Kalau rindu dengan rasa tomyam tumis tanpa perencah yang asli boleh cuba resipi yang ini! Rasanya ringan, masam, pedas, dan wangi dengan aroma serai serta daun limau purut. Walaupun tanpa bahan segera, tetap cukup ‘kick’!
Tomyam tumis tanpa perencah ini sesuai untuk seisi keluarga, anak-anak pun boleh makan sebab tak terlalu pedas dan lebih sihat kerana tiada bahan tambahan seperti MSG atau perencah segera. Hanya tumis, rebus dan siap! Bila dihidang panas-panas dengan nasi putih, telur dadar dan sambal belacan, memang tak sedar boleh bertambah dua kali.
Bahan-Bahan Tomyam Tumis Tanpa Perencah


- Ayam (dipotong kecil)
- 1 biji bawang besar (potong empat)
- 2 ulas bawang putih (dititik kasar)
- 1 batang serai (diketuk)
- 3 helai daun limau purut
- 1 biji tomato (potong dadu)
- 5–7 biji cili api (diketuk, ikut tahap pedas)
- 1 biji limau nipis (perah jusnya)
- Sayur pilihan (lobak merah, kobis, bunga kubis, cendawan)
- Garam dan serbuk perasa secukupnya
- Minyak untuk menumis
Cara Penyediaan Tomyam Tumis Tanpa Perencah
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk.
- Tumis bawang besar, bawang putih, serai, daun limau purut dan cili api hingga naik bau wangi.
- Masukkan air secukupnya dan biar mendidih.
- Tambahkan ayam, kemudian reneh hingga ayam empuk dan kuah mula sebati dengan rempah tumisan.
- Bila ayam dah masak, masukkan sayur dan tomato. Biarkan mendidih seketika.
- Perasakan dengan garam, serbuk perasa dan jus limau nipis mengikut cita rasa anda.
- Kacau perlahan, kemudian tutup api.
- Tabur daun ketumbar atau daun sup sebelum dihidangkan untuk aroma segar.


Tip Tomyam Lebih Sedap
- Untuk versi lebih segar, boleh guna limau kasturi sebagai pengganti limau nipis.
- Untuk rasa ala Thai asli, masukkan sedikit sos ikan pada akhir masakan.
- Guna ayam kampung atau isi ikan segar seperti siakap untuk rasa lebih manis dan semula jadi.
Variasi Resipi Tomyam Tumis
Selain menggunakan ayam, resepi tomyam tumis tanpa perencah ini juga boleh digantikan dengan pelbagai bahan lain mengikut selera keluarga:
- Tomyam udang – gunakan udang segar, tumis sebentar dan jangan masak terlalu lama supaya manis udang kekal.
- Tomyam sotong – sesuai untuk hidangan cepat kerana sotong masak sekejap sahaja.
- Tomyam ikan siakap – sesuai bagi yang suka kuah masam pedas ala Thai, pastikan ikan digoreng sekejap dulu supaya tidak hancur.
- Tomyam daging – rebus daging hingga empuk terlebih dahulu sebelum masukkan ke dalam kuah tumisan.
Tomyam tumis tanpa perencah ini bukan sahaja mudah, malah mengekalkan rasa asli. Dengan bahan ringkas dan langkah penyediaan mudah, kita boleh saja hasilkan tomyam yang wangi, pedas, dan menyelerakan tanpa perlu bergantung pada perencah segera.
Kredit Resipi & Foto: NurulAin Alaui
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA