Makan

Nasi Daging Utara Simple Dengan Air Asam Kerisik Memang Padu & Wangi

Share

Suka makan Nasi Daging Utara bersama Air Asam Kerisik tapi tak tahu mana satu resipi yang benar-benar berbaloi untuk dicuba? Min cadangkan anda cuba resipi perkongsian saudari Norzy Yusuff ini. Resipinya cukup mudah dan min sendiri pernah mencubanya.

Hasil dan rasanya memang sangat memuaskan hati. Ahli keluarga suka, anak-anak pun ulang makan dan puji sedap. Memang berbunga hati dibuatnya apabila masakan habis licin di meja makan.

Gabungan nasi yang wangi bersama air asam kerisik bawang yang padu memang sangat membuka selera. Jom cuba sendiri di rumah.

Cara Masak Nasi Daging Utara Simple

Bahan-Bahan Nasi Daging

  • Daging – direbus hingga empuk dan ketepikan
  • 3 pot beras basmathi – rendam selama 30 minit

Bahan Tumisan

  • 2 sudu minyak sapi + 2 sudu minyak masak
  • 2 biji bawang besar – mayang halus
  • 6 ulas bawang putih – mayang halus
  • 3 inci halia – mayang halus
  • Rempah 4 sekawan – kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga
  • 2 sudu rempah kurma
  • 2 helai daun pandan
  • 2 biji tomato
  • ¾ tin susu cair
  • ¾ sudu penuh garam
  • Sedikit Cukup Rasa
  • Air rebusan daging
  • Daun ketumbar

Cara Memasak Nasi Daging Utara

1. Tumis Bahan Aromatik

Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.

Tumiskan rempah 4 sekawan bersama bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dimayang halus. Tumis sehingga garing dan naik bau.

Apabila bahan tumisan sudah kekuningan, masukkan daun pandan dan rempah kurma. Kacau sehingga rempah sebati dan harum.

2. Masukkan Air Rebusan Daging

Masukkan air rebusan daging sebanyak 4 ½ cawan menggunakan pot yang sama seperti sukatan beras.

Tambahkan susu cair dan biarkan kuah mendidih seketika supaya semua rasa sebati.

Kemudian masukkan garam, sedikit Cukup Rasa dan tomato.

3. Masak Nasi

Toskan beras basmathi yang telah direndam tadi dan masukkan ke dalam periuk nasi.

Tuangkan bahan tumisan bersama kuah ke atas beras. Masukkan juga daging yang telah direbus empuk.

Masak seperti biasa sehingga nasi benar-benar masak.

Apabila nasi sudah masak, barulah dimasukkan daun ketumbar supaya aroma Nasi Daging Utara lebih wangi dan menyelerakan.

4. Petua Nasi Lebih Gebu

Jangan kacau nasi ketika sedang masak kerana ia boleh menyebabkan beras patah dan tekstur nasi menjadi lembik.

Jika suka nasi yang lebih berderai, kurangkan setengah cawan air rebusan daging semasa memasak.

Cara Buat Air Asam Kerisik Bawang

Bahan-Bahan

  • 2 biji bawang besar
  • 2 biji tomato
  • 10 tangkai cili api
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 3 sudu kerisik
  • Belacan bakar
  • Garam
  • Gula
  • Cukup Rasa

Cara Memasak

Campurkan kesemua bahan di atas dan gaul sebati.

Air Asam Kerisik Bawang ini memang sangat sesuai dimakan bersama Nasi Daging Utara kerana rasa masam, pedas dan lemak kerisik menjadikan hidangan lebih lengkap.

Petua Nasi Daging Utara Lebih Sedap

  • Gunakan beras basmathi berkualiti untuk hasil nasi lebih gebu.
  • Air rebusan daging membantu menaikkan rasa nasi dengan lebih semula jadi.
  • Minyak sapi memberi aroma yang lebih wangi dan menyelerakan.
  • Daun ketumbar dimasukkan selepas nasi masak supaya aromanya kekal segar.
  • Air asam kerisik lebih sedap jika menggunakan belacan bakar berkualiti.

Memang puas hati bila dapat makan Nasi Daging Utara homemade begini bersama keluarga. Hidangan ini bukan sahaja mudah dibuat, malah rasanya juga cukup padu dan membuka selera.

Kredit resipi & foto: Norzy Yusuff 

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:    

Published by
Nur