Salah satu resipi daging bakar yang paling sedap dan membuka selera. Bagi anda yang sukakan menu ini, memang wajib cuba. Resipi daging bakar istimewa dengan rasa asli dari Thailand ni memang menyelerakan. Tak susah nak sediakan menu ni. Daging diperap dengan ramuan khas membangkitkan rasa enak ditambah pula dengan sos masam manis menambahkan lagi selera. Jom cuba resipi perkongsian saudari Adnilsam Apat ni! Anda pasti suka.
DAGING BAKAR ALA DANNOK
BAHAN-BAHAN DAGING BAKAR:
2 keping daging batang pinang/strip loin/sirloin/rib eye (sebesar tapak tangan lelaki dewasa adan setebal 2cm)*
2 sudu besar sos tiram*
2 sudu besar kicap cair*
1 ulas bawang putih- tumbuk halus*
1 batang serai- dihiris nipis & ditumbuk halus*
1 sudu kecil lada sulah*
2 sudu besar gula perang*
3 sudu besar susu cair*
1 sudu kecil serbuk cili *
Sedikit serbuk perasa*
Sedikit minyak masak
1 ketul arang size kecil
Aluminium foil
CARA MEMASAK:
1. Perap daging selama 3-4 jam bersama semua bahan-bahan yang bertanda (*)
Ads
2. Simpan daging yang diperap dalam peti sejuk terlebih dahulu ( jangan letak bahagian yang beku)
3. Selepas 3 jam barakan arang, sambil-sambil itu boleh mula bakar daging atas pan. Letakkan sedikit minyak dulu dipermukaan pan. Bakar selama 10 minit sahaja (5 minit setiap bahagian permukaan). Tidak boleh terlebih masak dan gunakan api sederhana besar. Sebab kalau terlebih masak daging akan kering & agak liat. Kalau anda suka medium well cukup setakat 7-8 minit sahaja masa membakar daging tadi.
4. Setelah daging masak tutup api. Kemudian ambil arang yang telah berbara tadi dan letakkan diatas sekeping aluminium foil. Titiskan beberapa titis minyak masak atas arang ini akan menyebabkan arang mengeluarkan asap yang banyak dan letakkan arang dalam pan daging tadi.
5. Tutup pan cepat-cepat dengan penutup yang rapat. Proses ini untuk mendapatkan rasa daging seperti dibakar dengan arang dan yang pasti ianya sememangnya menyedapkan lagi rasa daging bakar tu nanti. Biarkan asap menyelimuti daging selama 1-2 minit sahaja.
Ads
6. Kemudian boleh angkat daging untuk dipotong & dihidangkan bersama sos pencicah.
Ada lagi stok daging dekat dalam peti ais? Kalau ada, mari cuba hidangan ringkas daging goreng rempah kerin. Menu tidak berkuah menjadi pilihan tapi ia penuh dengan rasa rempah enak.
DAGING GORENG BEREMPAH
BAHAN-BAHAN:
1kg daging ] hiris nipis
1 biji bawang Holland ] hiris bulat
1 batang seleri ] hiris serong
3 tangkai daun kari ] lurutkan dari tangkai
2 sudu makan rempah kari daging
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu makan yogurt
3 sudu makan minyak masak untuk menumis
BAHAN REMPAH PENUMIS:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunya lawang
5 biji buah pelaga
BAHAN KISAR:
6 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
2 batang serai
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak, tumiskan bahan rempah penumis, daun kari, diikuti bahan kisar. Tumis hingga wangi.
2. Kemudian masukkan bancuhan rempah kari yang dicampur dengan serbuk cili. Kacau rata hingga timbul minyak.
3. Masukkan daging, terus kacau hingga daging layu.
4. Apabila daging layu masukkan yogurt, hirisan batang seleri dan bawang Holland.
5. Apabila air daging kering, perasakan dengan yogurt, garam dan gula secukup rasa.
6. Angkat dan hidangkan panas-panas.
Saiz hidangan: 10-12 orang Waktu Memasak: 30 minit Cara Memasak: Tumis Jenis Masakan: Lauk pauk Keistimewaan: Enak dan kaya dengan rasa rempah kari. Anggaran kos: RM35
Info: Elakkan dari memasak daging ini terlalu lama. Untuk mendapatkan rasanya yang berjus dan lebih lembut.
