Laksa Sarawak merupakan antara hidangan ikonik dari Bumi Kenyalang yang terkenal dengan kuahnya yang pekat, berempah dan penuh aroma. Berbeza dengan laksa dari negeri lain, hidangan ini menggunakan pes laksa Sarawak yang mempunyai gabungan rempah istimewa bersama santan, menjadikan rasanya lebih unik dan menyelerakan.
Gabungan bihun yang lembut, udang segar, ayam yang dicarik halus, fishcake, telur dadar dan tauge menjadikan hidangan ini lengkap serta mengenyangkan. Tidak hairanlah Laksa Sarawak sering menjadi pilihan untuk sarapan, makan tengah hari mahupun ketika majlis istimewa bersama keluarga.
Jika anda ingin menikmati rasa asli Laksa Sarawak di rumah, ikuti resipi mudah ini yang menggunakan bahan-bahan ringkas tetapi menghasilkan kuah yang kaya dengan rasa.
Bahan-Bahan Laksa Sarawak


- 200g pes perencah laksa Sarawak
- 400g udang (dibuang kulit)
- 200ml santan
- 2 ketul dada ayam
- 3 batang serai (diketuk)
- 1 kiub ayam
- 1 sudu teh garam
- 1/2 sudu teh gula
- 1 liter air
Bahan Pelengkap
- 1/2 bungkus bihun (dicelur)
- 400g udang yang telah direbus
- Dada ayam yang telah dicarik halus
- 4 biji telur yang didadar dan dihiris halus
- Fishcake yang dicelur dan dihiris
- Tauge yang dicelur
- 2 tangkai daun ketumbar
- Limau kasturi yang dibelah dua
- Sambal laksa mengikut cita rasa
Cara Memasak Laksa Sarawak
- Masukkan air ke dalam periuk bersama dada ayam dan serai yang telah diketuk. Rebus sehingga air mula mendidih.
- Masukkan pes perencah laksa Sarawak dan kacau sehingga larut sepenuhnya. Teruskan memasak sehingga dada ayam masak.
- Angkat dada ayam, toskan dan biarkan sejuk sebelum dicarik halus. Ketepikan sebagai bahan pelengkap.
- Masukkan santan ke dalam kuah sambil dikacau perlahan supaya tidak pecah minyak.
- Masukkan udang dan fishcake. Masak kira-kira 4 minit sehingga udang bertukar warna dan masak sempurna. Angkat kedua-duanya dan ketepikan.
- Perasakan kuah dengan garam, gula dan kiub ayam. Biarkan kuah mendidih sehingga sedikit pekat dan semua rasa sebati.
- Untuk menghidang, letakkan bihun ke dalam mangkuk. Susunkan ayam yang dicarik, udang, fishcake, hirisan telur dadar dan tauge di atas bihun.
- Tuangkan kuah panas secukupnya, kemudian taburkan daun ketumbar. Hidangkan bersama limau kasturi dan sambal laksa untuk rasa yang lebih padu.
Petua Memasak:
- Gunakan pes laksa Sarawak yang asli untuk mendapatkan rasa tradisional yang lebih autentik.
- Jangan terlalu lama memasak udang kerana ia boleh menjadi liat.
- Kacau santan perlahan-lahan ketika dimasukkan ke dalam kuah supaya teksturnya kekal halus.
- Perahkan sedikit limau kasturi sebelum menikmati hidangan untuk menaikkan aroma dan rasa kuah.
- Jika sukakan rasa lebih pedas, tambahkan sambal laksa mengikut tahap kepedasan yang diinginkan.
Kenapa Laksa Ni Menjadi Kegemaran Ramai?
Laksa Sarawak
terkenal dengan kuahnya yang kaya dengan rempah, lemak santan dan rasa makanan laut yang cukup seimbang. Setiap suapan memberikan gabungan rasa pedas, lemak dan segar yang sukar ditandingi oleh hidangan lain.
Walaupun kelihatan mewah, resipi ini sebenarnya mudah disediakan di rumah jika menggunakan pes laksa yang berkualiti. Hidangkan ketika masih panas bersama sambal dan limau kasturi untuk menikmati rasa asli Laksa Sarawak yang pasti memikat selera seisi keluarga.


[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: