Makan

Sambal Daging Cili Api Sesuai Untuk Penggemar Lauk Pedas Berapi

Share

Sambal daging cili api ini sesuai untuk penggemar masakan pedas tapi ringkas. Lauk ini hidang dengan telur mata dan kicap saja pun sudah mencukupi.

Tapi awas ia hanya untuk yang berani makan hidangan pedas berapi saja. Bersama sedikit rasa manis dari sos dan kicap sambal daging ini boleh buat kita berair mata sambil makan. Namun pada masa yang sama tak mampu berhenti. Tak percaya cubalah masak!

Resipi sambal daging cili api pedas berapi

Bahan-bahan

1kg daging -dihiris nipis
15-20 ulas cili api merah
3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar

Bahan sos dan perasa

1-2 sudu besar sos tiram
4-5 sudu besar sos cili
1-2 sudu besar kicap pekat manis
Garam secukup rasa
Gula perang secukup rasa

Bahan dihiris

Bawang besar
Kacang panjang
Cili merah (belah dua)

Cara memasak sambal daging cili api

1. Daging yang dihiris kemudian digoreng 70 peratus masak (gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit). Ketepikan.

2. Kisar cili api merah dan bawang putih terlebih dulu sehingga halus, kemudian masukkan bawang besar, kisar sekejap sahaja supaya bawang besar tidak terlalu hancur.

3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.

4. Tambahkan sos dan perasa iaitu garam, gula perang, kicap pekat manis, sos tiram, dan sos cili. Kacau rata dan biarkan seketika supaya semua bahan sebati dan rasa cukup seimbang.

5. Masukkan daging yang telah digoreng. Kacau rata dan biarkan seketika sehingga daging menyerap rasa sambal.

6. Akhir sekali, masukkan bahan hiris. Kacau rata dan masak sebentar supaya bahan hiris sedikit layu namun masih rangup.

Sedia untuk dihidangkan dengan nasi dan boleh terus makan.

TIP
-Jika mahu rasa ‘pedas berapi’ tambah cili api.
-Sesuaikan gula mengikut citarasa, terutama jika suka rasa manis pedas.

Kredit resepi & foto: Ziera Xiera

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose