Resipi Kurma Telur Pekat Berempah, Lauk Simple Paling Sedap!

Share

Kalau rasa nak masak lauk telur yang mudah tapi sedap, resipi kurma telur ini memang pilihan terbaik. Kuahnya pekat, lemak dan cukup berempah sesuai digandingkan dengan nasi putih, roti jala atau pulut. Bau rempah kurma yang ditumis bersama daun kari memang boleh buat satu rumah berbau wangi! Rasanya pula memang macam mak-mak masak.

Bahan-bahan Kurma Telur

6 biji telur ayam (direbus & dibuang kulit)

1 paket rempah kurma

110ml santan kotak

Air panas secukupnya (untuk kuah, ikut kepekatan yang disukai)

Bahan Tumisan

Bawang merah (dihiris halus)

Halia (dihiris nipis)

Daun kari

1 sudu makan bawang merah kisar

1/2 sudu makan bawang putih kisar

1 sudu makan halba campur

1 sudu kecil lada hitam (ditumbuk halus)

Bahan Hiasan

Bawang besar atau bawang Holland (dibelah empat)

Cili besar merah/hijau (dibelah dua) atau cili padi jika suka pedas

Cara Penyediaan Kurma Telur

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumisan hingga naik bau wangi.
  2. Masukkan rempah kurma dan kacau perlahan selama 2 minit supaya rempah masak sempurna.
  3. Tuang santan dan gaul sebati. Biar hingga pecah minyak menggunakan api perlahan.
  4. Bila dah pecah minyak, tambahkan air panas mengikut kepekatan kuah yang diingini.
  5. Masukkan telur rebus dan reneh atas api sederhana hingga kuah meresap.
  6. Perasakan dengan garam, gula dan sedikit lada hitam tumbuk.
  7. Bila kuah mendidih dan cukup rasa, masukkan bawang besar serta cili. Tutup api dan siap untuk dihidang!

Tip

  • Jika mahu telur rebus masak cantik dan senang kupas, rebus air hingga mendidih, masukkan sedikit garam dan rebus telur sampai masak. Selepas telur masak, rendam pula dalam air sejuk. Kemudian boleh kupas.
  • Gunakan santan pekat supaya kuah kurma telur lebih berlemak.
  • Tumis rempah kurma hingga pecah minyak  ini rahsia aroma wangi dan rasa berempah yang kuat.
  • Jika suka lebih pedas, tambah sedikit serbuk cili atau cili padi.
  • Boleh juga tambah kentang untuk versi kurma telur kentang yang lebih mengenyangkan.

Kredit Resipi & Foto: Dianadiandra Diana

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

Published by
Rose