Makan

Nak Daging Korban Tahan Lama? Ini Cara Simpan Yang Betul!

Share

Daging korban merupakan salah satu rezeki yang diagihkan semasa sambutan Aidiladha. Ia bukan sahaja ibadah, malah menjadi sumber makanan yang berkhasiat untuk keluarga dan jiran tetangga. Namun begitu, tanpa penyimpanan yang betul, daging boleh jadi cepat rosak dan membahayakan kesihatan. Oleh itu, amat penting untuk mengetahui cara serta tempoh penyimpanan yang selamat dan efektif agar daging kekal segar, bersih dan sesuai untuk dimasak kemudian hari.

1. Penyimpanan Pada Suhu Biasa (Suhu Bilik)

Daging korban yang tidak disimpan dalam peti sejuk hanya boleh bertahan selama 4 hingga 6 jam sahaja pada suhu bilik, bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap kebersihan. Selepas tempoh ini, risiko pertumbuhan bakteria meningkat dan daging tidak lagi selamat untuk dimakan.

2. Penyimpanan Dalam Peti Sejuk (Chiller)

Jika disimpan dalam peti sejuk pada suhu sekitar 0°C hingga 4°C, daging korban boleh bertahan selama 3 hingga 5 hari. Pastikan daging disimpan dalam bekas kedap udara atau dibungkus dengan kemas menggunakan plastik pembungkus makanan.

3. Penyimpanan Dalam Peti Sejuk Beku (Freezer)

Untuk penyimpanan jangka panjang, daging korban boleh dibekukan. Pada suhu -18°C atau lebih rendah, daging boleh tahan sehingga 6 bulan. Walau bagaimanapun, sebaiknya gunakan daging dalam tempoh 3 bulan pertama untuk mengekalkan kualiti dan rasa.

Tips Tambahan:

  • Labelkan tarikh pembungkusan pada setiap bekas atau bungkusan daging.
  • Elakkan bekukan semula daging yang telah dinyahbeku sepenuhnya.
  • Potong dan asingkan daging dalam bahagian kecil untuk memudahkan penggunaan dan penyimpanan.

Dengan mengetahui cara penyimpanan yang betul bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran, malah memastikan kesihatan keluarga terjamin. Pastikan anda mengamalkan kebersihan semasa memproses dan menyimpan daging korban agar ia kekal selamat dan berkhasiat.

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

 

Published by
Naqiyatul Uzma