Menu daging memang menjadi kesukaan ramai. Ada yang suka digoreng begitu saja. Sedap juga kalau daging ditumis seperti resipi yang dikongsi oleh Puan Najwatul. Menurutnya resipi ini dikongsi oleh jirannya. “Tak pernah saya makan daging masak hitam sedap sangat. Sampaikan suami suruh saya mintak resipi dengan akak belakang rumah saya ni.Lalu, saya meminta resipi ini dekat jiran saya. Jadi saya cuba buat. Memang terbaik dan sedap. Ibu – ibu yang bekerja pun boleh buat masakan ini,” cerita Najwatul.
Jom kita tengok resipinya.
DAGING MASAK HITAM
Bahan menumis A
1-2 batang kulit kayu manis
1-4 biji buah pelaga
1-3 kuntum bunga Lawang
2 batang serai ( diketuk)
Daun kari ( ikut suka)
Bahan Menumis ( KISAR )
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang besar
Halia ( sebesar ibu jari)
2 batang serai
Cara memasak:
1.Kisar bahan- bahan di atas sampai lumat. Kemudian tumis dengan bahan bahan A sampai naik bau wangi.
2.Seterusnya kisar sekali lagi bahan- bahan berikut:
Cili kering( agak-agak, kalau nak pedas boleh letak banyak)
2 ulas bawang besar ( Masak hitam ini lagi bawang besar banyak lagi sedap)
Perencah kari daging ( jenama apa pun tak apa. Saya letak setengah je )
3. Bila bahan yang ditumis tadi sudah kering sedikit, masukkan bahan-bahan yang baru dikisar tadi. Masak sampai pecah minyak.
4. Sambil itu rebus daging. Air daging jangan dibuang.
5. Apabila sudah pecah minyak, masukkan air daging,daging, kicap kipas udang atau kicap mudim.
6. Akhir sekali masukkan garam,gula, ajinomoto, perencah masakan mengikut citarasa anda.
7. Perlahankan api biar masak sampai agak kering sedikit, tutup api dan hidangkan.
Masakan Melayu memang mempunyai tarikan tersendiri. Tidak kira sama ada lauk pauk atau pun kuih muihnya. Setiap satu memiliki rasa yang sudah pasti memukau selera untuk dinikmati. Kali ini dikongsikan 6 resipi masakan tradisi yang membangkitkan rasa. Lebih istimewa apabila kesemua itu merupakan air tangan chef berbangsa India yang merupakan pakar masakan Melayu di Hotel Grand Bluewave Shah Alam, Chef Rathakrishnan.
DAGING MASAK HITAM
BAHAN-BAHAN:
600-800 gm daging |hiris nipis
½ cawan air asam jawa
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
Sedikit gula
Sedikit garam | jika perlu
Minyak masak
BAHAN PERAPAN DAGING:
6-7 sudu makan kicap pekat
3 sudu makan kicap manis
BAHAN SANGAI DAN KISAR HALUS:
12-15 biji bawang merah
5-7 ulas bawang putih
3cm halia
10 tangkai cili kering | tambah jika mahu pedas
CARA MEMASAK:
Daging tadi dipotong nipis dan diperap dahulu selama 30 minit dengan bahan perapan daging.
Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bunga lawang dan kulit kayu manis sehingga naik bau.
Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi.
Masak sehingga pecah minyak. Masukkan pula daging perap.
Kacau sebentar kemudian masukkan air asam jawa dan sedikit air.
Masakkan sehingga kuah agak pekat dan perasakan dengan sedikit gula.
Tambah garam jika perlu.
