
Kalau sebut tentang pencuci mulut yang cantik dan menyegarkan, Puding Tembikai memang layak tersenarai antara puding yang paling menarik perhatian. Dengan rupa paras seakan-akan buah tembikai sebenar, puding ini bukan sahaja sedap dimakan tetapi juga menceriakan meja hidangan. Rasanya yang manis-manis lembut, ditambah dengan tekstur agar-agar yang sejuk, menjadikan ia pilihan terbaik untuk dinikmati pada bila-bila masa, terutamanya di cuaca panas.
Pencuci mulut ini bukan resipi baru tetapi setiap kali ia tular di media sosial, ramai yang tetap teruja untuk mencuba. Keunikannya terletak pada gabungan warna dan lapisan yang menyerupai buah tembikai sebenar: merah di bahagian atas, putih di tengah dan hijau di bawah. Warna-warna ini bukan sahaja menaikkan selera, malah memberi ilusi seperti kita sedang menikmati potongan tembikai segar.
Bukan setakat cantik, hidangan ini juga menggunakan bahan yang mudah didapati di dapur. Tiada bahan pelik atau mahal. Hanya agar-agar, gula, sirap rose, susu pekat manis dan pewarna hijau. Untuk menambah tekstur menarik, biji selasih turut dimasukkan sebagai ganti kepada biji tembikai, menjadikan setiap suapan lebih seronok dan ‘real’.
Untuk menghasilkan satu adunan puding berlapis ini, berikut bahan-bahan asas yang perlu disediakan:
Kombinasi gula pasir dan gula batu memberikan rasa manis yang lebih lembut dan ‘berlapis’. Gula batu juga membantu puding menjadi lebih jernih dan berkilat apabila mengeras, hasil akhir yang sering dicari oleh pencinta pencuci mulut.
Untuk mendapatkan hasil yang cantik dan kemas, kunci utama ialah kesabaran semasa menuang setiap lapisan. Pastikan lapisan pertama mengeras sebelum menambah yang seterusnya. Jika terlalu panas, lapisan baru akan ‘tembus’ dan mencacatkan corak.
Selain itu, boleh gunakan acuan lutsinar supaya warna puding lebih menyerlah. Bagi yang mahu sentuhan moden, boleh juga tuang dalam cawan kecil atau acuan mini supaya lebih mudah dihidangkan semasa jamuan atau majlis keluarga.
Hidangan sejuk berwarna-warni ini sesuai dijadikan pencuci mulut untuk pelbagai acara sama ada majlis hari jadi, jamuan rumah terbuka, kenduri atau potluck di pejabat. Ia mudah disediakan dalam kuantiti besar, tidak mudah cair dan boleh disimpan dalam peti sejuk untuk beberapa hari.
Menariknya, resipi ini juga boleh diolah mengikut cita rasa masing-masing. Jika ingin rasa lebih berkrim, tambahkan sedikit susu cair. Jika suka rasa berbuah, boleh juga campurkan potongan tembikai sebenar di dalam lapisan merah.
Puding Tembikai bukan sekadar pencuci mulut, tetapi satu karya seni manis yang menggabungkan warna, rasa dan kreativiti. Ia membuktikan bahawa masakan tidak semestinya rumit untuk nampak cantik. Cukup dengan bahan asas dan sedikit sentuhan imaginasi, hasilnya mampu mencuri hati sesiapa sahaja yang melihat.
Sejuk, lembut, dan manis di hujung lidah. Inilah pencuci mulut yang buat tetamu tersenyum puas. Jadi kalau esok hujung minggu dan cuaca panas, cubalah buat Puding Tembikai ini di rumah. Pasti ramai yang akan kagum dan minta resepi!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official: