Sayur Tumis Kulit Tembikai, Lauk Kampung Sedap & Unik Wajib Cuba!

Share

Jangan buang kulit tembikai, boleh buat sayur tumis kulit tembikai! Mungkin ada yang tak tahu bahagian putih antara isi dan kulit hijau sebenarnya boleh dimasak jadi lauk kampung yang sangat sedap.

Sayur tumis kulit tembikai ini lembut, manis, rangup dan menyerap rasa tumisan dengan sempurna. Bila dihidang bersama ikan goreng dan sambal belacan, memang padu habis. Kalau belum pernah rasa, wajib cuba sekurang-kurangnya sekali.

Resipi Sayur Tumis Kulit Tembikai

Bahan-bahan

  • Isi putih kulit tembikai secukupnya (buang bahagian kulit hijau keras)
  • 3 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah
  • Sedikit lada hitam
  • Segenggam ikan bilis
  • Daun sup secukupnya (untuk hiasan)
  • Minyak masak
  • Air secukupnya

Cara Penyediaan

  1. Kupas kulit tembikai dan ambil bahagian putih sahaja. Potong ikut saiz yang disukai.
  2. Tumbuk bawang putih, bawang merah, lada hitam dan ikan bilis hingga lumat.
  3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing dan wangi.
  4. Tuangkan sedikit air dan biarkan mendidih sekejap.
  5. Masukkan kulit tembikai dan biar mereneh hingga lembut.
  6. Untuk tahu dah masak, tekan dengan sudu kalau lembut dan mudah belah, itu tanda sudah cukup masak.
  7. Tutup api, tabur daun sup sebelum dihidang. Siap!

Tip makin sedap

  • Kalau nak rasa lebih pedas, boleh tambah cili padi tumbuk bersama bahan tumis.
  • Untuk aroma lebih wangi, tumis sedikit udang kering bersama bahan tumbuk.
  • Boleh juga tambah sedikit sos tiram untuk rasa yang lebih lemak.

Kredit Resipi & Foto: Hazimah Kamaruddin Ziema

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose