Resipi ikan bawal hitam masak kicap ini memang ringkas tapi boleh jadi kegemaran keluarga.
Dengan kombinasi rasa manis, pedas dan masin yang seimbang selain tumisan bawang dan halia yang menggoda selera, bila dimakan dengan nasi memang masing-masing angkat ibu jari. Cubalah…
1 ekor ikan bawal hitam – dibersihkan, digaul garam kunyit dan digoreng
2 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
½ inci halia
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
Kicap manis secukupnya (disyorkan jenama ABC)
Air secukupnya
Bawang holland dan lada besar merah/hijau – dihiris (jika suka)
1. Gaul ikan dengan garam dan kunyit, kemudian goreng hingga garing. Ketepikan.
2. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia hingga lumat.
3. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumbuk hingga garing dan naik bau.
4. Tambah sos tiram, sos cili dan kicap manis. Kacau rata.
5. Tambah sedikit air untuk kuah. Jangan terlalu banyak, cukup sekadar kuah menyaluti ikan.
6. Masukkan hirisan bawang holland dan lada besar jika suka. Ia bukan saja cantik tapi menambah rasa.
7. Masukkan ikan goreng ke dalam kuah. Biarkan seketika hingga ikan sebati dengan kuah.
8. Tambah garam dan perasa secukupnya. Siap untuk dihidangkan!
Boleh guna ikan lain seperti ikan kembung, selar atau siakap.
Jika suka lebih pedas, boleh tambah hirisan cili padi.
Resipi ikan bawal hitam masak kicap ini sesuai juga ditambah sedikit bawang besar yang dimayang bulat untuk rasa lebih manis dan aroma.
Kredit resipi & foto: Che Wanie
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA