Kunjungan kami di kediaman Datin Fatimah Binti Shuib disambut mesra oleh adik dan anak ketiga beliau. Kami diberitahu Datin masih di dapur menyiapkan juadah, seketika kemudian Datin Fatimah muncul dengan penampilan ringkas.Datin Fatimah mempersilakan kami ke ruang tamu untuk melepaskan lelah seketika sambil kami berbual santai sebelum memulakan sesi foto dan rakaman video seperti dirancang. Beliau memberitahu dua tiga juadah sudah siap dimasak. Hanya tinggal Tauhu Sumbat Sayur Berdaging belum siap kerana menu tersebut akan dikongsikan secara live di Facebook Rasa.
Cerita Datin Fatimah, memang dari kecil beliau minat dan suka memasak. Ditambah pula dapat suami yang jenis suka makan di rumah berbanding di luar. Malah Dato’ Noorazhar Nurdin juga kerap menjemput rakan serta saudara mara makan-makan di rumah.
“ Arwah suami jenis yang tidak suka makanan diperangatkan. Sebab itulah setiap hari menjadi rutin saya masuk dapur tidak kurang daripada empat kali. Pagi sediakan sarapan, tengahari makan tengahari, petang minum petang dan malam sediakan makan malam. Kalau dengan arwah macam cerewet makan. Sebenarnya tidak, cuma beliau mahukan setiap kali makan hidangan itu masih segar dan panas biarpun masakan itu ringkas. Tidak mengapa,” imbau Datin Fatimah akan arwah suaminya.
TANGKAS DI DAPUR
Bila melangkah ke ruang dapur, Datin segera menggenakan apron sambil dibantu oleh adiknya Mimi . Beliau memulakan demo dengan memasak pulut lemak untuk ketupat palas, kemudian menyediakan bahan untuk tauhu sumbat sambil menunggu pulut itu sejuk untuk dibungkus.
Ternyata beliau cekap di dapur membuat kerja dua tiga kerja dalam dalam satu masa. Malah dalam kesibukan itu Datin Fatimah sempat melayan segala pertanyaan anak perempuan ketiganya Afriena Irdina, yang sentiasa mengekorinya sepanjang di dapur.
“Jom saya tunjukkan macam mana nak bungkus ketupat palas. Saya belajar balut ketupat ni sejak zaman sekolah lagi kerana inilah menu wajib keluarga saya di Kedah. Kalau di utara, menu raya mesti ada Ketupat Palas, Laksa, Nasi Daging dan Bihun Sup. Lauknya Gulai Daging atau Udang.
“ Selepas berkahwin, barulah saya pandai makan Rendang Daging, Sambal Goreng Jawa, Sambal Kacang, Masak Lodeh, Lontong, Soto dan segala macam makanan. Sebagai isteri, saya belajar masak masakan kegemaran suami,” cerita Datin Fatimah yang juga pandai menyediakan hidangan masakan Jawa.
Selepas berkahwin, Datin Fatimah secara automatik juga bertanggungjawab menyediakan ketupat palas yang turut digemari oleh suami dan keluarga sebelah suami kerana setiap kali raya beliau, suami dan anak-anak akan beraya di Klang, dahulu sebelum balik beraya di Kedah.
Sambil menunggu ketupat palas yang dikukus masak, Datin Fatimah kembali ke dapur untuk menyediakan tauhu sumbat. Tidak sampai lima minit inti siap ditumis. Sambil memanaskan minyak, Datin Fatimah segera menyumbat tauhu dengan inti, kemudian dicelup dalam telur dan digoreng. Ternyata ia mudah dan ringkas.
“Anak-anak suka tauhu sumbat inti sayur tapi khas untuk hari ini saya sediakan tauhu sumbat inti daging kisar. Tauhu sumbat ini sedap dihidangkan dengan sos cili,” cerita Datin Fatimah sambil menyumbat dan menggoreng tauhu sumbatnya.
Habis sahaja menggoreng tauhu, saya mencuba satu, makan panas-panas dengan sos pedas manis yang disediakan sendiri oleh beliau. Ditambah pula dengan tauhu yang ranggup, memang terbaik sebagai kudapan apptizer.
KEMBALI BERNIAGA
Selesai segala urusan memasak, penulis sempat makan semeja bersama Datin dan anak-anak, Afreal Idris,10, Afrieyan Idris,8, Afriena Irdina, 5 dan Afriessa Irdina,3 tahun. Sambil melayan anak-anak makan, Datin Fatimah memberitahu kini beliau menjalankan perniagaan produk kecantikan dan baru sahaja membuka sebuah restoran.
Ads
“Semasa arwah ada, saya lebih menumpukan tanggunjawab pada keluarga, terutama mengguruskan anak-anak yang masih kecil. Tapi sekarangn yang bongsu pun sudah tiga tahun, jadi saya bolehlah menjalankan perniagaan dari rumah secara online.
“Sudah sampai masanya saya kembali berjinak-jinak dengan perniagaan, buat masa sekarang saya telah membuka sebuah restoran stimboat di Kedah. Untuk perniagaan online saya mengusahakan produk kecantikan BFF (Be Fair & Flawless) dengan bantuan adik saya Mimi,” ujar Datin Fatimah yang tetap mengutamakan kepentingan anak-anak sebagai nombor satu sebelum pergi jauh dalam perniagaan.
RESIPI:
Tauhu Sumbat Daging
TAUHU SUMBAT DAGING
BAHAN-BAHAN:
10 biji 10 | potong dua bentuk tiga segi
200gm daging kisar
1 batang lobak merah | potong dadu halus
1 biji bawang Holland
3 sudu serbuk kari campur
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil perasa
2 sudu minyak masak
2 biji telur
1 sudu kecil minyak ikan
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dan goreng semua tauhu sehingga keperangan.
Kemudan sejukkan tauhu dan dibelah dua. Ketepikan.
Korek dan keluarkan isi tauhu, kemudian hancurkannya hingga halus.
Untuk menyediakan inti: Panaskan minyak dan tumis bawang ,lobak merah sehingga naik bau
Masukkan daging dan isi tauhu yang telah dihancurkan tadi, tumis sehingga masak.
Perasakan dengan garam, serbuk kari campur dan perasa.
Apabila sudah masak ambil kulit tauhu yang telah dikorek isi tadi kemudian sumbat dengan inti yang telah siap tadi.
Panaskan minyak dalam kuali.
Sementara itu, pecahkan telur, kemudian peraakan dengan sos ikan dan dipukul hingga sekata.
Celup tauhu yang telah disumbat intinya ke dalam teluar dan goreng sehingga keperangan.
Tauhu sedia dihidangkan bersama sos cili Thai.
INFO CHEF: Tauhu ini sangat enak dan ranggup di makan panas-panas.
Berkenalan dengan tetamu vip kali ini hanya di corong telefon. Tiba di kediaman Dato’ Nurul Cynthia Williams, kami disambut oleh pembantu rumah beliau. Tidak lama kemudian muncul wanita ayu lengkap berbaju kurung moden sedondon dengan anak perempuan beliau. “Maaflah dua anak lelaki saya tidak turut serta. Seorang di asrama dan seorang lagi kurang sihat,”jelas beliau.
Tidak kekok berbual dengan beliau biarpun pertama kali bertemu, banyak celotehnya dan sentiasa mengukir senyuman.Beliau mengelola tiga syarikat yang kesemuanya berhubungkait dengan sumber manusia. Salah satunya ialah agensi pekerjaan Priston yang membawa masuk pekerja asing, pembantu rumah dan juga local candidates. Selain itu turut menjadi konsultan sumber manusia serta menawarkan servis pembersihan untuk pejabat.
Sebagai ibu dan wanita bekerjaya semestinya sibuk dengan tugasan harian. “Rutin harian saya bangun seawal pagi jam empat atau lima pagi. Solat dan pastikan hal berkenaan anak-anak sudah tersedia. Saya juga berterima kasih kerana mempunyai dua orang pembantu rumah untuk membantu saya dalam hal kerja rumah. Bila anak-anak ke sekolah maka saya pun memulakan tugasan.
Memandangkan kerjaya saya banyak berhubung rapat dengan pembantu rumah jadi saya pastikan mendapat pembantu yang terbaik untuk menguruskan hal anak-anak dan rumah seandainya saya tidak berada di rumah. Biasanya jika tidak ada hal di luar, jam enam saya sudah berada di rumah,”ujarnya.
Beliau akui tidak arif sangat memasak. “Oleh kerana saya Cina Muslim, anak-anak menggemari masakan fusion iaitu masakan cina dari orang tua saya dan Melayu. Tidak ketinggalan masakan barat seperti spageti dan stik. Jadi kami mempunyai pilihan masakan fusion di rumah iaitu Cina, Melayu dan barat,” jelasnya.
Selain pembantu rumah, beliau juga dibantu chef peribadi iaitu Chef Alwi di mana banyak menu yang dipelajari darinya. Latar belakangnya bekerja di hotel lima bintang sebelum ini dan juga 20 tahun pengalaman dalam dunia masakan memberi keyakinan kepada chef ini untuk mencipta menu enak. Dia juga menjadi konsultan lebih dari 17 restoran hasil pengalamannya sebagai chef dalam bidang F&B. Beliau akui banyak mempelajari menu-menu mudah darinya.
Seperti hari ini dihidangkan dengan resipi Boil Asparagus Bersama Udang dengan sos istimewa iaitu Honey Sesame Oil Lime and Olive Oil. “Saya begitu teliti soal sayuran yang hendak dimakan. Hanya sayuran tertentu yang suka dimakan dan salah satunya ialah asparagus. Anak-anak pula menyukai Spageti Carbonara bersama sosej kambing pedas. Saya amat mementingkan makanan berkhasiat. Sosej ini istimewa kerana dibuat khas oleh Chef Alwi di mana dia mengeluarkan sendiri sosej ini. Ia bebas dari tepung, gluten, gula, pewarna dan bahan pengawet. Ia daging kambing import bersama herba. Anak-anak saya amat menggemarinya. Terdapat juga sosej ayam dan kambing,”ceritanya.
Hidangan pemanis mulut pula dihidangkan Bubur Cha Cha. Semasa percutian di Thailand, beliau merasai Bubur Cha Cha yang sedap di sana. Rasanya berbeza dengan Bubur Cha Cha tempatan. Bubur Cha Cha yang dihidangkan ini adalah olahan resipi mengikut cita rasa Thai. Keenakkannya kerana diletakkan santan segar, laici, nanas, koktel , mangga segar, sago, keladi dan oren mandarin . Pemanis mulut ini adalah kegemaran beliau dan anak-anak.
Anak-anak sukakan spageti dan nuget. Masakan Cina mesti ada sayuran juga ikan masam manis. Chef akan datang dua atau tiga kali seminggu untuk buat penyediaan makanan dalam masa yang sama mengajar pembantu rumah dan secara tak langsung beliau juga belajar memasak dengannya.
“Biasanya hari minggu saya luangkan masa untuk memasak. Sebolehnya saya akan sediakan makanan yang berkhasiat untuk anak-anak. Di rumah memang tidak ada snek juga minuman ringan. Minuman bergula juga sangat minima. Jadi anak-anak tiada pilihan. Mereka buka peti sejuk nampak buah, jadi mereka kenalah makan buah. Hanya kadang kala kalau keluar makan di luar ada cheat day untuk makan snek dan makanan manis. Makanan manis ini tidak bagus untuk kesihatan dan silent poison. Semua penyakit datang daripada pemakanan. Malam pula saya makan sedikit dan anak-anak makan seperti biasa,”ujarnya menutup bicara.
Asparagus with grill prawn
Asparagus stim dihidang bersama udang panggang yang ditabur bijan dan bawang putih goreng. BAHAN-BAHAN:
Minyak zaitun
Minyak bijan
Madu
Limau nipis
Udang|dibuang kulit tinggal kulit ekor dan dibelah belakang
Asparagus |dibuang kulit tua
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak guna kuali tebal
2.Udang dipanggang dengan lada hitam dan ditabur dengan garam. Jangan terlalu masak, biarkan ia masak sendiri.
3.Setelah diangkat dari kuali,biarkan udang sejuk.
4.Rebus air, letak garam sehingga rasa masin.Tujuan agar asparagus menyerap rasa garam.Guna garam bukit.
5.Apabila asparagus bertukar warna terang angkat dan rendam dengan air sejuk
Dressing
Limau nipis |diperah ambil air nya
Biji bijan |digoreng tanpa minyak sehingga keperangan
Minyak zaitun
Jus limau nipis
Madu
Sedikit minyak bijan
Kacau semuanya.
