Resipi Ayam Masak Taucu Paling Simple & Sedap, Kuah Masin Masam Pedas Buka Selera

Share

Resipi ayam masak taucu ini boleh jadi hidangan kalau dah bosan dengan lauk gulai ayam, ayam masak kicap, kari ayam dan sebagainya.

Walaupun taucu tak perlu letak banyak sebab mudah masin, tapi dengan sukatan yang betul, lauk ini jadi sangat sedap dan beraroma.

Taucu atau pes kacang soya diperam ini memang terkenal dalam masakan Cina, tapi bila digabung dengan bahan tumisan Melayu seperti cili kering, bawang dan serai, rasanya jadi cukup seimbang ada masin, pedas, masam dan manis semula jadi dari bawang. Memang sesuai sangat untuk makan dengan nasi putih panas.

Resipi Ayam Masak Taucu

Bahan-bahan

1 ekor ayam – dipotong sederhana & digoreng sekejap
3 labu bawang besar (sederhana)
5–6 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering – rendam & buang biji
1 inci halia
1–2 sudu kecil asam jawa – ambil airnya
60g taucu (apa-apa jenama, contoh Opah Nur)
2 batang serai – diketuk
1 biji bawang besar – potong bulat untuk hiasan
Cili merah – hiris serong
Daun sup & daun bawang secukupnya

Cara Penyediaan

1. Kisar bawang besar, bawang putih, cili kering dan halia sehingga halus.

2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar bersama taucu sehingga pecah minyak dan harum.

3. Masukkan air asam jawa dan serai yang diketuk. Tambah sedikit air jika mahu kuah lebih.

4. Bila kuah mendidih, masukkan ayam yang sudah digoreng. Gaul rata dan biarkan masak hingga ayam sebati dengan kuah.

5. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, cili merah, daun sup dan daun bawang. Siap untuk dihidang bersama nasi panas.

Tip

  • Jangan letak taucu terlalu banyak kerana ia masin semula jadi. Mulakan dengan sedikit, rasa dan tambah jika perlu.
  • Ayam elok digoreng sekejap dulu untuk pastikan ia lebih sedap dan tidak hanyir bila masuk ke dalam kuah taucu.
  • Kalau suka kuah pekat, biarkan ia mereneh lebih lama di atas api kecil.

Kredit Resipi & foto : Aida Akashahfitri

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose