Roasted Chicken Wings. Resipi Sedap Ala Pizza Hut Yang Sangat Berbaloi & Menggiurkan

Share

Resipi Roasted Chicken Wings atau kepak ayam panggang ala restoran pizza ini memang sedap. Malah resipinya juga mudah dan sangat sesuai dihasilkan sendiri untuk hidangan suami serta anak-anak. Sedapnya… Kalau dibeli, harganya boleh tahan mahal. Jadi cubalah buat sendiri guna resipi perkongsian saudari Mihah Rosle ini. Sangat enak dan sangat berbaloi untuk dicuba!

Hidangan Roasted Chicken Wings seperti ini juga sebenarnya fleksibel. Anda boleh memasaknya menggunakan Air Fryer, ketuhar atau pemanggang bergantung pada peralatan yang anda ada di rumah. Rasa perapan yang manis, sedikit pedas, dan beraroma menjadikan hidangan ini kegemaran ramai. Bau kepak ayam yang sedang dipanggang juga boleh buat seluruh rumah harum!

CARA MUDAH MASAK ROASTED CHICKEN WINGS ALA PIZZA HUT

BAHAN-BAHAN:

  • 10 keping kepak ayam – potong dua
  • 3 sudu makan serbuk cili
  • 3 sudu makan madu
  • 3 sudu makan sos tiram
  • 3 sudu makan kicap manis
  • 2 sudu makan gula
  • 1 biji limau kasturi
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Bersihkan kepak ayam dan potong. Letak dalam bekas bersesuaian.

2. Masukkan bahan-bahan perapan ke dalam bekas. Jika suka pedas, boleh tambah serbuk cili. Jika kurang suka manis, tidak perlu letak gula atau boleh kurangkan jumlahnya.

3. Gaul sebati ayam bersama bahan-bahan perapan. Perap seberapa lama yang anda suka. Lagi lama diperap, lagi enak rasanya. Pada tahap ini, perapan membantu menjadikan Roasted Chicken Wings lebih lembut dan penuh rasa.

4. Bakar kepak ayam menggunakan Air Fryer pada suhu 170-180°C selama 10-15 minit. Kemudian terbalikkan dan bakar sekali lagi menggunakan suhu yang sama. Pemilik resipi asal menggunakan Air Fryer tanpa kepanasan atas bawah, jadi anda boleh ubah suai masa mengikut jenis AF masing-masing.

5. Bila kepak ayam sudah masak, angkat dan sedia untuk dinikmati. Aroma dan warna keperangan memang cukup menyelerakan. Hidangan Roasted Chicken Wings ini bukan sahaja sesuai sebagai lauk makan tengah hari atau malam, malah boleh dijadikan snek petang untuk anak-anak.

TIP SUPAYA ROASTED CHICKEN WINGS BERTAMBAH SEDAP

Untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan, anda boleh memerap ayam semalaman di dalam peti sejuk. Lagi lama diperap, lagi meresap rasa ke dalam isi ayam. Jika mahu tekstur lebih rangup di luar dan juicy di dalam, cuba tambah sedikit minyak zaitun pada perapan.

Satu lagi tip: ketika membakar, jangan terlalu padatkan ruang dalam Air Fryer atau ketuhar. Susun kepak ayam secara berjarak supaya haba dapat beredar sekata. Cara ini membantu memastikan seluruh permukaan Roasted Chicken Wings masak sempurna dan keperangan cantik.

HIDANGAN MUDAH UNTUK SEMUA

Hidangan seperti ini bukan sahaja cepat disediakan, malah sangat sesuai untuk keluarga yang gemarkan sesuatu yang ringkas tetapi lazat. Tanpa perlu ke restoran, anda boleh menikmati Roasted Chicken Wings

versi homemade yang jauh lebih menjimatkan. Rasanya pula tidak kurang hebat! Jika ada majlis kecil atau jamuan ringkas di rumah, menu ini pasti menjadi pilihan ramai.

Kredit resipi & foto: Mihah Rosle 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:  

Published by
Nur