Spaghetti Carbonara Sosej Kambing Pedas BAHAN-BAHAN:
1/2 ketul mentega
Sedikit minyak zaitun
4 ulas bawang putih | cincang
1/2 pek sosej kambing pedas
1 tin sup cendawan
1 kotak kecil susu segar
Bawang besar
Serbuk lada hitam
Spageti
Garam secukup rasa
Keju Parmesan
CARA MEMASAK:
1.Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak zaitun dan ½ ketul mentega. Masukkan bawang putih yang diketuk dan cincang (bawang besar potong dadu, jika suka) hingga kekuningan. Masukkan sosej dan angkat.
2.Guna kuali yang sama, masukkan 1 tin sup cendawan dan 1 tin air. Kacau rata dan bila tak berketul, baru buka api.
3.Masukkan satu kotak kecil susu segar, masukkan serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
4.Tuang sosej tadi dalam sos cendawan.
5.Tuang sos atas spageti apabila hendak makan, tabur keju parmesan.
Bubur cha-cha
BAHAN-BAHAN:
Santan kelapa
Keladi cina | potong dadu
Buah kabong
Longan
1 tin laici
Sago
Kurma cina (merah)
Koktel buah
Nanas dalam tin | potong dadu
Gula Melaka
Secubit garam
Daun pandan
CARA MEMASAK:
1. Perah kelapa, ambil yang pekat dan dicampur garam.
2.Gula Melaka dimasak dengan daun pandan,masuk secubit garam
3.Laici dan nanas dipotong dadu
4.Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk, tuangkan santan kelapa dan gula Melaka.
5.Siap untuk dihidang.
Hidangan Air Tangan VIP kali ini memang ‘awesome’ resipi ori diwarisi dari ibu tersayang.. Walaupun sibuk bertugas sebagai Pengurus Grup Agensi Amanah Saham dan Usahawan Al-Quran bertanda, beliau tetap ada masa memasak untuk keluarga dan tetamu .
RASA menghurai petua dari Datin Nor Hafizah Saad ,45 tahun, yang handal memasak lauk pauk asli Kedah warisan keluarganya.
.Aktif di Instagram, rakaman photo shoot majalah RASA pada hari itu turut disiarkan secara langsung di akaun IG@ norhafizahsaad. Bagaimana cerianya kandungan instagram wanita peramah ini, begitulah dirinya bila diajak bersembang dan temuramah.
Usahawan berasal dari Lubok Buntar, Serdang Kedah ini adalah suri hati kepada Datuk Ramli Abdul Manaf , 52 tahun dan ibu kepada seorang cahaya mata Muhammad Ar-Rayyan Ramli berusia 4 tahun.
“Datuk tak makan masakan pembantu rumah. Dia nak masakan air tangan isteri sebab katanya isteri ada buat apa makan lauk air tangan pembantu rumah. Bukannya kahwin dengan ‘maid’ pun,”katanya diikuti dengan gelak ketawa.Bertemu jodoh agak lewat usia ketika berusia 40 tahun, pastinya rumahtangga yang baru terbina selama lima tahun ini cukup hangat dengan kasih sayang .
Semasa kami tiba hidangan tradisional Kedah telah pun dihidang cantik di dalam set pinggan mangkuk Port Meirion yang tekenal dari Britain dan Korea. Beliau membuat persediaan masakan seawal 6 pagi untuk menyiapkan empat menu istimewa ini iaitu Nasi Leuni , Sambal Ikan Bilis Bersama Terung Pipit, Kuih Serabai dengan kuah durian serta Mi Udang.
Ada cerita di sebalik sajian Nasi Lemuni yang berwarna hitam atau ungu tua ini. Warnanya adalah dari daun pokok lemuni yang berwarna hijau dan ungu di belakang daun. Jika di kampungnya pokok Lemuni senang didapati, bila tinggal di KL beliau mendapatkan bekalan dari rumah bapa saudaranya di Ampang yang menanam pokok ini.
“ Bila masak nasi lamuni, jangan kedekut ramuan. Bagi satu cawan beras, masukkan segenggam atau dua biar lebih berperisa rasa daunnya. Begitu juga dengan santan , sukatannya sama dengan jumlah beras. Gunakan pati santan dan kisarkan bersama daun lamuni.
Nak sedap lagi tambahkan sedikit lada hitam dan juga halia. Nasi ni juga sesuai dimakan untuk wanita dalam pantang bersalin. Tapi hati-hati lepas makan ‘angin’ terlepas keluar dari badan,” cerianya tertawa kecil.
Bercerita mengenai kuih serabai yang dimakan bersama kuah durian petuanya jika mahu lebih sedap boleh sahaja menggunakan durian Musang King dan gula Melaka. Jika gemarkan kelapa serabai juga boleh ditambahkan kelapa parut untuk menjadikannya serabai kelapa. Inilah antara sajian sarapan dan minum petang disukai keluarganya yang menetap di Pulau Pinang..
Berasal dari Kedah, Datin Fiza dan keluarga tinggal dan membesar di Pulau Pinang. Ibunya berniaga makanan di pasar malam memang handal memasak dan menjual laksa, bihun utara dan air tebu di gerai.
“Laksa mak cukup laris, sehari kami masak 30kg ikan sardin untuk laksa, boleh licin habis. Hari-hari saya tengok mak saya cukup ligat memasak. Kami empat beradik tolong aje. Dan hari-hari juga mak berpesan suruh belajar masa, sebab kalau dia ‘takde’ siapa yang nak tunjukkan cara masak. saya suka memerhatikan apa yang dimasak oleh mak,” imbaunya lagi.
Patutlah Datin Nor Hafizah cukup cekap di dapur. Beliau adalah pemerhati yang baik dan terang hati. Walaupun belajar memasak di usia 30 an, tetapi kini banyak resipi warisan ibunya telah pun ‘dikuasainya’.
NASI LEMUNI
BAHAN-BAHAN :
2 cawan beras | cuci dan tos
2 cawan santan pekat @ pati |* 1beras : 1 santan
2-3 genggam pucuk daun lamuni | dikisar dan tapis , ambil airnya. Pekat .
4.5 sm halia muda | dihiris dan cincang halus
1 sudu teh lada hitam
2 1/2 biji bawang besar | dikisar
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK : 1. Masukkan semua bahan dan beras ke dalam periuk nasi 2. Tutup periuk dan biarkan hingga masak.
SAMBAL IKAN BILIS TERUNG PIPIT
BAHAN-BAHAN :
200gm ikan bilis | digoreng dan toskan
2 cawan terung pipit, dibuang tangkai dan bersihkan
1/2 biji bawang besar, hiris nipis
3 sudu besar air asam jawa
2-3 senduk besar minyak
Garam dan gula secukup rasa
Bahan untuk kisar halus:
10-15 biji cili kering, dibuang biji dan rebus
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 biji bawang besar, potong 4
CARA MEMASAK : 1. Goreng ikan bilis separuh masak. Asingkan. 2. Panaskan minyak, tumis bawang besar sehingga kekuningan. 3. Masukkan bahan kisar dan masak sambal di atas api perlahan sehingga pecah minyak. Masukkan ikan bilis, sos tiram, air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. 4. Kemudian masukkan terung pipit dan masak sehingga terung lembut. Angkat dan hidang.
KUIH SERABAI DAN KUAH DURIAN
BAHAN-BAHAN:
2 cawan tepung gandum.
1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan santan pekat.
1 sudu kecil yis segera.
2 sudu teh gula.
1 1/2 cawan air.
2 biji telur
1 sudu kecil garam atau secukup rasa.
Bahan kuah :
1 cawan gula perang.
1 cawan santan.
1/2 cawan air
4 ulas durian
1 cawan santan pekat dan masukan 1 sudu besar tepung jagung | dibancuh
2 helai daun pandan di simpul.
CARA MEMASAK:
1. Masukkan gula dalam sebuah cawan diisi 1/2 cawan air suam dan masuk yis. Biarkan selama 10 minit or sehingga naik kembang 2. Masukkan tepung gandung dan tepung beras dengan santan dan digaul masukan juga garam 3. Masukkan yis yang sudah kembang bersama tepung yang dah di bancuh 4. 4. Panaskan acuan serabai (kalau tak ada gunakan kuali dalam bersaiz 20cm – 8 inci kuali biasa atau kuali non-stickable). 4. Sapukan minyak dengan sehelai daun pandan yang celup dengan minyak. Biarkan minyak dalam acuan panas betul-betul panas. Sederhanakan api dapur dan tuangkan adunan tepung serabai 3/4 penuh. 5. Masak dengan apai perlahan sehingga masak.
