Makan

Serunding Ikan Paling Sedap & Wangi. Resipi Mudah Power Untuk Sahur dan Inti Popia

Share

Serunding Ikan memang popular lebih-lebih lagi bila tiba bulan puasa. Bila sahur kan tak ada selera, jadi serunding ni memang sesuai benar lah dijadikan lauk. Rasanya yang lemak, pedas dan sedikit manis memang buat nasi panas bertambah-tambah. Selain dimakan bersama nasi, lauk ini juga sangat praktikal kerana boleh disimpan lama dan mudah dihidangkan pada bila-bila masa.

Ramai juga yang gunakan Serunding Ikan sebagai inti untuk pelbagai makanan lain. Contohnya popia simpul, karipap mini, roti sandwich ataupun dimakan bersama pulut. Teksturnya yang kering dan berserat menjadikan ia sangat sesuai dijadikan inti atau taburan untuk menaikkan lagi rasa hidangan.

Kalau anda jenis yang suka stok lauk tahan lama di rumah, resipi ini memang sangat berbaloi untuk dicuba. Walaupun proses memasaknya mengambil sedikit masa, hasilnya memang puas hati. Jom cuba resipi ini. Anda pasti sukakan rasanya!

Resipi Serunding Ikan Homemade

Resipi Serunding Ikan ini menggunakan ikan selayang atau ikan sardin yang mudah didapati di pasar. Gabungan bawang, cili kering, santan dan gula melaka menghasilkan rasa yang cukup seimbang antara pedas, lemak dan sedikit manis.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 kg ikan selayang / sardin
  • 1/2 kg bawang merah – dikisar halus
  • 1 inci halia – dikisar halus
  • 15 tangkai cili kering – dikisar halus
  • 4 ulas bawang putih – dikisar halus
  • 3 biji bawang besar – dikisar halus
  • 1/2 kg pati santan / santan pekat
  • 3 keping asam gelugur
  • 1 keping gula melaka – lebih kurang

CARA MEMASAK:

1. Bersihkan ikan dan rebus dengan garam serta asam keping hingga masak.

2. Asingkan isi ikan dan tulang. Kemudian ramas atau kisar hingga halus. Ketepikan.

3. Dalam kuali besar, masukkan semua bahan yang dikisar halus.

4. Masukkan santan, asam keping dan juga gula melaka. Boleh juga guna gula biasa. Jumlahnya ikut citarasa masing-masing. Gaul hingga semua bahan mesra dan gula larut.

5. Tambahkan isi ikan.

6. Gaul lagi hingga sebati seperti ini.

7. Teruskan memasak menggunakan api sederhana sehingga Serunding Ikan kering. Anggaran masa untuk serunding kering sepenuhnya adalah lebih kurang 1 jam.

8. Angkat, sejukkan dan sedia untuk dinikmati ikut cita rasa anda.

Tips Hasilkan Serunding Ikan Yang Sedap

Untuk mendapatkan hasil Serunding Ikan yang betul-betul kering dan tahan lama, pastikan anda memasaknya dengan api sederhana sambil sentiasa mengacau. Ini penting supaya bahagian bawah tidak hangit dan serunding masak sekata.

Selain itu, gunakan santan pekat supaya rasanya lebih lemak dan aromanya lebih wangi. Jika suka serunding yang lebih pedas, anda boleh tambah sedikit lagi cili kering semasa proses mengisar bahan.

Cara Simpan Serunding Supaya Tahan Lama

Serunding yang sudah sejuk sepenuhnya boleh disimpan dalam bekas kedap udara. Jika disimpan dengan betul, Serunding Ikan boleh bertahan lama dan masih mengekalkan rasa serta aromanya.

Ia juga sangat sesuai dijadikan stok lauk di rumah, terutamanya ketika bulan Ramadan. Bila bangun sahur dan tak sempat masak lauk lain, hidangan ini memang sangat membantu kerana hanya perlu panaskan nasi dan terus makan bersama serunding.

Idea Hidangan Dengan Serunding Ikan

Selain dimakan bersama nasi panas, Serunding Ikan juga boleh digunakan sebagai inti popia simpul, inti karipap mini, atau ditabur di atas pulut. Ada juga yang menjadikannya inti roti atau sandwich untuk sarapan yang ringkas tetapi menyelerakan.

Kombinasi rasa pedas, manis dan lemak menjadikan hidangan ini sangat versatil. Sekali buat, boleh pelbagaikan cara hidangannya mengikut selera keluarga.

Kredit resipi & foto: Hasnas Sulaiman 

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:  

 

Published by
Nur