Bukan Piza & Pasta Sahaja, Banyak Lagi Makanan Itali Yang Sedap, Kena Cuba!

Share

Bila sebut makanan Itali, dua menu yang paling cepat terlintas di fikiran tentunya piza dan pasta. Tapi sebenarnya, dunia kulinari Itali jauh lebih luas daripada dua hidangan ini. Setiap wilayah di Itali mempunyai makanan dan cara penyediaan tersendiri. Ada hidangan berasaskan nasi, roti, keju, makanan laut sehinggalah pencuci mulut yang kini cukup popular di seluruh dunia.

Kalau anda peminat makanan Itali, ini antara hidangan popular yang wajib anda kenali. Ada yang mungkin sudah biasa anda makan, tetapi ada juga yang mungkin belum pernah masuk dalam senarai untuk dicuba.

10 Makanan Itali Popular Yang Wajib Anda Kenali

1. Pizza

Memang tak lengkap bercakap tentang makanan Itali tanpa menyebut pizza. Antara versi yang paling terkenal ialah Pizza Margherita dari Naples yang menggunakan kombinasi ringkas seperti tomato, mozzarella dan daun basil.

Berbeza dengan sesetengah pizza moden yang sarat dengan topping, pizza tradisional Itali biasanya lebih ringkas supaya rasa doh, tomato, keju dan bahan utama lebih menyerlah.

Makanan Itali

2. Spaghetti Carbonara

Carbonara merupakan antara hidangan pasta Itali paling popular. Resipi tradisionalnya dikaitkan dengan kota Rome dan biasanya menggunakan telur, keju Pecorino Romano, lada hitam serta guanciale.

Menariknya, carbonara asli Itali tidak bergantung kepada sos krim seperti yang biasa kita temui dalam sesetengah versi moden. Tekstur berkrim sebenarnya terhasil daripada campuran telur, keju dan air rebusan pasta.

Makanan Itali

3. Lasagna

Lapisan pasta yang disusun bersama sos dan keju menjadikan lasagna antara comfort food Itali yang digemari ramai.

Salah satu versi terkenal ialah Lasagne alla Bolognese yang menggunakan lapisan pasta bersama ragù, béchamel dan keju. Selepas dibakar, hasilnya cukup menggiurkan dengan bahagian atas keperangan dan inti yang kaya rasa.

Makanan Itali

4. Risotto

Nampak macam nasi biasa, tapi teknik memasak risotto memerlukan sedikit kesabaran. Hidangan dari utara Itali ini menggunakan beras tertentu seperti Arborio atau Carnaroli yang dimasak perlahan-lahan bersama stok.

Teknik tersebut menghasilkan nasi yang lembut dan berkrim tetapi masih mempunyai sedikit tekstur ketika digigit. Antara variasi terkenal ialah Risotto alla Milanese yang mempunyai warna kuning keemasan daripada saffron.

Makanan Itali

5. Focaccia

Kalau anda sukakan roti yang lembut dan harum dengan minyak zaitun, focaccia memang wajib cuba. Roti Itali ini biasanya mempunyai permukaan berlekuk yang disiram minyak zaitun sebelum dibakar. Ia boleh dinikmati dalam versi ringkas bersama garam dan herba seperti rosemary atau ditambah tomato, buah zaitun dan pelbagai topping lain.

Makanan Itali

6. Gnocchi

Sekali pandang mungkin nampak seperti pasta, tetapi gnocchi mempunyai tekstur yang agak berbeza. Salah satu versi paling biasa diperbuat daripada kentang, tepung dan telur sebelum dibentuk menjadi doh kecil.

Gnocchi boleh dipadankan dengan pelbagai jenis sos seperti sos tomato, pesto, mentega bersama sage ataupun sos berasaskan keju. Sebab itulah hidangan ini boleh memberikan pengalaman berbeza bergantung kepada sos dan cara ia disediakan.

Makanan Itali

7. Arancini

Kalau di Malaysia kita ada pelbagai jenis kudapan bergoreng, Itali pula terkenal dengan arancini. Hidangan dari Sicily ini dibuat menggunakan nasi yang dibentuk menjadi bebola, diisi dengan bahan tertentu, disalut serbuk roti dan digoreng sehingga keemasan. Bahagian luarnya rangup manakala bahagian dalam kekal lembut dan penuh rasa.

Makanan Itali

8. Parmigiana di Melanzane

Terung pun boleh jadi hidangan yang sangat menyelerakan apabila dimasak cara Itali. Parmigiana di Melanzane menggunakan lapisan terung bersama sos tomato, keju dan beberapa bahan lain sebelum dibakar. Hasilnya cukup kaya rasa dan sesuai untuk mereka yang mahu mencuba makanan Itali selain pasta.

Makanan Itali

9. Tiramisu

Selepas makan piza dan pasta, mestilah kena ada pencuci mulut! Tiramisu merupakan antara pencuci mulut Itali yang paling dikenali di seluruh dunia. Ia biasanya dibuat menggunakan ladyfinger yang dicelup dalam kopi kemudian dilapis dengan krim berasaskan mascarpone dan ditabur serbuk koko.

Gabungan rasa kopi, koko dan krim yang lembut menjadikan tiramisu pencuci mulut yang sukar ditolak. Kalau anda memang penggemar kopi, hidangan ini tentu mudah masuk dalam senarai pencuci mulut kegemaran.

Makanan Itali

10. Gelato

Nampak macam ais krim, tetapi gelato mempunyai karakter tersendiri. Secara umumnya, gelato mempunyai tekstur lebih padat dan lembut serta kandungan lemak dan udara yang berbeza berbanding kebanyakan ais krim. Pilihan perisanya pula memang banyak. Daripada pistachio, coklat dan hazelnut sehinggalah buah-buahan segar, memang boleh rambang mata dibuatnya.

Makanan Itali

Banyak Lagi Makanan Itali Yang Sedap

Itali memang terkenal dengan makanan yang menggunakan bahan-bahan sederhana tetapi mengutamakan rasa dan kualiti setiap ramuan. Menariknya, kepelbagaian hidangan dari setiap wilayah menjadikan kulinari negara ini jauh lebih luas daripada apa yang biasa kita lihat di restoran.

Daripada pizza, carbonara dan lasagna untuk hidangan mengenyangkan sehinggalah tiramisu dan gelato sebagai pencuci mulut, tidak hairanlah makanan Itali mempunyai peminat di seluruh dunia.

Malah, risotto, focaccia, gnocchi dan arancini juga membuktikan bahawa ada banyak pilihan lain yang menarik untuk diterokai. Setiap satunya mempunyai tekstur, ramuan dan cara penyediaan yang tersendiri.

Jadi kalau selama ini anda ingat makanan Itali cuma piza dan pasta, nampaknya banyak lagi menu yang boleh masuk dalam senarai untuk dicuba!

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA.

Published by
Suhaidah Abd Wahab