
Masak Lemak Cili Api Siput Belitong memang antara hidangan tradisional yang menjadi kegemaran ramai, lebih-lebih lagi apabila dimasak bersama daun kaduk yang memberikan aroma serta rasa yang lebih menyelerakan. Siput Belitong juga dikenali sebagai siput sedut. Walau bagaimanapun, masih ramai yang kurang mengetahui cara membersihkan dan menyiang siput ini dengan betul sebelum dimasak. Menerusi perkongsian saudari Yatie Yuyue, berikut ialah langkah lengkap bermula daripada proses mencuci sehinggalah memasaknya. Selamat mencuba!
Basuh siput sehingga lumpur kasar hilang. Kemudian masukkan ke dalam bekas yang berisi kelapa parut.
Biarkan siput memakan kelapa parut tanpa dicampur bahan lain selama semalaman. Cara ini membantu menjadikan isi siput lebih berisi, berlemak dan berjus.
Selepas semalaman, siput akan mengeluarkan selut, pasir dan kotoran yang berada di dalam cengkerang. Proses ini menjadikan siput lebih bersih dan enak apabila dimasak.
Bersihkan siput daripada sisa kelapa parut. Masukkan ke dalam bekas berisi air bersama garam kasar dan daun limau purut.
Biarkan selama kira-kira 10 minit sebelum meramas siput bersama daun limau purut. Kemudian tapis dan bilas hingga bersih.
Gunakan pemotong yang sesuai untuk memotong sedikit bahagian hujung ekor setiap siput. Langkah ini memudahkan isi siput disedut ketika makan.
Kisar bawang Holland, bawang merah, cili api dan kunyit hidup sehingga halus.
Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai yang telah diketuk. Masak sehingga mendidih.
Masukkan asam keping dan santan. Kacau perlahan supaya santan tidak pecah.
Masukkan siput yang telah dibersihkan bersama garam dan gula secukup rasa.
Selepas kuah mendidih kira-kira lima minit, masukkan daun kaduk. Masak seketika sehingga daun mula layu.
Apabila daun kaduk telah layu dan kuah cukup pekat, tutup api. Hidangkan ketika masih panas bersama nasi putih untuk menikmati rasa yang paling sedap.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, hidangan Masak Lemak Cili Api Siput Belitong akan menjadi lebih lazat, berkrim dan tidak berpasir. Resipi ini sesuai dinikmati bersama keluarga pada bila-bila masa.
Kredit resipi & foto: Yatie Yuyue
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: