
Masak Lemak Cili Api Siput Belitong memang antara hidangan tradisional yang menjadi kegemaran ramai, lebih-lebih lagi apabila dimasak bersama daun kaduk yang memberikan aroma serta rasa yang lebih menyelerakan. Siput Belitong juga dikenali sebagai siput sedut. Walau bagaimanapun, masih ramai yang kurang mengetahui cara membersihkan dan menyiang siput ini dengan betul sebelum dimasak. Menerusi perkongsian saudari Yatie Yuyue, berikut ialah langkah lengkap bermula daripada proses mencuci sehinggalah memasaknya. Selamat mencuba!
Bahan Untuk Membersihkan Siput Sedut
- Siput sedut / Siput Belitong
- Kelapa parut
- Garam kasar
- Daun limau purut
Bahan Masak Lemak Cili Api Siput Sedut

- Daun kaduk (lagi banyak lagi sedap)
- 1 biji bawang Holland
- 8 biji bawang merah kecil
- Segenggam cili api
- 3 batang serai (diketuk)
- Asam keping
- 1 ketul kunyit hidup
- 1 kotak santan
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Cara Membersihkan Siput Sedut
1. Bersihkan lumpur pada siput
Basuh siput sehingga lumpur kasar hilang. Kemudian masukkan ke dalam bekas yang berisi kelapa parut.

2. Biarkan semalaman
Biarkan siput memakan kelapa parut tanpa dicampur bahan lain selama semalaman. Cara ini membantu menjadikan isi siput lebih berisi, berlemak dan berjus.

3. Buang kotoran
Selepas semalaman, siput akan mengeluarkan selut, pasir dan kotoran yang berada di dalam cengkerang. Proses ini menjadikan siput lebih bersih dan enak apabila dimasak.

4. Hilangkan lendir
Bersihkan siput daripada sisa kelapa parut. Masukkan ke dalam bekas berisi air bersama garam kasar dan daun limau purut.

5. Ramas hingga bersih
Biarkan selama kira-kira 10 minit sebelum meramas siput bersama daun limau purut. Kemudian tapis dan bilas hingga bersih.

6. Potong hujung ekor siput
Gunakan pemotong yang sesuai untuk memotong sedikit bahagian hujung ekor setiap siput. Langkah ini memudahkan isi siput disedut ketika makan.

Cara Memasak Masak Lemak Cili Api Siput Sedut
1. Kisar bahan rencah
Kisar bawang Holland, bawang merah, cili api dan kunyit hidup sehingga halus.
2. Rebus bahan kisar
Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai yang telah diketuk. Masak sehingga mendidih.

3. Masukkan bahan utama
Masukkan asam keping dan santan. Kacau perlahan supaya santan tidak pecah.
4. Masukkan siput
Masukkan siput yang telah dibersihkan bersama garam dan gula secukup rasa.

5. Tambah daun kaduk
Selepas kuah mendidih kira-kira lima minit, masukkan daun kaduk. Masak seketika sehingga daun mula layu.

6. Sedia dihidangkan
Apabila daun kaduk telah layu dan kuah cukup pekat, tutup api. Hidangkan ketika masih panas bersama nasi putih untuk menikmati rasa yang paling sedap.
Anda mungkin berminat dengan

Petua Memasak
- Pastikan siput dibersihkan dengan sempurna bagi menghilangkan pasir dan lendir.
- Jangan memasak terlalu lama supaya isi siput kekal lembut.
- Gunakan daun kaduk yang segar untuk mendapatkan aroma yang lebih wangi.
- Laraskan jumlah cili api mengikut tahap kepedasan yang diingini.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, hidangan Masak Lemak Cili Api Siput Belitong akan menjadi lebih lazat, berkrim dan tidak berpasir. Resipi ini sesuai dinikmati bersama keluarga pada bila-bila masa.
Kredit resipi & foto: Yatie Yuyue
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!


