Bagi yang tidak cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) , usah putus asa . Terdapat pelbagai pilihan pendidikan kemahiran boleh dilakukan berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar. GIATMARA terbuka kepada Bumiputra berusia 15 tahun serta boleh 3 M (membaca, menulis dan minat).
Jangan tak tahu, kerajaan menyediakan peluang lebih luas kepada lepasan latihan kemahiran dengan memberi laluan peningkatan kemahiran yang lebih tinggi setara dengan kelayakan ijazah malah ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.
GIATMARA , syarikat milik penuh MARA dengan objektif utama memberi latihan kemahiran kepada bumiputera. Objektifnya kini diperkasakan untuk melahirkan tenaga mahir negara, mewujudkan usahawan dan mengatasi kemiskinan.
GIATMARA menawarkan 84 jenis kursus sepenuh masa termasuk kulinari. Kursus yang ditawarkan adalah secara percuma di antara enam hingga 12 bulan. Bukan setakat belia malah untuk individu yang tidak dapat meneruskan pembelajaran akademik.
Ads
Malah turut membuka peluang kepada mereka mendapat latihan kemahiran bagi tujuan mendapat kerja dan juga untuk menceburi bidang keusahawanan.
Kursus Masakan dan Pramusaji yang terletak di bawah kluster Kulinari adalah salah satu kursus yang mendapat permintaan tinggi di kalangan masyarakat. Secara keseluruhan terdapat 16 Pusat GIATMARA di seluruh Malaysia yang menawarkan kursus Masakan dan Pramusaji selama enam bulan (Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Dua).
Di antara GIATMARA yang menyediakan kursus Masakan dan Pramusaji adalah di GIATMARA Hulu Langat (dahulu dikenali sebgai GIATMARA Beranang) mula ditubuhkan pada tahun 1995. Kemudahan dapur dan persekitaran yang baik dan kondusif juga tersedia di sini.
Ads
Kursus ini juga terdapat di GIATMARA Nilam Puri, Kelantan, GIATMARA Merbok, Pendang, Kedah, GIATMARA Masjid Tanah, Melaka GIATMARA Bentong Pahang, GIATMARA Larut, Perak,GIATMARA Kangar, Perlis, GIATMARA Balik Pulau, Permatang Pauh, Pulau Pinang, GIATMARA Klang, Selangor, GIATMARA Kuala Nerus, Terengganu, GIATMARA Setiawangsa, KL,GIATMARA Sepanggar, Sabah,GIATMARA Stampin, Sarawak.
Selain latihan kemahiran pelatih-pelatih GIATMARA akan didedahkan kepada Modul Pembudayaan Keusahawanan dalam tempoh tiga bulan pertama setiap sesi pengambilan pelatih selama lima hari dengan tambahan modul keusahawanan. Pelatih juga diberi pendedahan kepada teknik pemasaran digital yang efektif dan relevan kepada pelanggan.
Ads
Pelatih yang tamat latihan akan diberikan sijil Professional GIATMARA dan Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 2). GIATMARA Hulu Langat juga turut menawarkan Kursus Pengkhususan Asean Etnic kepada lepasan pelatih. Program dijalankan selama tiga bulan dan pelatih akan didedahkan kepada tiga modul utama menghasilkan hidangan terkenal dari Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Apa tunggu lagi…layari http://giatmara.edu.my/language/ms/permohonan-online/
LOKASI : GIATMARA HULU LANGAT ,NO 65,66,67 Jalan Prima Saujana, Taman Prima Saujana 43000 Kajang, Selangor.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Mengenali seorang lagi chef selebriti berbakat besar yang serba boleh. Beliau bukan sekadar pakar dalam masakan tetapi juga seorang ahli akademik yang mendidik anak bangsanya dalam bidang kulinari. Personaliti yang dimaksudkan adalah Chef Hussin Khan Ramatullah, seorang Pensyarah di Jabatan Kulinari, Falkuti Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM)Pulau Pinang.
Beliau seorang yang sangat postif dan sentiasa meneroka peluang-peluang baru berkaitan dunia masakan yang sentiasa berkembang dan tidak habis diterokai. Unjuran itu perjalanan Chef Hussin dalam dunia masakan melalui plot-plot suka duka yang memberikannya banyak pengalaman menyeronokan.
“Minat memasak hadir selepas setiap hari saya pegang pisau dan senduk di dalam dapur semasa ambil kursus kulinari di UiTM. Sebab lain, mungkin kerana saya juga seorang yang suka makan. Bila suka makan kenalah pandai masak,” ujar Chef Hussin yang kini sibuk mempromosikan buku masakan barunya 101 Resepi Destinasi Makan Popular Pulau Pinang bersama Popular Bookstore.
Mula Kerjaya Sebagai Chef Hotel
Selepas tamat pengajian Hussin memasuki industri sebagai chef di beberapa buah hotel. Antaranya di hotel Shangri-La Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan The Pan Pacific Glenmarie.
“Selain bekerja di hotel saya pernah menjadi Pegawai Penyajian Penerbangan Asing Mas Catering Sdn. Bhd. Paling manis dan rasa dihargai apabila saya dijemput sebagai Chef Jemputan ke Istana Darul Iman serta Darul Izzah Brunei Darussalam oleh Hyatt Borneo Management Services.
“Sepanjang kerjaya sebagai chef itu juga saya pernah menyertai beberapa pertanding memasak anjurkan Persatuan Chef-chef Malaysia seperti pertandingan Salon Culinaire Malaysia 1995 & 2005 dan Battle of the Chefs – 11th Penang International Salon Gastronomique,” tegas Hussin penerima pingat emas Brussels Innova 2010 (Belgium), Invention, Innovation & Design Exposition 2008 & 2009 dan BioMalaysia Conference & Exhibition 2009.
Beliau mempelbagaikan pembabitan dalam bidang masakan, selain memasak di dapur chef juga menjadi kolumnis ruangan resipi dalam pelbagai majalah dan menghasilkan buku resipi. Antaranya 101 Resipi Menggunakan Rempah Ratus. Pun begitu, beliau turut berkesempatan memenuhi undangan sebagai juri masakan untuk pertandingan dan demo masakan anjuran badan kerajaan dan swasta.
“Paling manis bila saya diberi kepercayaan menjadi hos untuk Rancangan Spice Routes untuk dua musim tahun 2015, chef jemputan Bukan Sekadar Resipi tahun 2014, Kokolog dan Nasi Lemak Kopi O (2011) dan finali Maggi Mencari Bintang TV3 (2008)
“Antara perkara yang tidak boleh dilupakan adalah semasa berada di pergunungan Tian Shen Krygyzstan. Saya telah tunaikan impian masa kecil dan juga impian jutaan rakyat Malaysia untuk menyediakan dan makan Ais Kepal Adabi menggunakan ais salji,” ),”cerita Chef Hussin kini penyarah di Jabatan Seni Kulinari, Falkuti Pengurusan Hotel & Pelancongan, UiTM, Pulau Pinang dan bertindak sebagai penasihat akademik bagi pelajar Seni Kulinari.
Berkongsi Ilmu Masakan
Bila ditanya kenapa beralih arah dari dapur hotel ke bidang pendidikan dan apa perbezaan dilalui. Katanya, mengajar dan bekerja di dapur hotel adalah dua suasana yang berbeza.
“Saya pernah merasai dunia sebenar chef di hotel lima bintang dan saya menyukainya. Hanya chef berjiwa kental saja mampu bertahan. Saya tinggalkan dapur hotel untuk menyambung pengajian Sarjana Muda Sains Pemakanan di UKM, bila tamat saya bekerja sebagai tenaga pengajar sambilan sebelum diserap sebagai Pensyarah.
“Apa pun saya masih dalam bidang masakan, cuma dulu saya memasak tetapi kini lebih kepada berkongsi ilmu masakan dengan generasi muda. Saya seronok melakukan ini kerana masa yang sama saya masih boleh memasak, menghasilkan buku resipi, menerima undangan sebagai juri dan apa sahaja berkaitan masakan, selagi tidak menggangu tugas sebagai sebagai pensyarah,”beritahunya yang masih dahagakan ilmu dalam dunia kulinari.
Beritahunya lagi, memilih kerjaya sebagai chef kerana minat dan dilakukan kerana Allah kerana itu yang tercatat sejak azali lagi , bukan untuk meraih glamor. Sekarang sebagai pensyarah juga kerana minat saya ingin berkongsi maklumat kepada orang ramai.
“Apa saja yang saya lakukan, saya pastikan niatnya betul terlebih dulu. Apapun saya masih dahagakan ilmu. Ada tugas yang masih belum selesai dan masih mengharap agar diberi peluang sekali lagi,” ujarnya bangga kerana keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberi sokongan dan dorongan.
Pernah melalui pengalaman sebagai chef professional dan kini sebagai chef selebriti, Chef Hussin menegaskan ia adalah dua perkara bebeza. Untuk menjadi chef selebriti, ia mmerlukan kepetahan bercakap di depan kamera ataupun di khalayak ramai. Chef selebriti yang baik adalah chef yang dapat mendidik penonton dengan skil dan ilmu memasak yang betul. Bukan sekadar campak mencampak bahan ke dalam kuali sambil berceloteh saja.
“ Chef professional, This is the Real Chef , dunianya hanya di dapur hotel. Mereka ini berjiwa kental dan boleh bertahan lama disesebuah hotel. Jiwa mereka hanya kepada makanan dalam memberikan yang terbaik kepada orang ramai. Kedua-duanya mempunyai peranan dan kepakaran berbeza. Bagi saya profesion Chef harus dihormati dan bukan digunakan untuk meraih populariti murahan seperti apa yang berlaku pada hari ini,” tegasnya mengakhiri perbualan.
GULAI IKAN MERAH
BAHAN-BAHAN:
5 keping isi ikan merah | bersihkan dan tos
1 cawan rempah kari ikan | dijadikan pes
1/2cawan air asam jawa
5 biji kacang bendi
3 biji cili hijau |dibelah 2
2 biji tomato |dibelah 4
1 cawan santan kelapa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Daun bawang | untuk hiasan
BAHAN KISAR:
1 sm halia
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
BAHAN REMPAH PENUMIS:
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 – 3 tangkai daun kari | lurut dari tangkai
1/2 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan bahan rempah hingga naik baunya.
Masukkan pes kari lalu ditumis hingga pecah minyak.
Tuangkan air dan air asam jawa. Biarkan mendidih.
Masukkan ikan dan tuangkan santan.
Masukkan bendi, tomato dan cili hijau lalu dibiarkan sebentar.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Tutup api dan taburkan daun bawang. Sedia dihidang.
INFO CHEF: Anda boleh tukarkan santan dengan susu rendah lemak untuk anda yang berdiet.
LALA TUMIS HALIA
BAHAN-BAHAN:
1 kg lala | dibersihkan dan tos
4 ulas bawang putih | dikisar
1 biji bawang besar | dipotong bulat
5 biji cili padi | diketuk
1 batang serai | diketuk
2 – 3 inci halia | dipotong memanjang
1 biji cili besar merah | dihiris nipis
Garam, gula dan serbuk lada putih secukup rasa
2 – 3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar jus limau nipis
Sedikit minyak | untuk menumis
½ biji lobak merah | dipotong memanjang
Salad hijau dan daun ketumbar | untuk hiasan
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, halia.serai dan cili padi sehingga naik bau.
Masukkan sos tiram, lobak merah dan lala. Kacau sebati.
Perasakan dengan garam, gula, serbuk lada putih dan jus limau nipis.
Taburkan daun ketumbar lalu dihidangkan lala bersama salad hijau.
INFO CHEF: Pastikan lala yang digunakan adalah lala yang segar.
Jawab soalan di bawah dan dapatkan 10 buku ini percuma dan 5 baucar pembelian bernilai RM50 di Popular Book Store . 15 Pemenang akan dipilih secara cabutan rawak daripada e-mel yang diterima dan menjawap semua soalan dengan betul.
KEPUTUSAN ADALAH MUKTAMAD
SOALAN 1: Dimanakah Negeri kelahiran Chef Hussin Khan.
SOALAN 2: Senaraikan 3 program tv yang pernah dikendalikan oleh beliau.
SOALAN 3: Apa yang paling anda suka dalam portal Majalah Rasa ini? Jawapan (15 patah perkataan)
E-mel kan jawapan anda kepada : ida.aziz@karangkraf.com
Musim durian adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh para penggemar raja buah ini. Sana sini ada sahaja gerai yang menjualnya. Bila permintaan sudah tinggi, maka nanti mungkin ada yang nak ambil kesempatan dengan menjual durian yang belum masak sepenuhnya. Jika terkena, memang sakit hati kan? Dah lah beli mahal, nak makan pun tak sedap. Lagipun, buah berkulit tebal ni susah juga nak agak kondisi isinya. Oleh itu, jom belajar cara-cara nak kenal dan pilih buah durian yang masak sempurna dan sedap.
TIP PILIH BUAH DURIAN AGAR TAK KENA TIPU
1. DURI
foto: publicdomainpictures.net
Perkara pertama untuk memilih durian yang masak sempurna, banyak isi dan manis, lihat pada durinya. Pilih durian yang memiliki duri yang jarang, besar dan agak tumpul kerana biasanya ia memiliki isi yang masak elok, kering dan manis.
2. BAU
Cium baunya. Jika durian tersebut berbau manis yang kuat, itu tandanya durian tersebut mempunyai kualiti yang bagus. Jika kurang berbau, ia bermakna durian tersebut masih belum matang dan perlu disimpan beberapa hari sebelum dinikmati.
3. BENTUK BUAH
foto: wikimedia
Pilih buah yang berbentuk bulat. Ini kerana biasanya buah berbentuk bulat ini memiliki ulas yang tebal isinya. Berbanding dengan buah berbentuk lonjong, ulas isinya agak kecil namun rapat. Elakkan mengambil buah yang kulitnya senget dan tidak rata kerana ada kemungkinan isinya sedikit.
4. KULIT
Lihat kulit durian. Jika bahagian luarnya kelihatan luka atau ada kecacatan, elakkan buah tersebut kerana berkemungkinan isinya juga tidak elok dan busuk. Jika ini terjadi, pasti kecewa. Dahlah mahal, busuk pula tu.
5. TANGKAI BUAH
foto: pxhere.com
Pilih buah yang tangkainya masih segar dan berwarna cerah kerana ia petanda buah tersebut masih baru. Elakkan buah bertangkai gelap dan kecut kerana berkemungkinan buah tersebbut telah lama gugur dan rasanya pun pasti kurang enak. Selain itu, dikatakan durian yang jatuh dari pokok mempunyai hujungn tangkai yang bergerigi. Jika kelihatan rata atau seperti bekas dipotong, ada kemungkinan durian tersebut dipetik sebelum gugur dan diperam terlebih dahulu.
6. GONCANG BUAH
foto: pxhere.com
Angkat dan goncang sedikit buah durian. Jika ada bunyi seeprti isi buah bergetar, ia bermakna buah tersebut mempunyai isi yang telah masak dan manis. Buah durian yang matang, isinya yang kering akan terpisah dari dinding kulit dan berbunyi apabila digoncang.
7. KETUK KULIT DURIAN
Ambil hulu pisau dan cuba ketuk buah. Jika bunyinya seperti bergema padu seakan bunyi ‘buk-buk’, tandanya masak elok la tu. Jika berbunyi sebaliknya dan seakan tiada ruang, berkemungkinan durian belum matang dan isinya keras.
8. PILIH DURIAN 5 PANGSA
foto: maxpixel.freegreatpicture.com
Buah durian mempunyai pangsa (bahagian yang mempunyai isi). Ia boleh dilihat menerusi garis-garis yang ada dipermukaan kulit buah. Sebaiknya pilih durian yang mempunyai 5 pangsa kerana dipercayai isinya lebih banyak serta tebal berbanding durian yang mempunyai 6 pangsa atau lebih.
9. ELAKKAN DURIAN MEREKAH
foto: wikimedia.com
Buah durian yang merekah biasanya kurang ‘umphh’ kerana ia telah lama jatuh. Jika dibeli, dikhuatiri durian anda ada yang dah terasa masam kerana tindak balasnya dengan udara. Sebaliknya, pilihlah durian yang belum merekah. Jika nampak sikit-sikit merekah tapi belum emnampakkan isinya pon masih ok.
10. MAKAN DI KEDAI
Cara paling mudah dan dijamin puas hati. Jika makan di kedai, andai terbeli buah yang kurang elok, anda boleh menukarnya dengan buah yang baru. Memang puas hati dan berbaloi dengan harga yang dibayar. Malah, dengan cara ini juga boleh mengelakkan anda dari ditipu oleh sang penjual. Kereta anda pun tak berbau.
Buat adik-adik lepasan PT 3 Kolej Vokasional beri peluang kemahiran tinggi bagi mereka yang berminat dengan kulinari. Sistem pengajiannya 70 peratus kemahiran dan cuma 30 peratus sahaja akademik. Kolej Vokasional Gerik, Perak adalah antara kolej vokasional yang membuka peluang ini.
Ditubuhkan pada tahun 2000 dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Gerik . Pada 2014 ditransformasikan menjadi Kolej Vokasional Gerik. Pengarah Kolej ialah Hamid Jumhari. Waktu pembelajaran pula dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jabatan Hospitaliti Kolej Vokasional Gerik diwujudkan pada tahun 2105 dengan penawaran dua program iaitu Seni Kulinari dan Bakeri & Pastri. Pelajar pengambilan pertama adalah seramai 30 orang bagi setiap program. Jumlah terkini bagi program Seni Kulinari lebih 80 orang dan program Bakeri & Pasti lebih 80 juga dengan 12 pensyarah.
Jangkamasa kursusnya adalah selama empat tahun lima bulan (dua tahun-Sijil Vokasional Malaysia) dan Diploma Vokasional Malaysia (dua tahun-Diploma Kemahiran Malaysia dan lima bulan Latihan Industri ‘on job trainning’.
Cara pembelajaran adalah teori dan praktikal mengikut Kurikulum Standard Kolej Vokasional. Di kolej ini juga disediakan kemudahan bengkel yang lengkap.Kelebihan memilih kursus di sini adalah pembelajarannya sepenuhnya ditanggung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Suasana pembelajarannya juga adalah kondusif dan menekankan kemahiran bagi melahirkan pekerja mahir dalam memenuhi permintaan yang tinggi daripada pihak industri. Paling ‘best’ Kolej Vokasional ini juga sentiasa mengadakan kursus-kursus yang membabitkan chef dan penggiat industri.
Pelajar juga diberi peluang menyertai pameran untuk mempromosikan program dan memberi pendedahan kepada pelajar menyertai pertandingan.Pelajar juga terlibat dalam kerja kemasyarakatan bagi meningkatkan keyakinan diri dan menggunakan kemahiran yang dipelajari.
Khasiat bunga cengkih ni sangat banyak! Ketahui 8 gabungan ajaib bunga cengkih dengan bahan dapur seperti madu, halia & lemon untuk kesihatan dalaman dan luaran.