
Bagi peminat sajian Kari Ayam yang pekat, pasti tercari-cari resipi yang mudah dan enak untuk dicuba. Jangan risau kerana saudara Khabbab Jamalludin ada kongsikan resipi Kari Ayam kuah pekat yang boleh anda cuba. Pasti kena dengan selera semua. Enaknya…
Selain dimakan bersama nasi, ia juga sesuai dimakan bersama roti, lempeng bahkan Roti Jala juga sesuai. Jom lihat cara-caranya.
RESIPI KARI AYAM KUAH PEKAT LIKAT YANG SANGAT SEDAP
Kalau suka kuah kari yang kaw, pekat dan penuh rasa rempah, resipi ini memang sesuai untuk dicuba. Gabungan dua jenis serbuk kari memberikan rasa yang lebih sedap, manakala penggunaan gula melaka pula membantu menyeimbangkan rasa rempah dalam kuah.

Menariknya, cara memasaknya tidaklah terlalu rumit. Ayam digoreng sekejap terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kuah kari yang telah ditumis hingga pecah minyak. Teknik ini membantu memastikan ayam tidak terlalu kering dan rempah dapat meresap dengan baik.
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam bersaiz besar (anggaran 2 kg) – dipotong kecil
- Minyak masak
- Ubi kentang – direbus
- Garam secukup rasa
- Gula melaka secukupnya – beli online disini
BAHAN TUMIS:
- 1 biji bawang besar – dihiris
- 1-2 tangkai daun kari
- 4 ulas bawang putih – dikisar
- 1 inci halia – dikisar
- 1 sudu makan cili kisar
- 4 batang serai – diketuk
- 2 biji tomato – dipotong kecil
- Air
- 250gm serbuk kari ayam/daging Baba’s – beli online disini
- 25gm serbuk kari masak merah Cap O – beli online disini

Untuk mendapatkan kuah yang benar-benar pekat, penggunaan serbuk rempah yang mencukupi sangat penting. Dalam resipi ini, dua jenis rempah digunakan untuk menghasilkan rasa kari yang lebih beraroma.
Pastikan juga semua bahan disediakan terlebih dahulu sebelum mula memasak. Ini kerana proses menumis rempah memerlukan perhatian supaya rempah masak dengan sempurna dan tidak hangus.
CARA MEMASAK:
- Gaulkan ayam yang telah dipotong kecil dengan sedikit serbuk rempah kari. Gaul manja sahaja setakat untuk ada warna kekuningan sedikit.

2. Serbuk kari digabungkan 2 jenis rempah ini : Kari Ayam/Daging Baba’s : 250g (tolak sikit sebab guna untuk lumur ayam tadi) dan Serbuk Kari Masak Merah Cap O 25g. Ini rempah dia ada macam manis sikit. Serbuk kari digabungkan dan dicampurkan air sampai jadi pes.

3. Panaskan minyak masak. Tidak perlu banyak, sekadar separuh ketinggian potongan ayam sahaja. Goreng sekejap ayam yang diperap tadi sampai hilang warna pucat ayam mentah.

4. Jangan lama sangat nanti air ayam kering & rempah kari kurang meresap bila masukkan dalam kuah nanti. Angkat dan ketepikan.
5. Dengan guna minyak gorengan ayam, tumis bawang hingga kekuningan menggunakan api besar.

6. Masukkan cili kisar. Tumis lagi.

7. Masukkan campuran serbuk kari yang sudah dijadikan pes tadi. Perlahan sedikit api bila bunyi desiran pes kari mulai hilang dan mula berbuih buih. Biar hingga pecah minyak.

8. Lepas pecah minyak sikit, masukkan ayam yang digoreng sedikit tadi. Tambahkan juga air. Sukatannya tidak banyak. Cukup sekadar sampai tenggelam potongan ayam tadi.
9. Masukkan tomato, serai, dan ubi kentang dan biarkan masak dalam api sederhana besar. Aduk aduk bila perlu.

10. Bila kuah sudah sebati, tambahkan garam dan gula melaka mengikut citarasa masing masing.
11. Kari Ayam kaw sedia untuk diikmati bersama potong roti benggali atau nasi. Selamat mencuba.


Petua Kari Ayam Kuah Pekat Supaya Lebih Sedap
Tip: Untuk memudahkan tumisan pecah minyak adalah perlu guna minyak yang banyak. Jangan risau, minyak yang terlebih boleh dikeluarkan sebelum makan nanti.
Selain petua tersebut, ada beberapa perkara yang boleh diberikan perhatian ketika memasak supaya hasilnya lebih memuaskan.
1. Pastikan Rempah Ditumis Hingga Pecah Minyak
Proses menumis rempah adalah antara bahagian paling penting dalam penyediaan kari. Apabila rempah ditumis dengan sempurna, aroma dan rasanya akan lebih menyerlah.
Jangan terlalu tergesa-gesa memasukkan air sebelum rempah benar-benar masak. Gunakan api yang bersesuaian dan kacau apabila perlu bagi mengelakkan rempah melekat pada dasar periuk.
2. Jangan Masukkan Air Terlalu Banyak
Untuk mendapatkan kuah yang likat, jumlah air perlu dikawal. Seperti yang dikongsikan dalam resipi asal, air hanya perlu dimasukkan sehingga menenggelamkan potongan ayam.
Anda mungkin berminat dengan
Jika terlalu banyak air digunakan, kuah mungkin menjadi cair dan memerlukan masa yang lebih lama untuk memekat. Sebaiknya, tambah air sedikit demi sedikit mengikut keperluan.
3. Gunakan Gula Melaka Untuk Seimbangkan Rasa
Gula melaka bukan sahaja memberikan sedikit rasa manis, malah membantu mengimbangi rasa rempah dan garam dalam masakan.
Namun, tidak perlu menggunakannya terlalu banyak. Masukkan sedikit dahulu, kemudian rasa kuah sebelum menambah lagi mengikut cita rasa masing-masing.
4. Biarkan Ayam Masak Sempurna Dalam Kuah
Walaupun ayam telah digoreng sekejap pada peringkat awal, ia masih perlu dimasak sepenuhnya bersama kuah kari.
Biarkan ayam mereneh sehingga masak sempurna dan empuk. Proses ini juga memberikan masa untuk rasa rempah meresap ke dalam isi ayam.
Cadangan Hidangan Yang Sesuai
Hidangan ini memang sedap dinikmati bersama nasi putih panas. Kuahnya yang pekat boleh digaulkan dengan nasi untuk memberikan rasa yang lebih menyelerakan.
Kalau tidak mahu makan nasi, boleh juga cuba bersama roti benggali, roti jala atau lempeng. Tekstur kuah yang likat menjadikannya sesuai untuk dicicah dengan pelbagai jenis roti.
Resipi ini juga boleh dijadikan pilihan untuk hidangan makan tengah hari bersama keluarga atau apabila menerima tetamu di rumah.
Jadi, kalau selama ini tercari-cari cara menghasilkan kuah kari yang kaw dan penuh rasa rempah, bolehlah cuba perkongsian saudara Khabbab Jamalludin ini. Selamat mencuba!
Kredit resipi & foto: Khabbab Jamalludin
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

sekarang!
