Resipi Rahsia Ayam Tandoori Lembut & Sedap Sama Macam Yang Jual Dekat Kedai Mamak

Share

Sebut sahaja ayam tandoori, terbayang keenakan hidangan ini. Nyum!!! Andai ke kedai mamak untuk makan roti nan, hidangan ayam ini pastinya menjadi pilihan untuk digandingkan bersama. Memang sedap lebih-lebih lagi jika dimakan panas-panas. Kena pula dengan hirisan bawang serta sedikit perahan limau nipis, perghhh..memang padu! Jom cuba resipi perkongsian Puan Tahrunnisah Jali. Bolehlah cuba buat sendiri di rumah secara homemade. Lebih bersih dan boleh makan puas-puas.

AYAM TANDOORI

BAHAN A:

  • 4 keping paha ayam ( whole leg) | basuh, buang kulit & kelar kasar
  • 2 sudu makan minyak masak

BAHAN B:

  • 1 sudu teh serbuk cili
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1 sudu makan jus limau nipis atau lemon

BAHAN C:

  • 6 sudu teh yogurt asli ( pekat)
  • 2 sudu teh campuran pes halia bawang putih | 5 ulas bawang putih dan 3cm halia yang dikisar lumat.
  • 2 sudu teh serbuk cili
  • 1/2 sudu teh garam masala
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1/4 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh pewarna merah

 

CARA MEMASAK:

  1. Satukan bahan B hingga sebati dan lumurkan pada ayam. Pastikan sapu rata pada kelaran dan isi ayam keseluruhan. Perap seketika.

2. Dalam bekas berlainan, campur semua bahan C. Pastikan campuran pekat sedikit dan jangan tambah air.

3. Lumur campuran bahan C pada ayam. Masukkan 2 sudu makan minyak masak. Perap semalaman ataupun paling kurang 4 jam sebelum dibakar.

 

Untuk membakar Ayam Tandoori, biasanya di kedai, ia akan dibakar di dalam tandoor ( dapur khas untuk membakar yang menyerupai tempayan besar). Jika tiada, boleh gunakan ketuhar. Caranya ialah:

  1. Susun hirisan lobak merah atau saderi di permukaan dulang pembakar. Ia bertujuan ayam yang dibakar nanti tidak melekat pada dulang dan membina ruang diantara dulang dan isi ayam kerana ayamakan mengeluarkan air yang banyak sewaktu dibakar.
  2. Bakar ayam tandoori tadi pada suhu 230C selama 25-30 minit.
  3. Semasa membakar, selepas 20 minit pertama, periksa ketulan ayam dan sapukan sedikit minyak di permukaannya. Masa memasak mungkin berbeza bergantung kepada saiz ayam yang digunakan juga jenis ketuhar.
  4. Sekiranya ada pemanggang, setelah ayam masak bolehlah dipanggang seketika bagi mendapatkan kesan terbakar / hangus pada permukaan isi ayam tandoori.
  5. Angkat, sedia untuk dinikmati mengikut citarasa masing-masing.

 

Info: Selain dinikmati bersama roti naan, ayam ini juga sesuai dihidangkan bersama nasi. Untuk memudahkan proses memasak, anda juga boleh hasilkan perapan lebih awal.

Kredit  resipi & foto: Puan Tahrunnisah Jali

IKLAN