Percaya atau tidak, meja makan antara  tempat sesuai untuk anda  dan pasangan membantu anak-anak  belajar banyak perkara berkaitan kehidupan. Bermula dengan si kecil mengasah skil motorik, meningkatkan perkembangan kognitif, meneroka persekitaran dan cara bersosial. Semuanya bermula dari dalam keluarga.

Sebab itulah ibu bapa dikatakan guru pertama dan rumah adalah sekolah pertama anak-anak.Terpulang kepada ibu bapa bagaimana mahu memposisikan diri mereka sebagai model dan rumah sebagai persekitaran yang menyeronokan bagi anak-anak menjalani proses tumbesaran.

Apa kata, anda mulakan pembelajaran di meja makan. Bermula dengan ucapan ‘Bismillah’ dan doa makan yang anda bacakan sambil menyuap makanan ke mulut si kecil, ia adalah satu proses pembelajaran. Melalui aktiviti ini menjadikan anak faham bahawa sebelum makan mesti mengucapkan Bismillah. Walaupun pada usia awal kanak-kanak, si manja tidak tahu apa itu adab tetapi apa yang diperhati dan dilakukan oleh ibu atau bapa itu akan ditiru dan menjadi amalannya secara  rutin.