Setelah masak dan timbul minyak, tutup api dan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Lebih baik perapan daging disimpan dalam peti ais.
…..
Saiz hidangan: 6 orang.
Masa Memasak: 20 minit.
Cara Memasak: Goreng tanpa minyak dan tumis.
Jenis Masakan: Lauk pauk.
Keistimewaan: Enak dengan rasa pedas-pedas manis berkicap.
Anggaran kos RM12.
TELUR ITIK DENGAN BELIMBING BULUH MASAK LEMAK
BAHAN-BAHAN:
5 biji telur
1 batang serai |titik
1 helai daun kunyit | hiris
10 biji belimbing buluh
250ml santan pekat
200ml santan cair
Sedikit garam
1 keping asam gelugor
Bahan B (KISAR):
4 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
3cm kunyit hidup
6 biji cili padi kampung
1 biji cili merah
CARA MEMASAK:
Kisar bahan B dengan santan cair. Masakkan bahan kisar dengan serai sehingga mendidih menggunakan api yang kecil.
Apabila mendidih, pecahkan telur dalam mangkuk dan masukkan ke dalam kuah tadi secara perlahan-lahan.
Jarakkan antara satu sama lain. Boleh dimasukkan sedikit cuka supaya telur tidak pecah.
Masak sambil dikacau perlahan sehingga telur mengeras.
Tuang santan pekat, masukkan belimbing buluh, daun kunyit dan garam secukupnya.
Terus kacau supaya pati santan tak pecah minyak.
Bila mendidih, bolehlah ditutup api supaya belimbing masih rangup.
INFO CHEF: Jangan masak telur terlalu lama kerana ia akan menjadi keras.
…….
Saiz hidangan: 5 orang.
Masa Memasak: 20 minit.
Cara Memasak: Reneh.
Jenis Masakan: Lauk pauk (telur).
Keistimewaan: Rasa enak lemak pedas telur memecah selera makan
Anggaran kos RM10
AYAM RENDANG HIJAU
BAHAN-BAHAN:
80gm ayam | potong enam
400ml santan
2-3 helai daun limau purut
2 sudu makan kerisik
1 keping asam gelugor
4 sudu makan minyak masak
Garam dan gula secukupnya
2 batang serai |dititik
BAHAN KISAR:
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 cm halia
1/2cm lengkuas
6-8 biji cili padi
3 biji cili hijau
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
Masukkan ayam, kacau sebati.
Seterusnya masukkan santan, reneh dengan api yang sederhana.
Masukkan daun limau purut, asam gelugur, garam dan gula secukupnya.
Apabila kuah hampir pekat, masukkan kerisik dan daun kunyit.
Kecilkan api, terus kacau kacau hingga pekat dan timbul minyak.
Tutup api, rendang ayam sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Anda boleh goreng ayam separuh masak dahulu, supaya rendang lebih cepat masak dan tidak hancur.
…..
Saiz hidangan: 6 orang.
Masa Memasak: 30 minit.
Cara Memasak: Tumis dan reneh.
Jenis Masakan: Lauk pauk (ayam).
Keistimewaan: Gabungan pedas dan lemak yang sedap.
Anggaran kos RM15
SOTONG SUMBAT PULUT BERSAMA KUAH PERCIK
Bahan-bahan:
600gm sotong putih
2 cawan beras pulut | rendam 1 jam
1 1/2 cawan santan kelapa
Garam secukup rasa
BAHAN SOS PERCIK:
10gm bawang putih
30gm bawang merah
30gm halia
5 batang serai
5 tangkai cili merah
20gm kunyit hidup
10gm lengkuas
2 keping asam gelugor
40gm gula Melaka
100ml santan
100ml minyak
Garam secukup rasa
Lidi secukupnya
CARA MEMASAK:
Kukus beras pulut hingga setengah masak, angkat dan gaulkan bersama santan yang telah dicampur dengan garam dan kukus lagi hingga masak.
Sumbat pulut yang telah siap dimasak dalam sotong dan sematkan bahagian hujungnya dengan lidi.
