Ikan cencaru masak pindang serani, nampak macam asam pedas tapi bukan. Menurut Syalfarina Razali yang berkongsi resipi, kalau diberi pilihan antara asam pedas dan pindang serani, katanya pindang serani tetap nombor satu kerana rasanya yang unik.
Resipi ini kuahnya memang cair, bening tapi rasanya cukup mantap gabungan masam, pedas dan aroma dari rempah. Jika nak gunakan ikan lain pun boleh saja. Nak cuba? Boleh ikut resipi yang disediakan di bawah.
5 ekor ikan cencaru besar (buang kulit & potong)
2 biji bawang merah sederhana besar
5 ulas bawang putih (blend bersama bawang merah)
2 batang serai (dititik)
2 inci halia (dititik)
1 sudu kecil halba
2 sudu besar cili kisar
1 inci belacan
1 biji tomato (optional)
1 mangkuk kecil air asam jawa
Garam, gula & perasa secukup rasa
Minyak untuk menumis
1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan halba, serai dan halia. Gaul rata hingga wangi.
2. Masukkan bahan kisar (bawang merah & bawang putih). Tumis hingga naik bau dan garing.
3. Tambah tomato jika suka, kemudian masukkan cili kisar. Masak hingga pecah minyak.
4. Masukkan belacan dan gaul rata.
5. Letakkan ikan cencaru, biar air ikan keluar sendiri sebelum tambah air asam jawa. Kuahnya biarkan cair.
6. Masukkan garam, sedikit gula dan perasa secukupnya. Biarkan mendidih, kemudian tutup api.
Makan panas-panas dengan nasi putih bersama sayur tumis, confirm bertambah!
Kredit Resipi & Foto: Syalfarina Razali
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA