Daging Salai Homemade: Cara Mudah & Sedap Guna Pemanggang

Share

Daging salai homemade memang menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang unik dan beraroma. Lebih-lebih lagi bila masak Masak Lemak Cili Api, bau asap yang terhasil menjadikan kuah lebih sedap, pekat dan menyelerakan. Bila teringin nak makan lauk daging salai tapi susah nak jumpa orang yang jual, cara Daging Salai Homemade di bawah ini anda boleh cuba terus dari rumah.

Kaedah ini juga sangat sesuai untuk anda yang tinggal di rumah-rumah tinggi seperti kondominium dan apartmen. Maklumlah, kawasan tanah tak ada untuk menyalakan arang. Nak buat cara tradisional pun tak lepas. Jadi inilah salah satu cara paling praktikal dan mudah untuk mendapatkan rasa daging salai homemade yang hampir sama seperti salai sebenar. Bau asapnya tetap ada, rasanya tetap padu!

Resipi Daging Salai Homemade

Kaedah ini menggunakan pemanggang dan daun pisang untuk menghasilkan aroma salai. Walaupun dilakukan dalam rumah, teknik ini masih mampu memberikan rasa smokey yang sedap.

Bahan-Bahan Daging Salai Homemade:

  • Daging – sebaiknya daging batang pinang
  • Garam & serbuk kunyit secukupnya
  • Daun pisang

Cara Memasak Daging Salai Homemade

  1. Potong daging kepada kepingan yang bersesuaian. Rebus seketika dan jangan terlalu lama kerana takut manis daging hilang. Langkah ini hanya perlu jika anda menggunakan daging selain daging batang pinang. Jika guna daging batang pinang, tidak perlu rebus.
  2. Toskan dan gaul daging tadi dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya sehingga semuanya sebati.
  3. Ambil pemanggang dan alaskan dengan daun pisang di bahagian dasarnya. Susun daging yang telah dilumur kunyit dan garam tadi secara sekata.
  4. Terbalikkan daging beberapa kali supaya ia masak sekata dan menyerap aroma daun pisang.
  5. Setelah air daging berhenti menitis, alihkan lapik pemanggang tadi dan bakar daging menggunakan api terus. Ini bertujuan untuk mendapatkan rasa dan bau hangus pada daging, seakan daging salai tradisional.
  6. Angkat dan hiris nipis. Daging salai homemade ini kini sedia dimasak mengikut citarasa anda. Antara masakan paling sedap yang dipercayai ramai ialah Masak Lemak Cili Api. Selamat mencuba!

Tip Tambahan Untuk Daging Salai Homemade Lebih Sedap

Jika anda ingin meningkatkan lagi rasa daging salai homemade, terdapat beberapa teknik tambahan yang boleh anda cuba tanpa mengubah kaedah asas di atas:

  • Gunakan daun pisang yang sedikit layu kerana baunya lebih kuat dan lebih mudah mengeluarkan aroma semasa pemanggangan.
  • Biarkan daging diperap dengan kunyit dan garam sedikit lebih lama supaya rasanya lebih meresap.
  • Boleh tambahkan sedikit serbuk lada hitam pada perapan jika suka rasa pedas lembut.
  • Jika mahu aroma asap lebih ketara, ulang proses pemanggangan dua kali dalam tempoh singkat.

Kelebihan Membuat Daging Salai Homemade

Salah satu sebab ramai memilih untuk membuat daging salai homemade ialah kerana ia lebih bersih, jimat dan boleh disesuaikan mengikut cita rasa keluarga. Di samping itu, anda bebas memilih potongan daging yang berkualiti, tidak terlalu berlemak dan mudah dimasak. Proses memasak juga lebih cepat berbanding cara tradisional yang memerlukan arang.

Daging salai homemade ini juga sesuai disimpan di dalam peti sejuk beku untuk kegunaan kemudian. Bila tiba-tiba teringin nak makan lauk tradisional, anda hanya perlu keluarkan, cairkan dan terus masak Masak Lemak Cili Api, sambal, atau apa sahaja menu kegemaran anda.

Kredit resipi & foto: Zefa Ibu Yusuf Maryam (Blog JeMaRi AsMaRa) 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:  

 

 

 

 

Published by
Nur