Sedap Rangup, Paling Senang Buat. Makan Memang Tak Puas
Resipi Pais Sotong Ala Utara, Nak Guna Udang @ Ikan Pun Boleh

sekarang!




