Bila sebut sahaja kari, pasti ramai yang terbayang aroma harum rempah ratus, kuah pekat berempah dan rasa yang membangkitkan selera. Kari bukan sekadar hidangan, ia adalah warisan budaya yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau usia.
Tahun ini, sempena Festival Budaya Malaysia 2025 anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan RASA tampil menganjurkan sebuah acara yang cukup luar biasa iaitu RASA Layan Curry Fiesta 2025, sebuah pesta penuh warna-warni yang bakal mencatat sejarah sebagai himpunan kari paling meriah di negara ini.
Bertempat di Laman Cita Rasa Warisan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur (Laman 5), fiesta ini berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 September 2025, dari jam 9 pagi hingga 11 malam.
Sepanjang tempoh ini, pengunjung bakal dihidangkan dengan pelbagai pengalaman kulinari yang bukan sahaja memikat selera, tetapi juga menyatukan jiwa rakyat Malaysia di bawah panji 1001 rasa.
Lebih istimewa, YAB Perdana Menteri Malaysia (PMX) akan hadir bagi merasmikan Festival Budaya Malaysia ini pada 13 September 2025, jam 8.30 malam. Kehadiran beliau sebagai simbol sokongan kepada warisan kulinari negara pasti menambah seri dan memberi makna besar kepada acara berskala nasional ini.
Kemuncak acara yang paling dinantikan ialah Kenduri Kari Malaysia 68 yang ditaja oleh TUMIX® pada 13 September 2025. Bayangkan suasana kenduri paling besar yang bakal menyajikan lebih 2,000 pax kari percuma untuk orang ramai. Lebih menarik lagi, sebahagian daripada sajian kari merupakan kari warisan kebangsaan yang telah digazetkan pihak Jabatan Warisan Negara. Sejumlah lebih 12 jenis makanan berasaskan kari dihidangkan percuma nanti. Sesi demo memasak Kari Daging Umbut Pisang turut diadakan pada jam 12 tengah hari.
Sajian ini disediakan oleh gabungan hotel dan katerer ternama seperti Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia, Hotel TAMU KL, Shah Alam Convention Centre (SACC), Zai Sri Gemilang Catering Shah Alam dan beberapa penyedia makanan lain.
Aroma kari yang pekat berempah, dimasak dengan penuh kasih sayang oleh chef berpengalaman, pasti membuatkan setiap suapan membawa rasa syukur dan kebersamaan.
Fiesta ini turut diteruskan dengan Kenduri Makan Roti Jala Jelita Jalur Gemilang
pada 14 September 2025. Sebanyak 2000 keping roti jala dan roti jala jelita elemen Jalur Gemilang akan diagihkan secara percuma, bukan sahaja untuk dimakan tetapi juga untuk dinikmati keindahan seni kreatif rakyat Malaysia yang menjala dengan penuh warna-warni sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.Lebih menarik, rakyat turut berpeluang menunjukkan bakat dalam Pertandingan Roti Jala Jelita Jalur Gemilang Gala pada hari yang sama. Pertandingan ini menuntut kreativiti dalam menghasilkan roti jala jelita paling unik dengan corak patriotik, dan pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM800.
Bagi pencinta roti canai pula, jangan lepaskan peluang menyaksikan kehebatan tangan-tangan cekap dalam Pertandingan Roti Canai Melayang tajaan Seri Pelangi pada 15 September 2025. Acara ini dijangka menjadi antara yang paling riuh dengan aksi roti canai berterbangan ke udara, termasuk penampilan khas Amir Hamzah, Super Roti Man Malaysia dan adik Amsyar, juara roti canai tertinggi kategori kanak-kanak.
Fiesta ini mencapai kemuncaknya pada 16 September 2025 dengan Pertandingan Teh Tarik King & Queen tajaan OKI. Inilah masanya untuk menyaksikan aksi paling kreatif dan paling meriah dalam dunia teh tarik. Gaya tuangan, ketinggian tarikan dan buih paling gebu akan menentukan siapa yang bakal dinobatkan Raja dan Ratu Teh Tarik tahun ini, dengan hadiah wang tunai menanti pemenang.
Selain dapat menyertai semua aktiviti yang dianjurkan, pengunjung juga berpeluang menikmati makanan jualan para pengusaha makanan berasaskan kari.
Keseluruhan fiesta ini bukan sekadar pesta makanan. Ia adalah cerminan kepada budaya dan identiti Malaysia. Lebih daripada seribu jenis sajian kari warisan dan fusion bakal diketengahkan, menjadikan acara ini platform terbaik untuk mengangkat martabat kari sebagai warisan kebangsaan yang menyatukan hati rakyat.
RASA Layan Curry Fiesta 2025 adalah bukti bahawa makanan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat berbilang bangsa. Dari semangkuk kari ke secawan teh tarik, setiap suapan membawa erti kebersamaan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Tandakan tarikh anda, ajak keluarga dan rakan-rakan, dan mari kita bersama-sama meriahkan pesta kari terbesar Malaysia!