Resipi Japanese Cotton Cheesecake Versi Bajet, Lembut & Gebu!

Share

Sebut sahaja kek keju, pasti ramai yang angkat tangan. Peminatnya memang ramai lebih-lebih lagi kalau kek tersebut gebu dan enak. Ramai yang fikir, kek keju ni susah nak buat. Salah tu… Ada juga kek keju yang mudah dan tidak menggunakan kos yang mahal untuk dihasilkan. Salah satu yang anda boleh cuba ialah Japanese Cotton Cheesecake ni. Hanya guna keju cheddar dan beberapa bahan mudah yang lain. Hasilnya? Sangat memuaskan hati. Jom lihat bahan-bahan yang anda perlukan. Nanti bolehlah cuba hasilkan untuk keluarga anda.

 

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji telur gred A | asingkan kuning dan putih
  • 6 keping keju cheddar cheesedale
  • 100gm mentega
  • 100gm tepung gandum ( sebaiknya diayak)
  • 125gm gula pasir
  • 300ml susu segar

 

CARA MEMASAK:

1. Carik-carikkan keju menjadi kepingan kecil. Ambil periuk, masukkan susu dan keju yang dah dicarik tadi.

2. Panaskan susu menggunakan api perlahan sambil dikacau sehingga keju cair.

3. Setelah keju cair, masukkan mentega. Sebaiknya, mentega dipotong kecil bagi memudahkan ia cair.

4. Setelah semua bahan cair, padamkan api dan biarkan seketika.

5. Satukan gula bersama putih telur. Pukul hingga kembang dan bertanduk. Ketepikan seketika.

6. Dalam bekas berlainan, satukan kuning telur dan esen vanilla. Pukul hingga sekata. Kemudian masukkan campuran susu dan keju yang telah dicairkan tadi.

7. Kacau campuran kuning telur dan susu hingga sebati. Kemudian masukkan tepung gandum. Kacau lagi hingga sebati dan adunan tidak berketul. ( waktu ini, bolehlah mula panaskan ketuhar)

8. Tuang putih telur yang telah dipukul tadi ke dalam adunan. Kaup balikkan adunan sehingga sebati.

9. Sediakan loyang untuk adunan tadi. Sapu mentega disekelilinya. Guna loyang saiz 9 inci. Jika guna loyang ‘springform’, balut bahagian luar menggunakan aluminium foil bagi mengelakkan adunan kek keluar.

10. Ambil loyang yang lebih besar, masukkan sedikit air dan letakkan loyang kek tadi. Bakar menggunakan teknik ‘waterbath’.

11. Masukkan ke dalam ketuhar pada suhu 170C selama 20 minit menggunakan api atas bawah.

12. Kemudian turunkan suhu kepada 140C dan bakar lagi selama 40 minit.

13. Setelah kek masak, keluarkan dari acuan dan sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Hidayatul Hafiza

IKLAN