
Minyak bijan memang sedap dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Sama ada untuk masakan berkuah, bergoreng, atau sekadar titisan terakhir sebagai penambah aroma, minyak bijan sentiasa memberi sentuhan istimewa pada setiap hidangan. Aromanya yang wangi bukan sahaja menaikkan lagi keenakan masakan, tetapi juga membuka selera.

Biasanya kita beli minyak bijan di kedai, tapi tahukah anda bahawa sebenarnya anda boleh buat sendiri minyak bijan homemade di rumah? Caranya sangat mudah dan menggunakan bahan yang ringkas sahaja. Jom cuba resipi minyak bijan homemade yang dikongsikan oleh UmiSarah AbdulRashid ini. Hasilnya wangi, pekat, dan tahan lama!
Resipi Minyak Bijan Homemade Hanya Guna 2 Bahan
Bahan-Bahan:
- 1 cawan bijan
- 2 cawan minyak masak
Cara Memasak Minyak Bijan Homemade:
- Ambil bijan, cuci bersih dan toskan airnya.
- Sangai sekejap bijan dalam kuali tanpa minyak untuk keringkan air dan naikkan aroma. Kemudian kisar menggunakan blender kering hingga halus.
- Masukkan serbuk bijan ke dalam periuk dan tuang minyak masak.
- Kacau hingga serbuk bijan sebati dengan minyak. Bila sudah betul-betul sebati, buka api sederhana dan teruskan mengacau.
- Sentiasa kacau untuk elak bijan hangit di bahagian bawah. Bila bijan bertukar warna keperangan dan naik bau harum, tutup api tetapi teruskan kacau sebab minyak masih panas.
- Tutup periuk dan biar minyak bijan sejuk sepenuhnya. Bila dah sejuk, tapis minyak bijan menggunakan penapis halus. Tekan dan kacau tapisan supaya semua minyak keluar dan tinggal hampas sahaja.


- Hampas bijan jangan dibuang! Anda boleh gunakannya dalam masakan seperti tumisan sayur, mi goreng atau sambal untuk menambah rasa lemak dan aroma wangi bijan.

- Minyak bijan homemade anda siap disediakan. Hasilnya dapat sebotol besar dan boleh digunakan selama 2 hingga 3 bulan jika disimpan di tempat sejuk dan kering.

Kelebihan Buat Sendiri Minyak Bijan Homemade
Selain menjimatkan, minyak bijan homemade lebih asli dan bebas bahan pengawet. Anda boleh kawal kepekatan serta aroma mengikut citarasa sendiri. Jika suka lebih wangi, boleh sangai bijan sedikit lama sebelum dikisar. Minyak ini juga sesuai digunakan dalam pelbagai masakan seperti mi goreng, sup, sayur tumis, ayam madu, atau nasi goreng Cina.
Selain untuk memasak, minyak bijan juga terkenal dengan khasiatnya untuk kesihatan kulit dan rambut. Ramai menggunakan minyak bijan homemade sebagai minyak urut atau pelembap semula jadi. Aroma semula jadinya membantu memberikan rasa relaks dan menenangkan.
Tips Simpanan Minyak Bijan Homemade
- Simpan minyak bijan homemade dalam botol kaca bersih dan kering.
- Pastikan penutup rapat supaya minyak tidak teroksida dan kehilangan aroma.
- Elakkan meletakkan minyak di tempat panas atau terkena cahaya matahari secara langsung.
- Gunakan sudu bersih setiap kali ingin mengambil minyak untuk elak pencemaran.
Kesimpulan
Dengan hanya dua bahan ringkas, anda kini boleh hasilkan sendiri minyak bijan homemade yang wangi, sihat dan menjimatkan. Ia bukan sahaja memberi rasa autentik pada masakan, tetapi juga menambah nilai pada gaya hidup sihat tanpa bahan tambahan. Lepas ni tak perlu beli lagi – cuba buat minyak bijan homemade di rumah dan rasai sendiri perbezaannya!
Kredit resipi & foto: UmiSarah AbdulRashid
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak tip dan petua dapur di laman web RASA:
Cara Lembutkan Ikan Beku dengan Garam dan Cuka, Petua Cepat & Berkesan!
Panduan Keselamatan Tong Gas Memasak: Cara Betul Elak Kebocoran dan Letupan
4 Cara Tampal Periuk Bocor Guna Bahan Sedia Ada Di Rumah. Mudah & Jimat!
Tonton lebih banyak video TIP & Trick di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!