Cara masak kuah durian : 1. Masukkan gula dan air 2. Masukkan bahan bancuhan ke dalam kuali yang sedang panas sederhana. Masak dan kacau sebatian ini. Bila mula didih, masukkan bancuhan santan dan tepung jagung dan juga durian 3. Masak hingga tepung jagung dan santan berubah warna kepada keemasan. Kepekatan terpulang pada berapa lama anda masak. perlu ingat. Bila sejuk kuah ini akan pekat dua kali dari masa panas. maka tentukan ia jangan terlalu pekat.
MI UDANG ISTIMEWA
BAHAN-BAHAN :
500gm udang laut
500gm ATAU 1 bungkus mi kuning, celur
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
8-10 tangkai cili kering | buang biji dan rebus kemudian kisar halus
ATAU 3 sudu besar cili giling
1/2 senduk minyak masak
Bahan untuk kisar halus:
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 sudu besar udang kering, rendam dalam air sehingga lembut
Bahan untuk rebus dan lenyek halus:
3 ketul ubi kentang
Bahan untuk hiasan atau taburan:
3 biji telur, rebus dan belah dua
cili merah, hiris nipis
sayur sawi, potong dan celur
CARA MEMASAK :
1. Bersihkan udang laut dengan cara belah belakang dan buang tali hitam di belakang, dan potong janggut. tak buang kepala dan kulit Udang. 2. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan kisar halus sehingga naik bau. 3. Masukkan cili kisar dan kacau sehingga garing dan pecah minyak. 4. Masukkan kentang lenyek diikuti air secukupnya. Anda perlu agak-agak kuantiti air, jangan kuah terlalu pekat. 5. Masukkan sos cili ,masak sehingga kuah mendidih. 6. Kemudian masukkan udang, dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. 7. Hidang dengan cara tuang kuah dan udang di atas mi dan taburkan dengan bahan hiasan.
Mendapat lebih ribuan lebih share dan like yang tinggi, rupanya resipi air tangan Mat Sabu, Menteri Pertahanan sememangnya dicari-cari oleh netizan dan peminatnya selepas viral gambar Mat Sabu sedang memasak gulai ikan untuk tetamunya. Apa yang lebih menarik resipi ini di tulis sendiri oleh Mat Sabu untuk peminatnya, terharu kan. Nampak pun sedap, selamat mencuba!
Yahooo…dapat juga resepi gulai ikan YB Mat Sabu. Lepas tengok video Lim Guan Eng kata dia suka gulai ikan Mat Sabu hari tu, saya kata dalam hati, best ni kalau dapat resepi.
YB Mat Sabu pula orang Penang, sure sedap gila gulai dia. Saya post kat sini kelmarin tanya ada sesiapa yang rapat dengan YB. Saya nak resepi kari tu.
Alhamdulillah, sehari lepas tu Mamazieza Azizah Hassan Wasap saya resepi tulisan tangan Menteri Pertahanan kita tu.
Fuhhh…hari ni saya try. Lebih kurang sama dengan resepi yang biasa saya buat. Tak guna santan. Cuma air asam jawa. Bezanya, YB letakkan hirisan bawang besar selepas rempah garing. Ini akan menjadikan kuah lebih pekat dan sedap.
Okeh ini resepi kari YB yang saya buat balik. Saya guna ikan kerapu.- Ujar Zalina
RESIPI GULAI IKAN MAT SABU
BAHAN-BAHAN:
Ikan kerapu / jenahak / gerut / merah / siakap | siang dan basuh bersih
2 paket rempah kari ikan babas pedas / tak pedas pon ok | bancuh dengan air
5 ulas bawang putih | hiris
6 ulas bawang merah| hiris @ tumbuk
2 biji bawang besar | potong nipis
Air asam jawa
*terung / bendi/ tomato sebagai hiasan
BAHAN TUMIS:
Jintan putih
halba
Biji sawi
Daun kari
Hirisan bawang putih dan bawang merah.
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dan bahan tumis sehingga wangi
Masukkan rempah kari ikan babas 2 bungkus (bancuh dengan air sedikit). Biar pecah minyak anggaran 5 minit.
Masukkan hirisan 2 biji bawang besar dan terung@bendi. Biar lembut anggaran 5 minit.
Masukkan air asam jawa (saya guna 3/4 sudu asam jawa + 1 mangkuk kecik air. Jika suka kari lebih cair tambah air dan asam)
Masukkan ikan. Biar gelegak. Masukkan garam dan perasa ikan bilis Norr..Siappp.