Makanan

Resipi Ayam Bakar Ala Dominos Paling Sedap, Jimat Berbaloi Buat Makan Keluarga

Share

Resipi Ayam Bakar Ala Dominos menjadi antara pilihan ramai kerana rasanya yang manis, berempah, isi ayam kekal ‘juicy’ serta kulit yang sedikit garing apabila dibakar. Jika pernah menikmati ayam bakar di Restoran Pizza Dominos, pasti tahu mengapa menu ini menjadi kegemaran ramai, terutama kanak-kanak dan seisi keluarga.

Berbanding membeli di restoran, menyediakan sendiri ayam bakar di rumah ternyata lebih menjimatkan, lebih berbaloi dan boleh disediakan dalam kuantiti yang lebih banyak. Malah,  boleh mengubah tahap kemanisan atau kepedasan mengikut cita rasa sendiri.

Resipi Ayam Bakar Ala Dominos

Perkongsian resipi daripada Ekin Ramli

ini pernah mendapat sambutan yang sangat baik kerana hasilnya hampir menyamai rasa ayam bakar kegemaran ramai.

“Ekin dah pernah share sebelum ni, ramai sangat yang suka. Jadi kita share lagi sekali. Selamat mencuba ye.”

Bahan-Bahan:

4 ulas bawang putih – ditumbuk
1 sudu lada hitam – ditumbuk
2 sudu sos tiram
2 sudu sos tomato
2 sudu madu
1 sudu gula
1 sudu sos cili
2 sudu butter
1 sudu kecil garam/perasa
15 ketul ayam bahagian drummet
Sedikit kicap (kalau nak warna lebih gelap)

Ayam Bakar Ala Dominos

Cara Membuat Ayam Bakar:

  1. Panaskan sebuah kuali dan masukkan semua bahan perapan. Masak seketika sehingga bertukar warna serta mula pecah minyak.
  2. Masukkan ayam ke dalam kuali dan masak menggunakan api perlahan selama kira-kira 30 minit supaya kuah perapan benar-benar meresap ke dalam isi ayam.
  3. Selepas itu, pindahkan ayam ke dalam bekas kaca tahan haba dan bakar menggunakan oven pada suhu 180°C selama lebih kurang 20 minit.
  4. Jika tidak mempunyai oven, teruskan memasak menggunakan kuali sehingga ayam masak sepenuhnya dan kuah menjadi pekat. Hasilnya tetap sedap.
  5. Boleh juga menggunakan air fryer. Sebaiknya perapkan ayam terlebih dahulu supaya perapan lebih sebati sebelum dimasak.
Ayam Bakar Ala Dominos

Tip Supaya Ayam Bakar Ala Dominos Lebih ‘Juicy’

  • Gunakan ayam segar bagi mendapatkan tekstur yang lebih lembut.
  • Perap ayam sekurang-kurangnya 2 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih meresap.
  • Sapukan baki kuah perapan ketika proses membakar bagi memastikan ayam kekal lembap.
  • Jangan membakar terlalu lama supaya isi ayam tidak menjadi kering.

Kenapa Ramai Suka Resipi Ayam Bakar Ala Dominos Ini?

Gabungan madu, sos tiram, sos tomato dan lada hitam menghasilkan rasa manis, sedikit berempah dan aroma yang sangat menyelerakan. Resipi ini juga sesuai disediakan ketika makan malam bersama keluarga, majlis kecil, jamuan atau BBQ di rumah.

Selain lebih menjimatkan kos berbanding membeli di restoran, kuantiti ayam juga boleh disediakan mengikut keperluan. Hasilnya tetap sedap, mudah dibuat dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Selamat mencuba Ayam Bakar Ala Dominos ini di rumah. Semoga menjadi antara resipi kegemaran keluarga anda.

Sumber: Ekin Ramli

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: 

Published by
Suhaidah Abd Wahab