Panggang sotong hingga masak.
Untuk sosnya, kisar halus bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai cili merah, lengkuas.
Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik minyak dan naik bau.
Masukkan asam gelugor, gula Melaka dan santan.
Masak hingga sos pekat dan perasakan dengan garam.
Curah sos pekat atas sotong panggang. Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Sotong Sumbat Pulut ini enak dihidangkana panas-panas.
……
Saiz hidangan: 5 orang.
Masa Memasak: 30 minit.
Cara Memasak: Kukus, bakar dan tumis.
Jenis Masakan: Lauk pauk
Keistimewaan: Rasa manis-manis lemak dan sotong yang segar.
Anggaran kos RM30
GULAI KETAM BERSAMA NANAS
BAHAN-BAHAN:
4-5 ekor ketam potong dua
1/2 biji nanas | hiris ikut suka
1 paket kecil rempah kari ikan
1 tangkai daun kari | lurut dari tangkai
500ml santan pekat
Sedikit air panas
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
BAHAN KISAR:
2 sudu teh jintan manis
1/2 inci halia
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
BAHAN HIRIS:
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Cara memasak:
Siapkan pes kari dengan mencampurkan rempah kari dengan sedikit air panas dalam mangkuk.
Kemudian masukkan bahan kisar, kacau rata, ketepikan pes.
Panaskan minyak, tumiskan hirisan bersama daun kari hingga wangi.
Masukkan pes rempah tadi. Tambah sedikit air.
Masak rempah sehingga timbul minyak, masukkan ketam yang telah dipotong dua dan sudah dibersihkan.
Kacau sebentar, masukkan santan. Jika pekat, tambah sedikit air. Masak seketika.
Kemudian masukkan nanas yang dihiris tadi.
Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa.
Biarkan mendidih seketika. Tutup api dan sedia dinikmati.
INFO CHEF: Elakkan dari memasak terlalu lama kerana akan hilang rasa manis ketam.
…….
Saiz hidangan: 5 orang.
Masa Memasak: 20 minit.
Cara Memasak: Tumis dan reneh.
Jenis Masakan: Lauk pauk (ketam).
Keistimewaan: Gabungan manis ketam dan nanas menjadikan gulai sungguh enak.
Anggaran kos RM30
SAMBAL TUMIS UDANG DENGAN PETAI
BAHAN-BAHAN:
10 ekor udang kuning
1/2 cawan biji petai yang telah dikupas
1 biji bawang besar | hiris
3 biji bawang merah | kisar
4 ulas bawang putih | kisar
2-3 sudu makan cili | kisar
Garam dan gula secukupnya
Sedikit air asam Jawa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dan goreng udang seketika. Angkat dan ketepikan.
Tumis bawang merah, bawang putih, cili kisar sehingga garing dengan menggunakan api perlahan.
Masukkan gula terlebih dahulu. Ianya akan menjadikan sambal berwarna merah cantik.
Kacau rata, barulah dimasukkan petai, air asam Jawa, hirisan bawang besar dan garam.
Akhir sekali masukkan udang yang telah digoreng dan kacau rata.
Sesuaikan rasa dan tutup api.
Sedia untuk dihidangkan.
INFO CHEF: Lebih sedap jika anda menggunakan petai segar .
…….
Saiz hidangan: 8 orang.
Masa Memasak: 30 minit.
Cara Memasak: Goreng dan tumis.
Jenis Masakan: Sambal (udang).
Keistimewaan: Enak, pedas dan terasa manis udangnya.
Anggaran kos RM20
TEKS: NURUL AZWA ABU BAKAR
FOTO: JAZLAN NANGAR
RESIPI: CHEF RATHAKRISHNAN A/L KARNAYA, MALAY BANQUET CHEF
Nak tahu ayam segar atau tidak? Rahsianya ada pada warna buntut ayam! Ketahui cara mudah bezakan ayam segar, ayam tak halal, dan ayam bangkai sebelum beli di pasar.