Resipi Kuih Lapis Labu Gedik. Sedap & Sikit Pun Tak Guna Pewarna Tambahan.

Share

Kuih tradisional seperti Kuih Lapis sememangnya sangat sedap dan menjadi kegemaran ramai. Lebih enak jika ia dihasilkan menggunakan santan asli dan juga labu segar. Bagi anda yang nak cuba buat kuih ni, resipi Kuih Lapis Labu Gedik perkongsian saudari Marlia Lia ni antara yang terbaik boleh dicuba. Tanpa pewarna tambahan dan bahan-bahannya pun sangat ringkas. Jom lihat cara pembuatan kuih ini.

KUIH LAPIS LABU GEDIK

BAHAN A:

  • 1/4 biji labu saiz sederhana
  • 4 cawan santan segar – dipanaskan atas api perlahan hingga suam kuku.

BAHAN B:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan tepung jagung
  • 3/4 cawan gula halus – kisar gula supaya senang larut
  • 1/4 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

1. Kupas labu dan kukus hingga lembut. Kemudian kisar halus guna pengisar kering. Dapat anggaran 1/2 cawan selepas dikisar. Ketepikan.

2. Dalam bekas besar, satukan kesemua bahan-bahan B. Adun hingga rata. Ketepikan.

3. Panaskan santan di dalam periuk menggunakan api perlahan sambil dikacau.

4. Tuang santan suam ke dalam campuran bahan B. Kacau hingga sebati menggunakan pemukul tangan (hand whisker). Tapis.

5. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Satu bahagian dicampur dengan labu dan satu lagi dibiarkan pada warna asal.

6. Panaskan kukusan sehingga air mendidih. Ambil loyang bulat bersaiz 9 inci dan oleskan sedikit minyak.

7. Panaskan loyang didalam kukusan terlebih dahulu sebelum mula melapis. Pastikan kukus kuih guna api sederhana.

8. Tuang adunan putih terlebih dahulu. Kukus selama 5 minit kemudian barulah dimasukkan adunan labu. Pastikan jumlahnya sama supaya ketebalan lapisan kelihatan sama. Ulang langkah sama hingga habis. Lapisan terakhir perlu dikukus selama 20-25 minit.

9. Untuk memastikan kuih lapis tidak cepat basi, selepas siap dikukus, buka penutup kukusan dan teruskan memasak kuih selama 5-10 minit lagi. Ia bertujuan untuk mengeringkan wap air atas kuih.

10. Angkat, sejukkan dan sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Marlia Lia

IKLAN