Memasak adalah satu skill yang unik. Apatah lagi skill memasak kuih-muih tradisional yang memerlukan ketelitian dan kesabaran. Walau nampak mudah, tidak semua yang memasak kuih tradisional boleh berpuas hati dengan kualiti rupa dan rasanya.

Bagi CEO Fadeco Group Sdn Bhd merangkap Pengarah Rekaan (Design) di Fabello Interior, Fara Mustapa, minat memasak yang dimiliki membuatkan beliau kerap memasak terutama kuih tradisional.

“Saya suka buat kuih tradisional sebab saya rasa kuih Melayu ni sebenarnya sangat mudah cuma perlukan kesabaran dan teknik yang betul untuk dapatkan hasil kuih yang cantik. Selain karipap, kuih lain yang saya suka buat adalah kuih seri muka, kuih lapis, donat, kuih keria, kuih bingka pandan, apam nasi sejuk dan bingka ubi. Tapi kuih seri muka antara kuih yang saya sangat suka buat sebab mencabar. Berkali-kali saya buat try and error untuk dapatkan tekstur yang cantik dan sempurna serta rasa yang sedap,” katanya memulakan bicara.

Walaupun pada hari ini menyaksikan banyak resipi kuih tradisional yang dimodenkan, Fara mempunyai pendapatnya yang tersendiri. Misalnya kuih karipap yang diletakkan keju sebagai intinya.

“Pada pandangan saya, saya lebih suka mengekalkan rasa asli resipi tradisional itu sendiri tetapi boleh dimodenkan dari segi rupa bentuk ataupun warna. Jika rasa kuih itu telah dimodenkan, ianya tidak lagi menjadi kuih tradisional.

Jom kita lihat resipi karipap yang dikongsikan oleh Fara.

KARIPAP DAGING RANGUP

Miliki Hobi Suka Buat Kuih Tradisional, CEO Ini Kongsi Resipi Karipap Daging Yang Gerenti Wow!

BAHAN INTI KARIPAP
Minyak masak untuk menumis
1 tangkai daun kari
4 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar serbuk cili (tidak perlu jika tidak mahu pedas)
1 cawan daging (dipotong dadu/kisar)
1 cawan ubi kentang (dipotong dadu)
2 cawan ubi keledek oren (dipotong dadu)
Garam dan gula secukup rasa
2 tangkai daun sup dan daun bawang (dihiris)

IKLAN

BAHAN KISAR
3 sudu besar udang kering (rendam sekejap supaya lembut)
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUAT INTI KARIPAP
1. Panaskan minyak masak dalam kuali.
2. Tumis bahan kisar dan daun kari hingga naik bau.
3. Masukkan rempah kari dan serbuk cili yang telah dicampurkan dengan sedikit air (sehingga menjadi pes). Masak pes kari sekejap sehingga sedikit garing.
4. Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk.
5. Masukkan ubi kentang, ubi keledek dan air sedikit. Masak sehingga ubi kentang dan ubi keledek empuk.
6. Masukkan sedikit garam, gula, daun sup dan daun bawang. Kemudian masak sehingga kering.
7. Ketepikan dahulu dan sementara tunggu sejuk boleh sediakan doh untuk kulit karipap pula.

BAHAN KULIT KARIPAP
160 ml minyak jagung
500 gram tepung gandum
1 sudu kecil garam halus
1 biji jus limau kasturi (perah dan buang biji)
200 ml air sejuk dari peti ais

CARA MEMBUAT KULIT KARIPAP
1. Panaskan minyak jagung hingga betul-betul panas.
2. Tuang tepung gandum ke dalam bekas adunan.
3. Tuang minyak jagung panas tadi ke dalam adunan tepung.
4. Gaul sebati guna senduk kayu perlahan-lahan kerana minyak masih panas. Kacau adunan sehingga menjadi seperti serbuk roti.
5. Masukkan sedikit garam dan perahan limau kasturi ke dalam air sejuk dari peti ais dan tuang sikit demi sedikit.
6. Uli adunan sehingga lembut dan adunan tidak melekat di tangan. Boleh taburkan sedikit tepung dan sambung uli jika adunan lembik atau tambahkan sedikit air jika rasa adunan keras.
7. Kemudian masukkan doh ke dalam beg plastik yang bersih atau boleh balut dengan wrapping plastic. Bungkus kedap dan perap doh selama 15-30minit.
8. Biar sehingga doh berpeluh dan menjadi doh yang lembut serta elastik.

IKLAN

CARA PENYEDIAAN KARIPAP
1. Apabila doh telah lembut dan elastik, keluarkan dari plastik dan canai.
2. Boleh terap adunan yang dicanai tadi menggunakan acuan bulat atau cawan. Boleh juga ketipkan karipap menggunakan acuan karipap.

Miliki Hobi Suka Buat Kuih Tradisional, CEO Ini Kongsi Resipi Karipap Daging Yang Gerenti Wow!
3. Susun karipap yang telah diletakkan inti tadi ke atas dulang yang telah disapukan sedikit minyak masak atau ditabur tepung agar kulit karipap tadi tidak rosak atau terkoyak ketika diangkat untuk digoreng.

Miliki Hobi Suka Buat Kuih Tradisional, CEO Ini Kongsi Resipi Karipap Daging Yang Gerenti Wow!
4. Panaskan minyak masak yang banyak dalam kuali. Kemudian bolehlah mula menggoreng karipap sehingga kekuningan.

IKLAN

Miliki Hobi Suka Buat Kuih Tradisional, CEO Ini Kongsi Resipi Karipap Daging Yang Gerenti Wow!

TIP PENTING KETIKA MENGGORENG
1. Panaskan minyak masak kemudian perlahan semula api sebelum masukkan karipap.
2. Minyak masak tidak boleh terlalu panas bagi mengelakkan kulit karipap menggerutu atau berbonjol.
3. Kulit karipap juga jangan dicanai terlalu nipis bagi menghasilkan kulit karipap yang cantik dan licin ketika digoreng.
4. Minyak masak juga jangan terlalu tidak panas kerana nanti kulit karipap akan menyerap minyak yang banyak ketika goreng. Jadi perlu sesuaikan api dan kepanasan minyak masak ikut dapur masing-masing.

Miliki Hobi Suka Buat Kuih Tradisional, CEO Ini Kongsi Resipi Karipap Daging Yang Gerenti Wow!

Selamat mencuba!

Sumber: Facebook Fara Mustapa

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI