Makan

Resipi Sambal Sardin Goreng Rangup, Lauk Sardin Sedap Kena Cuba

Share

Resipi sambal sardin goreng rangup ini memang lain dari sambal sardin yang biasa kita masak.

Ikannya tak lembik kerana ia terlebih dahulu digoreng dengan tepung dan digoreng garing sebelum ditumis.

Lebih enak sambalnya dimasak menggunakan kuah asal dari dalam tin, digabung dengan cili, bawang dan hirisan tomato yang menjadikan rasanya lebih mantap dan beraroma. Lauk sardin dari Rizal Channel ini memang kena cuba.

Resipi sambal sardin goreng rangup

Bahan-bahan

1 tin besar sardin-asingkan kuahnya
Tepung jagung
Bawang merah -dihiris
Halia- dihiris memanjang
Tomato -dipotong
Limau nipis -diperah jus

Bahan dikisar

Lada besar
Cili api
Bawang merah
Bawang putih

Cara memasak

1. Letak tepung jagung dalam bekas, ambil ikan sardine yang sudah diasingkan dari kuah tadi kemudian gaulkan setiap satu hingga tepung meliputi semua seluruh ikan.

2. Panaskan kuali kemudian goreng ikan sardine tadi hingga garing. Angkat dan tos.

3. Seterusnya tumis bawang merah yang dihiris hingga naik bau, kemudian masukkan hirisan halia Bersama dengan tomato. Kacau sebati.

4. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis hingga tumisan masak.

5. Tuangkan kuah sardine yang diasingkan tadi dan kacau rata. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya diikuti dengan perahan limau nipis. Kacau sebati.

6. Akhir sekali masukkan ikan sardine yang siap digoreng rangup tadi. Gaul rata dan tutup api. Sedia dihidangkan.

Kredit resipi & foto: Rizal Channel

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose