Gaya Hidup

Perisa Aiskrim Kegemaran Dedahkan Personaliti Diri, Ini Fakta Menarik Berdasarkan Kajian Psikologi

Share

Perisa Aiskrim Kegemaran Dedahkan Personaliti Diri, Ini Fakta Menarik Berdasarkan Kajian Psikologi. Ramai menganggap perisa aiskrim ia sekadar soal cita rasa. Namun, beberapa kajian psikologi mendedahkan bahawa perisa aiskrim kegemaran mungkin mempunyai kaitan dengan personaliti seseorang.

Antara kajian yang sering dirujuk ialah oleh Dr. Alan Hirsch, Pakar Neurologi dan Pengasas Smell & Taste Treatment and Research Foundation di Chicago. Beliau mendapati terdapat corak tertentu antara perisa aiskrim kegemaran dengan sifat, emosi serta cara seseorang berinteraksi dengan orang lain.

Walaupun ia bukanlah ujian personaliti yang muktamad, hasil kajian ini cukup menarik untuk dijadikan panduan santai. Namun begitu, pakar turut menegaskan bahawa personaliti seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti genetik, pengalaman hidup, persekitaran dan didikan.

Perisa Aiskrim Kegemaran

Perisa Aiskrim Kegemaran & Personaliti Diri

1. Vanila (Si Klasik Yang Berani)

Ramai menyangka vanila ialah pilihan yang biasa-biasa sahaja. Hakikatnya, peminat vanila sering mempunyai personaliti yang lebih berani daripada yang disangka.

Mereka biasanya bersifat impulsif, idealis dan tidak takut mengambil risiko. Dalam membuat keputusan, mereka lebih cenderung mengikut gerak hati berbanding logik semata-mata.

Dalam hubungan pula, mereka seorang yang penyayang, ekspresif dan menghargai kestabilan.

2. Coklat (Si Kreatif Yang Menawan)

Tidak hairanlah coklat menjadi antara perisa paling popular di seluruh dunia. Peminat coklat biasanya seorang yang ceria, kreatif, mudah mesra dan mempunyai aura yang membuatkan orang lain selesa berada di sisi mereka. Mereka juga gemar menjadi perhatian dan tidak kekok berada dalam suasana sosial.

Namun begitu, mereka juga boleh menjadi agak mudah percaya kepada orang lain dan kadangkala sedikit naif.

3. Strawberi (Si Tenang Yang Setia)

Jika anda memilih strawberi, anda mungkin seorang yang lebih suka ketenangan berbanding suasana yang terlalu meriah. Golongan ini biasanya bersifat introvert, penyabar dan bertoleransi. Mereka terkenal dengan kesetiaan, rajin bekerja dan tidak mudah menghakimi orang lain.

Daripada mempunyai ramai kenalan, mereka lebih menghargai hubungan yang rapat dengan beberapa orang sahabat baik.

4. Mint Chocolate Chip (Si Pendebat Berkeyakinan)

Gabungan rasa pudina yang segar dengan coklat menghasilkan personaliti yang unik. Peminat perisa ini biasanya mempunyai keyakinan diri yang tinggi, bercita-cita besar dan tidak gentar mempertahankan pendapat sendiri.

Mereka gemar berbincang dan berhujah secara matang apabila berdepan sesuatu isu.Mereka juga seorang yang realistik serta gemar merancang masa depan dengan teliti.

5. Kopi (Si Spontan Yang Sukakan Cabaran)

Jika aiskrim kopi menjadi pilihan anda, besar kemungkinan anda seorang yang bertenaga dan tidak gemar kehidupan yang terlalu rutin. Golongan ini suka mencuba pengalaman baharu, mudah teruja dengan idea menarik dan sentiasa mencari cabaran.

Namun, kerana terlalu cepat tertarik kepada perkara baharu, mereka kadangkala sukar mengekalkan fokus sehingga sesuatu tugasan benar-benar selesai.

6. Double Chocolate Nuts (Si Pendengar Yang Hebat)

Walaupun namanya kedengaran lasak, peminat Double Chocolate Nuts sebenarnya terkenal dengan sifat yang mesra dan mudah didekati. Mereka sering menjadi tempat rakan-rakan meluahkan masalah kerana pandai mendengar dan memberi sokongan.

Dalam kerjaya pula, mereka sangat fokus mencapai matlamat, bekerja keras dan tahu mengimbangi kejayaan dengan hubungan baik bersama orang sekeliling.

Sebab Perisa Aiskrim Kegemaran Berkait Dengan Personaliti

Menurut kajian, hubungan ini mungkin berpunca daripada cara otak memproses rasa, emosi dan memori.

Bahagian seperti lobus temporal dan sistem limbik memainkan peranan penting dalam menghubungkan pengalaman, emosi serta kenangan dengan sesuatu rasa. Sebab itulah makanan tertentu, termasuk aiskrim, boleh membangkitkan memori lama atau memberikan rasa selesa kepada seseorang.

Walau bagaimanapun, penyelidik menegaskan bahawa hubungan antara pilihan makanan dan personaliti masih memerlukan lebih banyak bukti saintifik. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk menentukan sifat atau karakter seseorang.

Sebaliknya, dapatan seperti ini lebih sesuai dilihat sebagai satu pemerhatian psikologi yang menarik dan boleh dijadikan bahan perbualan santai.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: 

Published by
Suhaidah Abd Wahab