Bunga betik mungkin jarang dijadikan lauk harian kita, tapi bagi orang kampung, ia adalah antara ulam dan sayuran tradisional yang sedap dan kaya khasiat. Rasa pahitnya yang unik menjadikan bunga betik sesuai dimasak dengan pelbagai cara sama ada ditumis ataupun dijadikan kerabu.
Selain kaya serat, bunga betik juga dikatakan membantu melancarkan sistem penghadaman dan menurunkan kadar gula dalam darah. Nak hilangkan rasa pahit pula mudah, cukup dengan celur bersama asam keping atau asam jawa.
Jom cuba dua resipi bunga betik yang dikongsi ini satu versi tumis, satu lagi kerabu.
Bunga betik (direbus/celur dengan sedikit asam jawa, kemudian tos)
Cili besar
Cili padi
Bawang merah
Bawang putih
Sedikit ikan bilis (optional)
Garam & perasa secukupnya
1. Tumbuk cili besar, cili padi, bawang merah, bawang putih dan ikan bilis.
2. Tumis bahan tumbuk hingga garing dan naik bau.
3. Masukkan bunga betik yang sudah dicelur, kacau rata hingga sedikit layu.
4. Perasakan dengan garam dan secukup rasa.
5. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas.
Bunga betik & batang muda (ambil bahagian lembut, dicelur sekejap dengan asam keping untuk kurangkan pahit)
Ikan kembung rebus – ambil isinya
Cili merah
Cili api
Belacan (optional)
Garam & gula secukupnya
Kerisik
Hirisan bawang besar
1. Tumbuk cili merah, cili api, belacan, garam dan gula hingga agak lumat.
2. Gaulkan bunga betik celur bersama isi ikan rebus, bahan tumbuk, kerisik dan hirisan bawang besar.
3. Sesuaikan rasa dan hidangkan.
Kredit Resipi & Foto: Ina Zarina & Nor Khairah Jamaludin
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA