Resipi Ayam Masak Merah Ala Kenduri.

Share

Menu Ayam Masak Merah macam yang kita selalu makan di majlis kenduri kahwin tu nampak sedap kan? Jangan lupa cuba resipi perkongsian Cikgu Afy Al Habibi ni ya. Sesuai sangat nikmati dengan aneka nasi tumis. 

 

AYAM MASAK MERAH  KENDURI

BAHAN A:

  • Ayam – dipotong
  • 1 batang serai – kisar
  • 1 hiris halia – kisar
  • 1 ulas bawang putih – kisar
  • 3/4 sudu makan serbuk kunyit
  • 1 sudu teh perencah Hilal
  • 1/2 sudu teh garam
  • Sedikit air

 

BAHAN B ( KISAR):

  • 1 biji bawang merah – saiz bola pingpong
  • 1/2 biji bawang holland
  • 1 ulas bawang putih

 

BAHAN C:

  • 2 biji cili merah – kisar
  • 1 1/2 sudip cili kisar
  • 3/4 sudu makan gula melaka hancur
  • 1 1/2 sudu makan gula
  • 3/4 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh perasa
  • Air asam jawa ( 1/2 gelas air + secubit kecil asam jawa)
  • 1/4 cawan air
  • 3/4 sudip sos cili

 

BAHAN D:

  • 1 biji bawang holland | dihiris dan digoreng seketika

 

CARA MEMASAK:

1. Satukan bahan A dalam periuk dan rebus sehingga ayam masak. (Ia ikut cara masak stail kenduri. Ayam direbus dahulu. Barulah isinya tidak keras.)

2. Setelah direbus, goreng ayam seketika menggunakan minyak panas. (Jangan goreng terlalu garing kerana nanti isinya akan keras.) Angkat dan ketepikan.

3. Dengan menggunakan minyak gorengan yang sama, tumis bahan B hingga naik bau.

4. Kemudian masukkan cili merah kisar.

5. Diikuti dengan cili kisar. Tutup seketika kuali dengan tutup periuk dan tumis lagi sehingga pecah minyak.

6. Perasakan dengan gula melaka, gula, garam dan perasa. Boleh ubah suai jumlah ikut citarasa anda. Tutup lagi kuali bagi menaikkan warna sambal. Masak guna api perlahan sahaja.

7. Seterusnya masukkan air asam jawa dan air. Jumlah air bergantung pada kepekatan kuah yang anda nak. Tutup kuali sekali lagi.

8. Masukkan sos cili. Kacau rata.

9. Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Balik-balikkan dan biar selama 3-4 minit supaya kuah meresap pada isi ayam.

10. Akhir sekali tabur hirisan bawang holland yang telah digoreng seketika. Kacau rata.

11. Siap untuk dihidangkan.

Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi

 

IKLAN