
Kalau selalu ‘scroll’ media sosial, mesti pernah nampak semangkuk poke bowl yang penuh dengan salmon, avokado, timun, edamame, rumpai laut dan macam-macam lagi bahan berwarna-warni. Nampak segar, cantik dan memang buat terus rasa teringin nak cuba.
Hidangan ini semakin popular kerana bukan sahaja sedap, malah mudah diubah suai mengikut selera sendiri.
Walaupun tampilannya nampak moden dan sering dikaitkan dengan makanan sihat, sebenarnya poke bukanlah hidangan baharu. Ia berasal dari Hawaii dan pada asalnya disediakan dengan cara yang cukup ringkas.
Perkataan poke merujuk kepada ikan atau bahan yang dipotong menjadi ketulan kecil.
Secara tradisional, masyarakat Hawaii menyediakan poke menggunakan ikan segar seperti tuna yang dipotong dadu sebelum digaul bersama garam laut, rumpai laut dan bahan perasa.
Apabila hidangan ini semakin berkembang, pengaruh masakan Jepun dan Asia mula dimasukkan. Sebab itulah versi moden hari ini banyak menggunakan bahan seperti kicap, minyak bijan, salmon, rumpai laut, edamame dan sos berasaskan mayones.
Daripada hidangan ikan yang ringkas, poke kini berkembang menjadi sajian lengkap dalam satu mangkuk.
Salah satu sebab hidangan ini menarik ialah kita boleh memilih sendiri bahan yang mahu digunakan.
Kebiasaannya, nasi dijadikan asas. Nasi putih dan nasi sushi antara pilihan popular. Ada juga yang menggunakan nasi perang, quinoa atau salad untuk versi yang lebih ringan.
Selepas itu, tambahkan sumber protein.
Salmon dan tuna memang cukup sinonim dengan poke bowl, tetapi hidangan ini tidak semestinya menggunakan ikan mentah. Boleh juga gunakan salmon bakar, ayam panggang, udang, tauhu atau telur.
Kemudian barulah ditambah sayur serta bahan sampingan seperti timun, lobak merah, avokado, edamame, jagung, tomato, bawang dan rumpai laut.
Tak lengkap tanpa sos. Antara yang sering digunakan ialah sos bijan, kicap, mayones pedas, sriracha atau sos miso.
Akhir sekali, taburkan biji bijan, daun bawang atau rumpai laut kering untuk menambah rasa dan tekstur.
Antara kelebihan hidangan ini ialah ia mudah disesuaikan mengikut citarasa.
Kalau suka pedas, tambahkan mayones pedas atau sriracha. Mahu rasa lebih segar? Lebihkan timun, avokado dan sayur-sayuran. Kalau nak lebih mengenyangkan pula, boleh tambah nasi atau protein.
Satu lagi tarikannya ialah gabungan teksturnya.
Dalam satu suapan, boleh dapat nasi yang lembut, salmon yang berlemak, avokado berkrim, timun rangup, edamame serta sos yang sedikit pedas dan masin.
Sebab itulah walaupun hanya dihidangkan dalam satu mangkuk, rasanya tetap lengkap dan tidak membosankan.
Sekali pandang memang nampak hampir sama kerana kedua-duanya menggunakan bahan seperti nasi, ikan, rumpai laut dan bijan.
Namun, poke bowl dan sushi sebenarnya berbeza.
Sushi berasal dari Jepun dan biasanya menggunakan nasi yang telah dibumbui sebelum dipadankan dengan ikan atau makanan laut dalam bentuk seperti nigiri atau maki.
Poke pula berasal dari Hawaii dan pada asalnya menampilkan ikan yang dipotong kecil sebelum digaul bersama bahan perasa.
Versi moden poke menerima banyak pengaruh Jepun, sebab itu bahan yang digunakan hari ini nampak agak serupa dengan sushi.
Kalau kurang gemar ikan mentah, jangan risau. Hidangan ini sangat fleksibel.
Salmon boleh diperap dengan garam, lada hitam, serbuk bawang putih dan sedikit sos sebelum dimasak menggunakan penggoreng udara.
Boleh juga gunakan ayam panggang, udang masak, tauhu goreng atau telur sebagai pengganti.
Kemudian susun bersama nasi, timun, avokado, edamame dan sayur kegemaran. Curahkan sedikit sos dan taburkan biji bijan.
Dah siap satu hidangan yang ringkas tetapi tetap nampak cukup ‘meriah’.
Menariknya, tak ada satu cara wajib untuk menyediakan hidangan ini.
Ia boleh dibuat lebih pedas, lebih berkrim, lebih banyak sayur atau lebih mengenyangkan bergantung kepada apa yang ada di dapur.
Malah, hidangan ini juga sesuai dijadikan cara kreatif untuk menggunakan lebihan nasi, sayur atau ayam panggang.
Kalau selama ini hanya tengok poke bowl di kafe atau media sosial, bolehlah cuba buat sendiri di rumah. Asalkan ada nasi, sumber protein, sayur dan sos kegemaran, dah boleh hasilkan satu mangkuk poke yang sedap, cantik dan mengenyangkan.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: