Ramai di antara kita masih memasak menggunakan gas di rumah. Biasanya, tong gas diletakkan di dalam kabinet dapur yang tertutup supaya dapur nampak kemas dan teratur. Namun, tahukah anda bahawa cara ini sebenarnya tidak disarankan untuk keselamatan?


Tempat letak tong gas memasak seharusnya mempunyai pengaliran udara yang baik dan tidak berada di dalam kabinet bertutup. Ini penting untuk mengelakkan risiko kebocoran gas dan kejadian buruk di rumah.
Cara Selamat Kendalikan Tong Gas Memasak


Berikut beberapa langkah penting yang perlu diikuti bagi memastikan penggunaan tong gas anda selamat di dapur:
- Pastikan jarak antara silinder gas dengan alat memasak ialah antara 1 hingga 1.5 meter. Alat memasak juga perlu diletakkan lebih tinggi daripada silinder gas.
- Jangan simpan silinder gas di tempat tertutup atau yang tidak mempunyai pengaliran udara, contohnya dalam kabinet bertutup.
- Jika terhidu bau pelik atau busuk daripada silinder gas, itu tanda kebocoran. Segera tutup semua punca api dan elakkan penggunaan peralatan elektrik.
- Gunakan air sabun untuk mengesan kebocoran gas. Jika muncul buih, bermakna ada kebocoran. Buka alat atur gas dan alihkan silinder ke tempat yang lebih terbuka serta mempunyai pengudaraan baik.
- Nyalakan api sebelum menghidupkan alat memasak untuk elakkan percikan gas berlebihan.
- Pastikan dapur mempunyai pengudaraan baik dan jangan tinggalkan masakan tanpa pengawasan.
- Tutup peralatan memasak dan injap gas apabila tidak digunakan.
Do’s dan Don’ts Tong Gas Memasak


Selain panduan di atas, berikut antara amalan yang perlu dan tidak perlu dilakukan ketika menggunakan tong gas di dapur:
Perkara yang Perlu Dibuat:
- Pastikan tong gas sentiasa dalam keadaan tegak dengan injap di atas.
- Buka pintu atau tingkap semasa memasak untuk memastikan pengudaraan yang baik.
- Pastikan kedudukan dapur memasak lebih tinggi daripada tong gas.
- Sebelum memasang kepala gas, pastikan terdapat gelung getah pada injap tong gas.
- Matikan kepala gas apabila meninggalkan rumah untuk jangka masa panjang.
Perkara yang Tidak Boleh Dibuat:
- Jangan baringkan tong gas memasak.
- Jangan letakkan kuali atau benda panas di atas tong gas.
- Jauhkan langsir atau bahan mudah terbakar daripada dapur memasak.
- Jangan tinggalkan masakan tanpa pengawasan, terutamanya ketika api masih menyala.
Cara Mengesan Kebocoran Tong Gas Memasak


Kebocoran gas boleh mengundang bahaya besar jika tidak dikesan awal. Berikut cara mudah mengenal pasti kebocoran:
- Jika terhidu bau gas, segera periksa tong gas kerana itu tanda kebocoran.
- Serangga seperti lipas kadang-kadang tertarik pada bau gas dan berkumpul di kawasan yang bocor.
- Kadangkala anda akan mendengar bunyi berdesir — tanda jelas gas sedang keluar.
- Cara terbaik untuk mengesan kebocoran ialah dengan menyapu air sabun pada saluran atau sambungan gas. Jika terdapat buih, itu bermakna ada kebocoran.
Sentiasa amalkan langkah keselamatan ketika menggunakan tong gas memasak supaya dapur anda kekal selamat dan bebas risiko kebakaran atau letupan.
Sumber: hmetro.com.my
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: