
Nasi Goreng Cili Kering begini nampak sangat ringkas namun percayalah, ia adalah salah satu resipi nasi goreng orang dulu-dulu yang sangat sedap dan digemari ramai sehingga kini. Andai masak sekuali, pasti habis licin. Tidak perlu penambahan lauk pelbagai jenis. Cukup sekadar segenggam dua ikan bilis, sudah cukup membuka selera. Jom cuba resipi perkongsian saudari Har Ryea ni. Pasti puas hati.
Selain mudah disediakan, nasi goreng cili kering ini juga mempunyai aroma yang sangat wangi kerana campuran tumisan bawang serta ikan bilis tumbuk. Ia menjadikan hidangan ini sesuai untuk sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Resipi ini sememangnya tidak pernah lapuk dek zaman dan tetap menjadi pilihan di banyak rumah.
Nasi putih
6-8 tangkai lada kering @ cili kering (bergantung pada saiz)
1 biji bawang besar
2 biji bawang putih
Ikan bilis (segenggam kecik)
4 biji telur
Garam & ajinomoto
Minyak masak secukupnya
1. Cili kering direbus sekejap atau direndam dengan air panas untuk melembutkannya.
2. Ikan bilis dicuci dan direndam sekejap juga untuk melembutkannya.
3. Tumbuk cili kering, bawang besar, bawang putih dan ikan bilis. Pastikan bahan-bahan ini ditumbuk tidak terlalu hancur.
4. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan tumbuk tadi sampai wangi dan naik baunya atau dalam erti kata lain, tumis hingga garing.
5. Seterusnya masukkan garam dan ajinomoto dengan secukup rasa. Kacau rata.
6. Masukkan telur, kecilkan api sedikit. Bila telur sudah masak, pecah-pecahkan dan gaul rata dengan bahan-bahan tumis.
7. Masukkan nasi dan gaul rata. Masak sampai berwap.
8. Nasi goreng cili kering siap untuk dihidang dan dinikmati.
– Gunakan nasi sejuk atau nasi semalam untuk hasil yang lebih garing dan tidak lembik.
– Jika mahu rasa lebih pedas, tambah jumlah lada kering atau biarkan ia direndam lebih lama.
– Boleh tambah sedikit ikan bilis goreng rangup sebagai topping.
– Jika suka aroma lebih kuat, tambah sedikit bawang besar ketika menggoreng nasi.
Kredit resipi & foto: Har Ryea
Dengan bahan ringkas dan cara yang sangat mudah, tidak hairanlah nasi goreng lada kering ini menjadi kegemaran ramai. Ia bukan sahaja cepat dimasak, tetapi rasanya yang kuat, pedas dan wangi menjadikannya hidangan yang cukup membuka selera. Jika anda sedang mencari resipi ringkas tetapi puas hati, inilah salah satu yang wajib dicuba.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: